LAPAN BELAS;

179 17 0
                                    

" When The Moonlight Comes, You and I Become ONE. "


PERGELANGAN tanganku ditarik seseorang. Kepalaku laju menoleh ke belakang, tindakan refleks akibat terkejut.

Raut wajah bonda yang kerisauan menyapa kornea mataku.

"Bonda?" Soalku terkejut. Aku fikir bonda masih sibuk menghidangkan pisang goreng bersama sambal kicap di atas meja.

Bonda menghela nafas berat. Matanya mengerling anak dan suami yang tegang berbicara di laman rumah. Kemudian matanya terhenti pada wajahku.

"Ikut bonda," ujar bonda seraya menarik tanganku untuk masuk ke dalam sebuah bilik yang tidak pernah aku perasan kewujudannya di anjung rumah. Sudah beberapa hari aku tinggal di sini, aku yakin, pintu bilik yang dibuka oleh bonda selama ini merupakan dinding semata. Macam mana boleh tiba- tiba ada bilik?

Di dalam bilik tersebut, hanya terdapat sepasang cermin besar kabur yang mencecah ke lantai, meja kecil yang terdapat sebuah labu sayung sebesar kepala kanak- kanak, sebuah almari kecil usang berwarna perang kegelapan dan satu pokok yang tidak pernah aku lihat sebelumnya.

Pokok tersebut setinggi paras pinggangku, beranting runcing bersama akar yang menjalar, namun yang peliknya, pokok tersebut menghasilkan bunga berwarna putih keungguan dan kelihatan bunga itu seperti bercahaya.

Bilik apa ni? Terasa seram sejuk kerana naik bulu romaku. Bilik itu kelihatan suram, dan suhu bilik itu sungguh terasa sejuknya, walaupun aku tahu panas terik matahari akan menjamah tubuhku jika aku keluar ke laman rumah.

Bonda menutup pintu bilik dan menguncinya dengan rapat.

Tanpa kata, bonda memetik tiga kuntum bunga tersebut dan mengambil pula air di dalam labu sayung ke dalam cawan antik yang berwarna ungu gelap. Kemudian, bonda memasukkan tiga- tiga kuntum bunga  ke dalam cawan berisi air.

Aku perhati sahaja gerak- geri bonda yang agak mencurigakan. Apa yang bonda tengah buat sekarang? Sungguh, aku ingin tahu tapi entah kenapa, bibirku seakan- akan berat hendak dibuka.

Mulut bonda terkumat- kamit dengan laju, sampaikan aku sendiri tak tahu apa yang bonda baca. Bonda menghulurkan cawan itu kepada aku. Tetapi huluran itu tidak aku sambut.

Menatap aku yang ragu- ragu. Tangan kiri bonda yang bebas mencari tanganku dan cawan itu diberikan kepadaku secara paksa.

"Minum," arah bonda.

Aku menggigit bibir. Raut wajah bonda yang garang membuatkan hatiku cuak namun aku beranikan diri juga untuk menelan air tersebut. Aku cuba meyakinkan diri sendiri bahawa air itu selamat dan tidak beracun dengan mengingat kembali tingkah laku bonda yang baik terhadapku selama aku tinggal di rumahnya.

Semasa meletakkan cawan di bibir, aku membaca bismillah.

Aneh, air tersebut berbau sangat wangi dan rasanya sangat manis. Malah, oleh kerana bunga itu bercahaya, maka air tersebut turut berbeza dan sedikit gemerlapan warnanya.

"Itu bunga anggun langit. Diberi gelarannya kerana warna warna putih dan ungu gelap bunga seperti menatap langit malam yang ditemani bulan. Cahayanya pula seperti bintang yang gemerlapan."

Aku mengangguk. "Manis bonda airnya. Tapi pelik, Mel tak pernah dengar tentang bunga ni," balasku berserta senyuman. Aku seseorang yang meminati bunga, jadi tidak sangka bunga secantik ini terlepas daripad pengetahuanku.

Bonda menatapku lama sebelum membuka bibirnya.

"Kamu memang tak pernah jumpa bunga sebegini. Kerana bunga ini tidak akan hidup di dunia alam kamu."

MELISSA : TWO WORLDSWhere stories live. Discover now