5

40 7 6
                                    

Sudah lama benar rasanya Majdi tidak menemui kenikmatan dan keseronokan dalam suasana bersosial seperti hari ini. Tersejat seketika sebarang perasaan negatif terhadap Zahwan yang mula-mula dia pendam pagi tadi.

Tidak dia sangka, dalam hidup yang sunyi nan haru biru sudah sekian lama, ternyata ada detik gembira buatnya. Melangkah keluar dari ruang mesyuarat kelab QOWIY tadi, rasa berbunga mekar dan terus bercambah dalam hati Majdi.

Sempat dia melirikkan penglihatan ke arah Zahwan yang berjalan di sebelah. Nyata terpancar sinar dan rasa yang sama dari wajah kawan baiknya itu - menambahkan keyakinan Majdi bahawa apa yang dia rasa pada saat ini bukanlah khayalan dan permainan minda.

Melintasi kawasan lapang di hadapan perpustakaan, kegembiraan yang bertapak tadi mula tercabut dari akar hati Majdi. Kerumunan manusia di kawasan sekitar situ membuatkan jantung berdebar laju. Wajah yang tadi memandang ke depan, kini menunduk terarah ke lantai. 

Relung bersalut walang mula bertunas akar-akarnya tak semena-mena. Perlahan-lahan sinar kegembiraan yang menyelati sekeping kalbu Majdi tadi terkelupas dan mendedahkan kembali keadaan asal.

"Majdi?"

Panggilan Zahwan tidak diendahkan si empunya nama, kerana pada tatkala itu juga ada satu lagi hal, atau lebih tepat seseorang, yang berjaya merampas perhatian dia. Figura yang melintas tadi membuatkan kepala Majdi terteleng sepenuhnya ke arah itu.

"Dah hilang ...."

"Apa yang dah hilang?" tanya Zahwan prihatin.

Kurang senang dengan rasa ragu yang bersemai, soalan Zahwan tadi dibalas dengan sekali dua gelengan. "Jomlah gerak balik bilik," ujar Majdi perlahan seraya kaki melangkah mendahului Zahwan yang terpinga-pinga di belakang.

Masih tidak berpuas hati dengan situasi yang sedang terjadi, sekali lagi Zahwan cuba untuk bertanyakan keadaan sebenar kawannya itu. 

"Kau okey tak ni, Majdi?" Suara yang meluncur keluar dari mulutnya kali ini lebih lantang dan tegas. Lantaklah kalau Majdi nak sentap bagai. Bimbangnya pada saat ini bukanlah sekadar mainan perasaan.

Tubuh mereka kini bersebelahan dan langkah mereka akhirnya seiringan. Sekali lagi soalan yang dituturkan terbang melayang tidak diendahkan. Zahwan pasrah, namun tetap dia tidak lepas menjeling dan memerhati keadaan Majdi di sebelah setiap beberapa saat.  

***

Tangan kanan mula mengepal sebuah buku lima. Bengang kepada diri sendiri, dan bengang kepada Majdi yang tak semena-mena tajam pula pandangan matanya pada hari ini. Seluruh tubuh mula menegang, dan paling terzahir ketegangan itu pada wajah.

"Punya lama aku berjaya mengelak daripada dia nampak. Sekali hari ni, kantoi macam tu je!" Zahir pada nada suara, dia masih tidak berpuas hati.

Keinginan hendak melunaskan kesumat lama mula sedikit malap. Kalau apa-apa terjadi pada Majdi nanti, pasti dia akan menjadi orang pertama yang disyaki memandangkan kewujudan dia di sini sudah diketahui.

"Tak guna!" Dengan setiap saat berlalu, semakin kuat bertunas gumpalan perasaan negatif yang rencam dalam hati Zayyad.

"Lemah," sanggah satu suara.

Tanpa perlu Zayyad palingkan kepala mencari arah punca dan pemilik suara itu pun, dia sudah arif benar siapa dan apa yang menuturkan sepatah perkataan yang cukup dia benci itu.

"Aku tak lemahlah, sial!"

Ketawa sinis terurai.

