9

26 6 12
                                    

Bagai bulan jatuh ke riba. tidak sesekali Majdi menyangka aktiviti yang memerlukan dia berhadapan dan berbicara dengan orang ramai ini akan menimbulkan rasa seronok dalam diri. Sesekali dia mencubit lengan kerana hendak memastikan dia berada di alam realiti.

Meski terwujudnya realiti ini dengan rawak sekali, takkan Majdi lepaskan peluang untuk kegembiraan sementara ini dia rai.

Dia kini duduk di kerusi untuk berehat sebentar. Helaian-helaian kertas layang yang dipegang tadi diletakkan sebentar di atas meja gerai kecil itu. Majdi lalu mencapai botol air mineral terletak berhampiran tiang meja. Bismillah diucapkan lalu air itu dihirup laju.

Haus benar rasa. 

Rupanya, bercakap-cakap ialah kerja yang memenatkan juga. Barangkali, hakikat itulah yang dia amalkan secara tidak langsung selama ini sejak hati berubah khali. Disebabkan itu, mulutnya lebih banyak tertutup sekarang berbanding dahulu - sentiasa terbuka untuk berbicara.

Sempat sepasang mata bundarnya memerhati gelagat Zahwan. Kawan baik Majdi yang seorang itu kelihatan begitu bersemangat mengedarkan kertas layang pengenalan kelab itu kepada para pelajar yang lalu-lalang. Senyuman tak sesaat lekang daripada mulut. Air wajah gigih dimaniskan selama ia mampu.

Ada pelajar yang mengambil kertas layang Zahwan, dan ada juga yang sekadar mengangguk kecil sebelum berlalu pergi. Ada yang berjalan terus sambil berpura-pura mereka berdua dan gerai itu bagai tidak wujud di situ.

Oh, manusia! Telatah mereka rencam sekali.

"Eh, Zahwan! Hai!" 

Suara yang menyapa itu sangat dikenali Majdi. Terpicu kenangan pahit yang selama ini sukar untuk dia kunci pada lubuk hati dan kotak memori. Botol air mineral tadi diletakkan kembali di tempat asal. Lalu, sedikit demi sedikit Majdi menundukkan wajah. Tidak mahu keberadaan di situ diketahui penutur tadi.

"Hai, Aqilah. Kau dah ada masuk mana-mana kelab tak? Kalau belum, jomlah masuk kelab QOWIY ni," tanya Zahwan santai.

"Belum. Aku macam malas sebenarnya. Tapi, kalau kelab yang ada kawan-kawan asasi aku dulu macam kelab kau ni, akan aku pertimbangkan." Jawapan itu diiringi senyuman mengusik Aqilah.

Namun, senyuman tadi tidak bertandang lama. Hadirnya ia sejenak cuma bagai musafir yang terburu-buru hendak meninggalkan tempat persinggahan. Mana tidak? Dia dapat menangkap figura yang tertunduk di balik gerai itu. Tanpa perlu dia melihat wajah individu itu, dia sudah tahu itu siapa.

Dia mendekatkan sedikit jarak dengan Zahwan seraya bertanya perlahan, "Majdi ke tu?"

Soalan rawak Aqilah itu automatik membuatkan Zahwan berpaling untuk melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Aqilah dengan mulut memuncung tadi. Perlahan-lahan Zahwan kembali memandang ke Aqilah seraya mengangguk sekali.

"Oh ... kalau macam tu, kau ambillah balik kertas layang ni. Aku tak nak."

Tidak sempat Zahwan menuturkan hatta sepatah kata balas, gadis itu sudah meluru pergi. Sebuah keluhan perlahan dilepaskan. Dia cuba untuk tidak ambil hati dengan kelakuan Aqilah tadi. Tertangguh niat Zahwan hendak menyambung kegiatan tadi apabila deruan sesak nafas Majdi yang laju dan kuat menangkap telinga.

Kertas layang yang masih berbaki cepat-cepat Zahwan letakkan di atas meja gerai. Tidak membuang masa, Zahwan mendekati Majdi yang sedang mengalami kesukaran bernafas. Lutut sebelah kanan dipasakkan atas lantai, sementara lutut sebelah kiri menjadi tempat dia memangku sebelah lengan.

"Majdi, pandang mata aku. Kau kena cuba bertenang." Sebelah tangan mengusap-usap perlahan belakang badan Majdi. Pandangan mereka bertaut dan Zahwan tidak dapat menolak rasa sedih yang muncul apabila anak mata Majdi ditatap.

