1

129 19 17
                                    

Perlahan-lahan wajah yang menekur tadi dia angkat. Sepasang mata pada wajah itu jelas kuyu dan riak wajah jejaka itu cukup layu. Hati yang sayu memberatkan langkah kaki untuk bertapak masuk ke pekarangan fakulti di hadapan.

"Kau okey, Majdi?" tanya Zahwan prihatin.

Sempat hati kecil Zahwan terdetik betapa dungu soalan yang telah dia ujarkan tadi. Namun, sisi prihatin yang mencengkam kuat membuatkan soalan tadi dengan laju meluncur keluar daripada mulut.

Majdi kekal membisu. Bibir terus terkatup rapat. Tiada langsung kudrat untuk dia menuturkan sebarang jawapan kepada soalan tadi, walau hanya sepatah. Wajah yang tadi memandang ke depan tertunduk kembali.

Automatik tangan kanan diangkat Zahwan lalu ia memeluk rapat bahu Majdi. Dia berharap benar bahasa kasih sayang berbentuk sentuhan jasmani itu dapat menyalurkan walau secebis kekuatan.

"Insya-Allah, semuanya akan okey. Jom masuk."

Majdi membiarkan sahaja seluruh tubuh didorong oleh Zahwan yang memimpin langkah seiringan mereka memasuki pekarangan fakulti. Anak matanya tidak sesekali kekal pada satu tempat.

Sekejap ia memandang ke kiri.

Sekejap kemudian, ia ke kanan pula.

Entahkan dia yang terasa seperti diperhati atau memang itu kenyataan yang sedang terjadi. Tiada hatta sesaat buat mana-mana organ tubuh atau alur dalaman Majdi yang mampu bertenang sepanjang kaki melangkah. Tangan Zahwan pada bahu pula memberatkan Majdi – secara fizikal dan secara mental.

Kenapa jauh sungguh lokasi kelas dia dan Zahwan?

Sejauh mana lagi mereka perlu berjalan? Selama mana lagi dia perlu menerima pandangan-pandangan yang tajam menikam?

"Dah sampai!" umum Zahwan teruja tatkala mereka berdua berdiri berdekatan pintu masuk kelas. Zahwan mendahului langkah memasuki kelas yang sudah penuh separuh itu.

Lambat-lambat Majdi membuntuti dari belakang. Kelat Majdi menelan liur yang berpasir di kerongkong. Kelas yang tadi riuh suasana bertukar hening tepat sesaat dia masuk. Langkah terus pegun. Panik sekonyong-konyong menggelegak dalam hati apabila seluruh penghuni kelas itu memandang tepat ke arahnya.

'Tak ... Tak ...' getus hati Majdi cemas.

Sepantas kilat dia berpatah balik lalu keluar dari kelas itu. Kencang langkah larian Majdi yang pada awal tidak berarah. Panggilan lantang Zahwan berulang kali dari belakang tidak langsung dia pedulikan.

Menyendiri dan tersembunyi.

Itu dua hal yang paling Majdi perlukan pada saat ini!

Detap semakin gancang ditemani debaran dada yang semakin kencang. Majdi langsung tidak beragak menaiki tangga pertama yang ditemui tatkala dia sampai ke pelosok fakulti yang entah terletak di celah mana itu.

Laju kaki memanjat sehingga ke tingkat yang paling atas. Tak ubah bagai orang mengantuk disorongkan bantal, debaran dada berkurang apabila dia terjumpa tandas lelaki berdekatan tangga.

Pintu tandas tak lengah ditolak lalu dia berjalan laju menuju ke kubikel tandas yang terletak di kedudukan paling hujung. Daun pintu digenggam kuat, lalu pintu plastik itu Majdi rapatkan sebelum dia kunci.

Hilang sudah kudrat kedua-dua belah kaki.

Turut sirna daya hati.

Setitis demi setitis air mata mula berjuraian di kedua belah pipi. "Kenapa?" tutur mulut perlahan dengan suara yang berdesir. "Kenapa mereka masih pandang aku macam tu? Aku tak bersalah."

Kira Majdi, dengan menutup kedua-dua mata, air mata akan terhalang daripada mengalir lagi. Kendatipun, nyata perkiraan mental tadi salah. Dia malah semakin lebat menangis. Tangisan itu berlagu bisu. Hanya tubuh yang terhenjut-henjut menahan sakit yang dari mana dan entah apa punca.

***

Kelibat manusia yang terkocoh-kocoh berlari masuk ke dalam kenderaan itu sangat Zayyad kenali. Kaki yang tadi rancak berdetap mahu masuk ke kelas tidak jadi meneruskan pacuan, malahan kini ia terpasak di tempat si pemilik berdiri.

Sepasang mata Zayyad langsung tidak teralih tumpuan. Dari saat Majdi memasuki kawasan tempat letak kenderaan hingga saat dia meluncur pergi dalam kenderaan mewahnya, Zayyad tidak berkelip memerhati.

Riak gelisah pada wajah Majdi tadi dapat dia kesan.

Walau tempoh pandangan hanya sesaat berkesempatan.

Zayyad perlahan-lahan berpatah balik menelusuri laluan ke bangunan fakulti tadi. Tidak jauh dia berjalan, langkah berhenti apabila kenderaan yang dipandu Majdi berada dalam lensa pandangan.

Bara kebencian yang sudah lama tidak menyala besar perlahan-lahan kembali bernyawa. Peristiwa yang membenamkan Majdi pada zaman asasi tak lama dahulu sangka Zayyad sudah cukup untuk memuaskan hati.

Akan tetapi hari ini, barulah dia tahu kebenarannya. Pada saat ini, terdedahlah hakikat yang Zayyad masih belum puas melihat kejatuhan Majdi. Apa yang terjadi semasa pengajian asasi dahulu belum cukup! Tambahan, peristiwa buruk itu berlaku tanpa campur tangan Zayyad.

Dia mahu melihat Majdi tumpas lagi.

Dia mahu melihat Majdi terbenam lebih jauh ke dalam lagi.

Perlahan-lahan, bibir Zayyad mengulum senyuman sinis. Dari luar, kelihatan seperti Zayyad tenang-tenang sahaja. Kendatipun, alur fikiran rancak dan ribut merangka pelbagai rancangan dan menimbang tara berbagai kemungkinan.

Perjalanan ke kelas yang tertunda tadi disambung kembali. Mencanak naik semangat kendiri mengenangkan kebencian yang sekian lama terbungkam akhirnya akan dapat dilunaskan dengan tangan sendiri.

Sungguh, Zayyad bersemangat hendak melalui semester yang menjanjikan kepuasan hati dan pengalaman yang menyeronokkan ini!

***

Rasian Reluh MajdiWhere stories live. Discover now