2

48 12 12
                                    

Hari kedua minggu pertama semester sudah mendarat, dan semangat Majdi masih belum pulih. Jasad kekal terbaring di atas katil besi berhamparkan tilam sederhana keras yang terletak berdekatan tingkap bilik.

Zahwan yang baru selesai solat maghrib mengucap panjang apabila pandangan mata tertala kepada rakan sebilik merangkap kawan baik yang sudah dia kenali sejak asasi itu masih terbaring seperti tadi.

Pening Zahwan rasakan.

Dia yakin, pasti Majdi berkelakuan begini sejak pagi tadi.

"Kau tak masuk kelas lagi sepanjang hari ni, kan?" Kebisuan Majdi meyakinkan Zahwan jawapan kepada soalan itu ialah "ya". Sempat bibir mengeluh perlahan sebelum dia bertanya soalan susulan, "Takkan kau nak terus macam ni sepanjang minggu pertama ni, Majdi? Sampai bila nak bersembunyi daripada orang? Daripada dunia?"

Soalan bersifat menyerang itu membuatkan Majdi bertukar cara perbaringan. Dia yang tadi baring menelentang kini menghadap ke kiri, ke arah tingkap bilik mereka berdua. Sangka Majdi, tindakan itu akan buat Zahwan berhenti berbicara. Tapi, apa yang jadi ialah sebaliknya.

"Kalau kau belum sedia nak masuk kelas, sekurang-kurangnya jomlah kita masuk kelab, buat aktiviti sekali? Mana-mana kelab pun, aku okey. Asalkan kau tak terperuk dalam bilik. Ada benda untuk dibuat."

Zahwan hampa.

Langsung tiada jawapan balas walau sepatah.

Wirid yang terbantut dek keprihatinan akan Majdi tadi akhirnya Zahwan tuturkan. Beberapa minit kemudian, dia mengangkat kedua belah tangan untuk merafakkan doa. Sudah tentu doa buat si sahabat tidak dia lupa selitkan. Usai berdoa, sejadah dilipat dan kunci bilik dia capai.

"Kau fikir-fikirkanlah apa aku cakap tadi. Aku nak pergi ke kafe sekejap. Kalau kau nak kirim apa-apa, bagitahu dekat WhatsApp."

Kali ini, dia tidak lagi menunggu respons Majdi seperti tadi. Setelah dia ujarkan semua yang dia rasa perlu, Zahwan melangkah keluar dari bilik untuk dua orang penghuni itu. Tombol pintu ditekan sebelum ia ditutup.

Tatkala tinggal dia seorang di dalam bilik sederhana luas itu, barulah Majdi kembali berbaring secara menelentang. Sekali lagi, siling bilik berwarna putih dihiasi beberapa sawang halus menjadi objek perhatian anak mata. Soalan-soalan Zahwan yang paling menyentap emosi kembali bermain dalam corong telinga.

"Sampai bila nak bersembunyi daripada orang? Daripada dunia?"

"Kalau kau belum sedia nak masuk kelas, sekurang-kurangnya jomlah kita masuk kelab, buat aktiviti sekali? Mana-mana kelab pun, aku okey. Asalkan kau tak terperuk dalam bilik. Ada benda untuk dibuat."

Tidak terluah di mulut, namun ia melintas laju dalam hati dan menerawang dalam fikiran Majdi. 'Dah tentulah semudah tu Zahwan bercakap, bukan dia yang dimalukan .... Dia tak hadap apa yang aku kena dulu,' ratap hati kecil Majdi.

Dua hari berlalu, dan Majdi masih kekal dengan rutin tidak sihat itu. Dia berterusan terperuk dalam bilik, termenung sendiri sambil berbaring atau duduk di atas katil. Makan dan minum pun terlalu sedikit kuantitinya. Zahwan benar-benar risau melihat keadaan itu.

Sama seperti tiga hari yang lepas, Majdi tidur awal. Lebih membimbangkan, Majdi berlayar dengan bahtera tidur ke alam mimpi tanpa menunaikan walau satu daripada kewajipan lima waktu.

Mengeluh hampa Zahwan entah yang ke berapa kali.

Andai saja dia punya kuasa untuk mengubah hati insan, Majdilah insan pertama yang akan Zahwan ubah hatinya. Hasrat itu kekal terpendam di dasar paling dalam. Sedangkan Rasulullah SAW pun tidak diberi kebolehan ini, siapalah Zahwan - seorang manusia biasa - untuk memiliki kebolehan seperti itu?

Rutin biasa malam hari Zahwan, selesai mengulang kaji secara kilas dan menyiapkan barang-barang dan pakaian untuk kelas esok, dia mula bersiap-siap hendak tidur.

Dia baru sahaja siap mengibas-ngibas tilam dan bantal ketika telinga menangkap erangan perlahan daripada mulut Majdi. Sepasang bibir itu terkumat-kamit entah apa, tidak difahami Zahwan.

"Majdi?"

Tiada balasan.

"Majdi? Kau okey tak?" tanya Zahwan sekali lagi. Suara kini lebih kuat berbanding tadi.

Kalau tadi erangan Majdi perlahan sahaja berbunyi, ia beransur-ansur kuat sehingga Zahwan terpaksa bergegas membuka lampu bilik yang sudah dia tutup. Sepasang kaki itu kemudian laju menapak ke katil Majdi yang sudah mula meracau tak tentu arah.

"Jangan kacau aku! Berambuslah, makhluk sial!"

Bertingkah dua suara itu menggamatkan suasana bilik yang tadi sunyi. Bingit mula terbit dek suara kedua-dua penghuni yang sama lantang."Majdi, bangun!" ulang Zahwan beberapa sambil menggoyang-goyangkan keras tubuh Majdi kali sehinggalah akhirnya sepasang mata Majdi terbuntang.

Nafasnya berombak tidak sekata. Dada naik turun termengah-mengah entah kenapa.

"Kau mimpi buruk apa tadi? Sampai teruk macam ni?"

Majdi sekadar menggeleng mendengarkan soalan Zahwan itu. Meski dia ingat mimpi tadi dengan jelas, itu tidak bermakna dia mahu kongsikan rinciannya kepada Zahwan. "Kau nak aku pasang ayat al-Quran tak?"

Soalan itu dibiarkan Majdi tergantung sepi. Dan sebenarnya, Zahwan pun tidak menjangkakan sebarang jawapan daripada jejaka yang baru meracau tadi. Telefon bimbit di sebelah bantal atas katil Zahwan capai, lalu surah al-Baqarah dia pasang sederhana kuat.

"Kalau kau nak berteman ambil wuduk nanti, kejutkan je aku dari tidur." Lampu bilik dipadam kembali setelah Zahwan yakin rakan sebiliknya itu sudah beransur okey.

Majdi pula kekal dalam keadaan terduduk. Pada saat ini, hanya ada dua benda atau lebih tepat, dua imej, yang memenuhi layar minda: gua yang gelap dan seekor ular hitam.

***

Eh, jangan pergi dulu! Tekanlah punat bintang tu supaya saya tahu cerita ni ada pembaca.

Dah tekan? Terima kasih. Jemputlah komen sekali alang-alang korang masih ada di sini. 🙈

Rasian Reluh MajdiΌπου ζουν οι ιστορίες. Ανακάλυψε τώρα