~06~ Seri - First Official Date

1.2K 31 0
                                    

"Oh sayang," kata ibu Seri sebelum merangkulnya ke dalam pelukkan.

Ayah Seri turut melakukan perkara yang sama. "We need to talk princess."

"Abang, ini bukan masanya. Kita ada majlis akad nikah yang perlu dihadiri malam ni," tegur ibu Seri.

"Tapi saya perlu tahu tentang lelaki yang sedang berlakon sebagai teman lelaki anak saya. Bagaimana kalau dia hanya nak ambil kesempatan?" tanya ayah Seri. Matanya dijegilkan bagi menegaskan lagi maksudnya.

"Ayah, ibu, saya dan Danish tak berlakon. Kami memang suka antara satu sama lain," terang Seri.

"Apa? Ibu tak faham sayang." Seri ditarik masuk ke dalam bilik oleh ibunya.

"Tengok. Inilah yang saya maksudkan. Mula-mula berlakon, sekarang betul-betul pula. Saya makin tak faham dengan semua ni," kata ayah Seri yang turut masuk.

"Tak apa, Seri boleh terangkan pada kita. Duduk dan terangkan sekarang," kata ibu Seri sambil mencekak pinggang.

Seri menurut seperti yang diarahkan. Dia mula mengatur ayat supaya apa yang ingin disampaikan dapat difahami oleh ibu dan ayahnya. Seri menceritakan semuanya kepada mereka kecuali cubaan memperkosa oleh Badrul. Kalau boleh, Seri tidak mahu langsung mengingati kejadian itu. Semakin difikirkan, semakin takut jadinya.

"Hmmm."

"Itu saja yang boleh awak kata?" tegur ibu Seri sambil melihat ke arah suaminya.

"Dah tu? Apa lagi yang saya nak cakap? Anak gadis awak dah terpikat pada lelaki tu. Takkan saya nak larang pula. Yang penting lelaki tu baik dan layan dia juga dengan baik. Ni bila ayah boleh jumpa si Danish ni?" tanya ayah Seri.

"Sekarang pun boleh uncle." Semua mata tertumpu ke arah pintu yang terbuka. "Maaf, pintu tak tertutup rapat tadi."

Seri bangun dari katil. Dia menghala ke arah pintu lalu menarik Danish masuk ke dalam. "Ayah, ibu, inilah Danish."

Ibu Seri menghadiahkan sebuah senyuman kepada lelaki yang telah berjaya mengubat hati Seri yang pernah terluka dahulu. Tetapi ayah Seri hanya memandang Danish dengan kerutan di dahi. Danish menghulurkan tangan bersalaman dengan ibu dan ayah Seri. Tetapi tangannya langsung tidak dilepaskan oleh ayah Seri.

"Ayah?" tegur Seri perlahan.

"Kita pernah jumpa ke sebelum ni?" tanya ayah Seri kepada Danish.

"Uncle, kalau tak keberatan, boleh kita berbual berdua sahaja?" pinta Danish.

Belum sempat Seri membantah, ayahnya dan Danish telah melangkah keluar. Seri risau kalau ayahnya tidak dapat menerima Danish. Tetapi dari yang dikatakan oleh ayahnya tadi, sepertinya tiada masalah.

"Patutlah anak ibu jatuh hati, kacak orangnya," usik ibu Seri.

Seri tersipu malu. "Taklah ibu. Ibu pun tahu kan yang Seri tak pandang pada rupa."

"Takkan ibu tak kenal sikap anak ibu. Seri mesti pilih yang lebih tinggi dari Seri. Yang lain tu kira bonus la kan," usik ibu Seri lagi.

"Ibu tak larang saya dan dia bersama?" tanya Seri. Dia kembali duduk di sisi ibunya. Tangannya mencapai tangan ibunya.

"Setiap hari ibu berdoa agar pintu hati Seri terbuka untuk lelaki lain selepas apa yang berlaku dulu. Jadi takkan pula ibu nak larang," jawab ibu Seri.

"Walaupun dia hanya penghantar surat?" tanya Seri lagi.

"Bukankan kata penghantar surat, tukang kutip sampah pun ibu akan restui. Bukannya dia mencuri atau merompak. Kerja dia halal." Ibu Seri mengusap rambut Seri.

ONGOING Kau Yang SatuWhere stories live. Discover now