= 1 =

3K 38 0
                                    

Seri melihat kad undangan di tangannya dengan perasaan yang membuak-buak geram. Ikutkan hati, mahu dikoyak-koyak saja kad tersebut. Sampai hati dua insan itu melakukan perkara sebegini terhadapnya. Kalau lelaki tidak berhati perut itu, dia masih faham lagi. Tapi ini kawan baiknya sendiri. Oops silap, bekas kawan baiknya. Dia melemparkan kad berwarna merah jambu itu ke atas meja.

Hatinya yang beransur pulih, kini kembali luka. Puas dia melarikan diri dari mereka. Malahan, dia sanggup kehilangan kawan-kawan demi tidak mahu bertembung lagi dengan mereka. Tetapi ini yang dibalas oleh mereka. Perempuan itu memang sengaja hendak menyakitkan hatinya.

"Hah kau ni dah kenapa?"

Seri menoleh ke arah pintu yang sedikit terbuka dengan kepala Kak Jie tersembul di celahnya. Kak Jie membuka lebih luas pintu tersebut sebelum melangkah masuk lalu menutupnya kembali. Dia mengambil tempat di atas kerusi berhadapan meja Seri.

Seri mengerling ke arah kad yang dilemparnya sebentar tadi. "Si Yati nak kahwin."

Kak Jie mengerutkan dahinya. "Siapa?"

Seri mendengus keras. "Ala, Yati yang rampas tunang saya tu."

"Dah tu yang muka kau macam tertelan peria ni kenapa pula?" Kak Jie merenung tepat ke wajah Seri. "Bukan benda dah jadi dekat setahun ke? Takkan kau masih emosi lagi pasal tu?"

Seri menjuih ke arah kad jemputan di atas mejanya. "Tu ha yang buat saya geram sangat."

Sekilas lalu saja kad itu dipandang oleh Kak Jie. Tetapi perkataan Walimatul Urus yang besar itu membuatkan Kak Jie menganggukkan kepala tanda faham.

"Kiranya kau runsing sebab dapat jemputan ke majlis diorang la ni. Pergi aje la. Tunjuk sikit yang kau tu dah tak hairan dengan benda yang jadi."

"Saya tak naklah pergi seorang kak. Buat malu saja. Nanti perempuan tu ketawakan saya. Lagi pula, majlis tu diadakan di Genting. Penginapan untuk 3 hari 2 malam disediakan untuk tetamu. Tinggal bawa diri dan pasangan saja," balas Seri.

Kak Jie menganggukkan kepalanya lagi. "Tapi pergi ke tak pergi ke sama aje akak rasa. Niat dia tu nak tengok keadaan kau. Jatuh terlungkup ke atau terguling ke lepas putus tunang. Dah dekat setahun tak jumpa kan?"

"Ha'ah. Itulah yang saya sedang fikirkan ni kak. Saya nak tunjuk kat mereka tu yang saya ni tersangatlah bahagia tanpa mereka." Seri memandang Kak Jie penuh harapan. "Akak ada cadangan?"

"Cadangan akak ni bodohlah sikit. Kalau kau nak pakai, akak boleh tolong. Kalau kau tak nak pakai, kau kena cari idea sendiri la," jawab Kak Jie penuh misteri.

Seri mengerutkan dahinya. Bukan sehari dua dia kenal dengan wanita yang sudah mencecah usia 40-an ini. Ada saja ideanya yang tak masuk dek akal. Tapi dalam keadaan terdesak ini, Seri tidak boleh memilih. Apa saja cadangan akan didengarnya dan kalau boleh digunakan, tak salah rasanya. Tugasnya sebagai Pengurus Perhubungan Awam membuatkan dia dikenali bukan saja oleh staf di syarikat mereka bekerja tetapi juga staf syarikat lain yang berkongsi bangunan tersebut.

Seri sebolehnya tidak mahu ada yang tahu memang dia terkesan semasa pertunangannya diputuskan dahulu. Masa itu ibarat hidup segan mati tak mahu. Kalau tidak kerana sokongan dan dorongan ibu dan ayah, entah-entah apalah yang jadi pada dirinya sekarang. Dan kerana itu juga dia mahu menunjukkan kebahagiaannya kepada mereka.

Tetapi menghadiri majlis itu berseorangan ibarat menempah maut. Tentu Yati akan mengambil kesempatan menambahkan lagi luka di hatinya. Terang dan nyata kad jemputan itu ditujukan kepadanya dan pasangan, malahan siap ditulis lagi 'jangan lupa pasangan' di sebelah namanya yang Seri masih kenal adalah tulisan Yati.

ONGOING Kau Yang SatuWhere stories live. Discover now