Ketakutan. Itu yang terpampang jelas pada sepasang anak mata itu.

"Kau kena cuba kawal pernafasan kau, okey? Ikut aku buat ni. Tarik nafas ikut hidung, dan hembus keluar ikut mulut."

Bergelut Majdi cuba meniru apa yang sedang Zahwan tunjukkan. Meski dia cuba sedaya-upaya untuk menarik nafas melalui hidung, proses itu tidak dapat dia rasakan apatah lagi lakukan. Desiran nafas Majdi hanya dapat masuk dan keluar melalui mulut pada saat ini.

"Majdi dengan Zahwan kan tu?" Beberapa suara yang dia kenali semasa asasi menerpa entah dari mana. Tidak sempat Majdi hendak mencari pemilik suara dan memproses apa lagi kata mereka, matanya sudah terkatup rapat. Zulmat memeluk rapat.

***

Sepasang kelopak mata itu terbuka luas. Siling berwarna putih menjadi objek pertama yang dilihat mata Majdi. Terkelip-kelip sejenak kelopak mata pemuda itu cuba memproses realiti yang terpapar ini.

'Aku dekat mana? Macam mana aku boleh sampai sini?'

"Baru suruh jaga gerai dah pengsan. Tak boleh harap betul," sinis bicara gadis bernama Lily itu tidak mengusik hati Majdi. Dia tahu apa yang dikatakan Lily itu betul, dan dia tidak pula merancang hendak menafikan apatah lagi mempertahankan diri.

Selepas Majdi mengambil posisi duduk, Lily melangkah keluar daripada ruangan umum Persatuan Pelajar KTIS (PPKTIS) itu. Zahwan dan Safa berdiri di luar menunggu Majdi sedarkan diri. Betapa lega mereka rasa apabila perkhabaran yang sejak tadi dinanti akhirnya diberitahu oleh Lily.

"Alhamdulillah, nasib baik gerai kelab kita dibuka tak jauh daripada ruangan umum PPKTIS ni," luah Zahwan dalam kesyukuran.

Safa mengangguk bersetuju dengan bibir terkunci.

"Aku rasa kawan kau tu tak ada apa-apa yang perlu aku tolong pun tu. Keadaan dia taklah teruk sangat sampai perlu bawa ke klinik. Kalau jadi apa-apa lagi masa aktiviti kelab kita, telefon aku terus macam tadi, okey?" Dalam pada menyampah dengan kelembikan Majdi, mahu tidak mahu, tanggungjawab sebagai penjaga kebajikan ahli kelab QOWIY perlu Lily jalankan. Pasrah sahajalah jawabnya.

Sebaik sahaja Lily berlalu pergi, Majdi pula keluar. Dia sedikit terkejut melihat Safa turut sama di situ menunggu. "Majdi, kau okey dah tak?" Tumpuan yang berarah pada Safa tadi segera beralih ke arah Zahwan yang prihatin bertanya.

Perlahan dia mengangguk sebelum menjawab, "Alhamdulillah, dah okey sikit. Nafas aku dah lebih lancar berbanding tadi."

"Majdi, boleh saya tahu? Awak kena serangan panik ke tadi?" tanya Safa prihatin.

Dia tertunduk malu. Namun, mahu menipu dia tahu bukanlah pilihan yang jitu. "Haah." Sesaat berlalu, dan tangan Zahwan yang melingkari bahunya membuatkan Majdi terasa dilindungi. Betapa kawan baik dia yang seorang itu sangat dia hargai.

"Jangan putus asa, okey? Dan tetap kuat semangat. Insya-Allah, awak akan baik-baik saja."

Senyuman yang mengiringi kata-kata Safa tadi entah mengapa kelihatan manis sungguh dalam layar mata Majdi. Adakah dia masih dihambat kemamaian atau disampuk kemabukan? Apa yang pasti, senyuman gadis itu cukup berkuasa untuk menjangkiti Majdi. Hingga dia sendiri senyum tanpa dia sedar.

"Terima kasih, Safa."

***

Eh, jangan pergi dulu! Tekan punat bintang tu dulu meh, supaya saya tahu cerita ni ada pembaca.

Dah tekan? Terima kasih.

Jemputlah komen sekali alang-alang korang masih ada di sini. 🙈


Rasian Reluh MajdiOn viuen les histories. Descobreix ara