8

20 7 2
                                    

Zahwan arif benar akan apa yang sedang Majdi fikirkan dan rasakan ketika ini. Lihat sajalah bibir yang terkunci rapat itu dan bahasa badan yang keras kejung. Dia yakin emosi Majdi pada saat ini sama seperti emosi yang ia rasai tatkala memasuki kelas pertama semester ini, tiga minggu lepas.

Dan telahan Zahwan itu tepat mengenai sasaran.

Majdi dalam duduknya, sedang berperang seisi dalaman. Dalam alur penuh resah itu, rasa geram bercampur dan berganti-ganti punca. Sekejap dia geramkan Zahwan, sekejap kemudian, dia geramkan diri sendiri pula.

Akan tetapi, paling dia geramkan sudah tentulah pada diri sendiri. Kenapa dia langsung tidak membantah semasa Zahwan sebut nama dia sekali hari tu? Jangankan bantah habis-habisan, hatta satu patah perkataan pun tidak terucap di bibir.

'Ah, dungunya aku!'

Mahu saja Majdi terbaring dan pengsan di atas lantai bilik perbincangan yang sejuk itu. Tapi, dia tahu itu bukanlah pilihan yang terbaik apatah lagi cerdik. Cukuplah menyusahkan diri sendiri dan Zahwan sahaja, jangan sampai orang lain susah sama kerana dia.

"Assalamualaikum, korang! Maaf baru sampai," sapa Safa ceria. Kotak berwarna perang tua dibawa gadis itu segera dihulurkan kepada Zahwan yang sebelum itu telah memberi isyarat mahu menolong. Setelah kosong tangan, Safa segera menutup pintu bilik perbincangan itu. Ruang tengah hadapan menjadi tujuan.

"Bagi pihak kelab QOWIY dan ahli-ahli lama, aku nak ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada korang berdua sebab sudi nak tolong jaga gerai dan promosi kelab kita hari ni. Macam yang korang tahu, kelab kita belum mampu jana pendapatan sendiri buat masa ni, jadi apa-apa aktiviti yang dapat kita anjurkan ialah atas ihsan ahli-ahli kita."

Sekejap Zahwan mengangguk, kemudian Majdi mengikut sama.

"Korang dah baca dah infografik kelab kita yang Hamzah hantar dalam kumpulan WhatsApp kita?" Soalan Safa itu dibalas dengan anggukan lagi. "Okey, bagus. Dah belek-belek akaun medsos kelab kita dah?" Sekali lagi, soalan gadis itu dibalas dengan anggukan.

Tanda bagus diisyaratkan Safa melalui ibu jari yang diangkat pada tangan kanan. "Untuk hari pertama ni, jangan risau. Aku akan teman dan tolong korang jaga gerai dulu. Tapi Ahad esok, korang akan jaga berdua saja, okey? Aku ada kerja nak kena siapkan sepanjang hari esok."

Seperti biasa, Zahwan yang pertama memberi jawapan balas. "Faham. Terima kasih, Safa, sebab sudi datang tolong kitorang hari ni."

Kalam penghargaan rakan satu kelab yang baru itu dibalas Safa dengan sekeping senyuman. "Ada apa-apa soalan tak sebelum kita gerak ke gerai kelab kita?" Majdi dan Zahwan dipandang silih berganti.

Kedua-dua perjaka tersebut menggeleng serentak.

"Kalau macam tu, seorang tolong bawakan kotak ni, boleh? Aku tak laratlah nak bawa lagi. Berat," kata Safa sambil tersenyum serba salah.

Segera Zahwan menapak ke kotak tersebut lalu mengangkatnya. Pintu bilik perbincangan itu dibuka dan ditahan oleh Majdi. Dengan isyarat kecil, dia membiarkan Zahwan keluar terlebih dahulu. Namun, sebaliknya yang dia lakukan apabila Safa mendekati pintu itu.

"Maaf ya, Safa. Kurang elok untuk perempuan berjalan depan lelaki, jadi aku minta izin untuk keluar dulu," ujar Majdi perlahan. Pandangan mata langsung dengan Safa sedaya mungkin dia cuba elakkan.

