~25~ Seri - Sumpah Mati Aku Sayang

1.4K 24 14
                                    

Seri tersedar ketika dia merasa usapan lembut pada pipinya. Matanya terbuka luas, melihat wajah suaminya yang penuh kerisauan. Ada linangan airmata di pipi suaminya. Hati Seri sakit. Sakit memikirkan yang dia dan suaminya boleh hidup bahagia kalau tak kerana cerita silam yang masih menghantui mereka.

"Bos," kata Harith yang baru melangkah masuk ke dalam bilik.

Danish yang sedang menunduk, mengangkat kepala dan matanya bertembung dengan mata Seri. "Sayang dah sedar."

"Dee Dee..."

"Aunty yang jumpa sayang pagi tadi. Katanya sayang pengsan dan meja menghempap atas tubuh sayang." Danish memotong kata-kata Seri. "Doktor kata sayang dan kandungan tak apa-apa. Cuma muka sayang sedikit bengkak dan pinggang sayang lebam."

Seri hanya memerhatikan wajah suaminya, tidak percaya yang lelaki itu sanggup menolak ke tepi kebenaran yang telah ada di depan mata.

"Tapi..."

"Kita kena berterima kasih dengan aunty sebab selamatkan sayang," potong Danish lagi. "Aunty masih dalam trauma melihat keadaan sayang pagi tadi."

Seri ingin menjerit. Dia ingin melepaskan kemarahan yang mulai membara di dalam hatinya.

"Abang percayakan dia?"

Danish mengerut dahi. "Aunty tak pernah berbohog kepada abang. Tentulah abang percaya."

Seri ingin tertawa sebaik mendengar jawapan suaminya. Tidakkah dia nampak lidah bercabang ibu saudara kesayanganya itu? Jawapan itu juga memberi tekad untuk Seri melarikan diri. Dia tidak boleh berlama di situ. Nyawanya dalam bahaya sekiranya dia masih di bawah satu bumbung dengan Dee Dee.

"Kalau abang dah kata begitu," kata Seri.

Danish tersenyum. "Sayang rehat dulu. Abang tak pergi jauh. Di sebelah saja. Kalau ada apa-apa, panggil abang ya."

Seri cuba menguntum senyum walaaupun pipinya masih sakit. Sebaik Danish menghilang di sebalik pintu yang menghubungkan bilik tidur dengan pejabatnya, Seri menolak selimut ke tepi.

Tubuhnya masih sakit tetapi digagahi juga untuk bangun. Dia perlu bertindak segera. Seri melangkah perlahan ke arah pintu yang mengubungkan dua bilik itu lalu membukanya perlahan. Dari celah pintu, dia dapat melihat Danish dan Harith sedang membincangkan sesuatu dengan fail-fail dan dokumen bertaburan di atas meja. Seri menutup semula pintu itu lalu menuju ke pintu bilik. Dia mengunci pintu itu. Dia tidak mahu ada pembantu rumah yang tiba-tiba masuk dan memaklumkan kepada Danish yang dia tiada di atas katil.

Seri meneruskan misinya ke bilik yang menempatkan pakaian Danish. Berderet pakaian rasmi dan tidak rasmi milik suaminya. Tetapi mata Seri meliar mencari hanya satu benda. Sebaik terlihat benda itu, dia tersenyum. Seri menarik beg troli yang digunakan oleh suaminya ketika mereka ke negara ini.

Beg itu berkunci tetapi tidak menjadi masalah bagi Seri. Sudah banyak kali dia membuka beg sebegini kerana ayahnya seorang pelupa sehinggakan kata kunci pun boleh lupa. Seri menarik pin rambut yang dijumpainya di atas meja solek. Dia membengkokkan pin itu lalu mencungkil lubang kecil pada kunci beg itu. Telinganya ditekupkan pada beg. Sebaik dia menangkap satu bunyi, Seri akan memutar nombor pada kunci itu. Seri meneruskan usahanya sehingga kesemua empat nombor berjaya ditekanya.

Dia membuka beg itu dengan senyuman. Beg itu kosong tapi Seri tahu ada ruang tersembunyi di dalamnya. Dia pernah melihat ruang itu semasa Danish membuka beg itu. Tangannya diseluk di celah beg itu. Sekali lagi dia tersenyum apabila tangannya menyentuh sesuatu. Dia menarik keluar tiga pasport tetapi hanya mengambil pasport miliknya. Pasport milik Danish dan Diana dimasukkan semula ke dalam ruang itu. Beg itu dikunci semula lalu diletakkan kembali di tempat asalnya.

ONGOING Kau Yang SatuWhere stories live. Discover now