"Kau memang akan sentiasa kalah pada dia. Terimalah hakikat, tak kira apa kau buat, kau tetap akan kalah macam dulu." Berketap hebat gigi Zayyad dengan setiap patah perkataan yang dituturkan.

Belum habis berang menjerang, si penutur sengaja menyimbahkan lagi minyak ke api yang marak menyala dalam benak Zayyad. "Padahal, dia masih baru melalui masa lemah. Tapi, kau ... kau memang sejak dulu lemah!"

Bangkit Zayyad dari duduk dengan badan yang berombak menahan hangat api amarah. "Berambuslah!" Hampir menjerit pemuda berambut perang tua itu mengucapkan sekeping perkataan menghalau tadi.

Sunyi menyelimuti kembali. Namun, tidak pada minda Zayyad. Dalam alur minda yang berselirat itu, satu demi satu kenangan pahit lama berpunca daripada Majdi berputar terus - menyeksa dan menjengkelkan hati Zayyad yang memang sedia ada geram.

Mana mungkin Zayyad dapat lupakan saat pertama kali dia mengenali Majdi di sekolah menengah dahulu. Dia yang secara tidak sengaja terlanggar Majdi di tengah kantin telah diherdik dengan kata-kata makian. Jatuh langsung air muka Zayyad dek dimalukan depan satu sekolah.

Sejak kejadian itu berlaku, Zayyad sentiasa mengecilkan diri dan mengunci mulut apabila terserempak dengan Majdi dan kawan-kawannya. Jika Majdi berjalan di tengah, Zayyad akan ke tepi setepi-tepinya sehinggalah jarak antara mereka berdua melebihi dua meter.

Meski sudah begitu kuat usaha Zayyad untuk menjauhkan diri agar dia tidak mengacau dan menjengkelkan anak orang berada itu, tetap jua Majdi melemparkan kata-kata hinaan dan ejekan terhadap Zayyad.

Para pengawas sudah menegur. Guru-guru juga sudah mengingatkan. Tetap jua Majdi dengan perangai tidak beradab itu. Dan paling Zayyad benci, perangai musibat Majdi itu kekal dan tekal selama tiga tahun lamanya. Daripada tingkatan satu hinggalah ke tingkatan tiga. 

Memasuki tingkatan empat, Majdi sudah berpindah ke sekolah lain. Maka, dapatlah Zayyad merasa hidup aman sekali-sekala tanpa diganggu pembuli bernama Majdi itu selama dua tahun.

Akan tetapi, itu tidaklah bermakna dia bebas dan aman daripada sebarang buli selepas itu. Hanya Majdi yang berpindah sekolah, para perintis kaki buli itu tetap berada di sekolah yang sama dengan Zayyad.

Barangkali mereka yang tidak berada di tempat Zayyad akan menganggap perbuatan Majdi itu tidaklah seteruk mana. Pasti dengan mudah mereka akan merumuskan Zayyadlah yang terlebih sensitif. Mudah untuk mereka berkata-kata.

Apa tidaknya? Bukan batang hidung mereka yang kena! Tambahan lagi, itu bukanlah keseluruhan cerita.

"Aku akan pastikan dendam aku terlunas dengan tangan sendiri kali ni," azam Zayyad. 

"Tunduk pada aku, dan aku akan tunaikan kehendak kau." Suara tadi kembali. Kali ini, nada si penutur berbaur licik. Tak ubah bagaikan udang di sebalik batu.

Zayyad yang mendengar 'tawaran' itu tidak segera mengikut telunjuk. Diam dia seribu bahasa. Membiarkan sahaja 'tawaran' tadi berlegar dalam alur fikiran. Benar, dia sedang dimamah geram disertai benci pada saat ini. Namun, dia tidak sebodoh itu membenarkan diri membuat keputusan tatkala emosi menguasai.

***

Eh, jangan pergi dulu! Jemput tekan punat bintang tu. Tidaklah saya keseorangan di sini, huhu.

Dah tekan? Terima kasih. Jemputlah komen sekali alang-alang korang masih ada di sini. 🙈

Rasian Reluh MajdiWhere stories live. Discover now