Safa terpempan seketika. Dia jadi lupa hendak menahan tombol pintu itu seperti yang dilakukan Majdi tadi. Walhal, jejaka itu telah menunggu sesaat dua untuk menyerahkan pegangan tombol pintu itu kepadanya. Hanya apabila jarak antara dia dengan Majdi dan Zahwan sudah hampir dua meter jauhnya, barulah dia kembali ke realiti.

Terkelip-kelip mata apabila rasa terpempan tadi beransur hilang. Dan tak semena-mena, sekeping senyuman manis terukir pada bibir Safa. Hati dan akal masih bercelaru hendak memutuskan apa sebenarnya yang sedang dia rasa pada saat ini, tapi Safa tahu rasa itu tidak bersifat negatif.

Enggan melayan rasa yang membuai itu, Safa cepat-cepat melangkah keluar. Pasti rasa yang terlintas itu sekadar mainan perasaan.

***

Tidak ramai pelajar yang lalu di sekitar masjid hari ini,  tempat gerai kelab QOWIY didirikan. Mungkin kerana hari Sabtu biasanya dipilih sebagai hari para pelajar keluar bersuka ria dan berjimba-jimba bersama kawan. Ada yang sekadar ke pusat beli belah, ada yang pergi memburu kafe hipster, dan bermacam kegiatan hujung minggu lagi yang mereka lakukan.

Kebiasaannya, suasana kurang manusia begini sudah cukup untuk melapangkan dada Majdi dan melegakan resah dalaman manusia yang seorang itu. Pun begitu, nampaknya hari ini kebiasaan itu tidak memunculkan diri pada riak dan zahir Majdi. Bimbang Zahwan rasakan jadinya.

"Majdi, cuba kau cerita pada aku, kau tengah risaukan apa-apa ke?" Nada yang menyulam kalam pertanyaan Zahwan itu halus, namun kesan yang ia bawa kepada kalbu Majdi begitu jelas dan tajam.

Majdi mengimbas persekitaran sekali lalu, dan dia lega apabila Safa tiada di situ. Barulah dia teringat, gadis itu ada memberitahu yang dia hendak ke tandas sebentar tadi. Keliru sungguh atma Majdi kerana entah mengapa, hari ini dia jadi mahu beritahu dan luahkan isi mindanya kepada Zahwan.

"Aku risau ... kalau-kalau ada yang singgah ke gerai ni dan mula bercakap-cakap lepas nampak muka aku. Kau pun tahu kan ... apa yang Fitri dah buat betul-betul lepas kita habis asasi dulu?"

Zahwan tertunduk. Tidak mampu menafikan kebenaran yang terkandung dalam kerisauan Majdi itu. Kelas pertama hari tu pun dah ternampak kerisauan Majdi menjadi kenyataan. Lepas seminggu, barulah reda cakap-cakap mengenai Majdi dalam kelas itu.

Zahwan sedikit ragu hendak memulakan bicara. Risau dia tersalah kata pula. Digigihkan jua hati luruskan niat, dan tawakal dipasang pada puncak tertinggi. "Aku faham rasa risau kau tu. Tapi, apa-apa hal, kau kena cuba dulu, okey? Kalau tidak, sampai bila-bila kau akan terus kalah dengan perasaan tu."

Tidak dapat Majdi menahan keluhan daripada meninggalkan mulut. Dia benci sungguh akan kebenaran yang tersurat dalam tuturan Zahwan tadi. Mengapalah menjadi kuat tidak semudah kekal lemah?

"Kalau aku gagal lagi macam hari tu, macam mana?"

Terkuntum sebuah senyuman berbalut ikhlas pada wajah si pendengar yang setia itu, "Aku tahu cara aku cakap ni macam mudah. Tambahan pula, aku tak berada di tempat kau. Hakikatnya, gagal tu memang sebahagian daripada proses dan perjalanan untuk kau berjaya."

Sekali lagi, Majdi keputusan kata.

Hanya kebenaran dalam ungkapan Zahwan terus setia mengikat dada.

***

Wahhh, dah habis baca?
Jangan pergi dulu. 🙃

Sudikanlah diri tekan punat bintang tu, boleh? 🙈
Supaya saya tahu ada yang baca dan hargai cerita ni. Terima kasih saya dahulukan. 😊

Rasian Reluh MajdiWhere stories live. Discover now