10

17 4 15
                                    

Berkerut-kerut dahi Zayyad dalam pada dia cuba memahami isi yang tertera pada nota di dalam genggaman. Helaian kertas yang tercetak di atasnya slaid-slaid topik berkenaan Legal History Straits Settlements itu tidaklah setebal mana. Pun begitu, ia sudah cukup untuk memeningkan kepala Zayyad.

"Apa pentingnya persoalan sama ada Pulau Pinang ni wilayah serahan ataupun terra nullius?" Buku teks dan barang-barang lain beserta helaian nota tadi yang menyemak di atas meja dan di dalam lensa mata ditolak ke tepi.

Isi otak sudah sarat, melebihi kapasiti.

Zayyad perlu berehat segera.

Setelah lapang sedikit permukaan meja itu, Zayyad segera melentokkan kepala. Kalau hendak diikutkan, ini topik awal semester yang bermaksud tahap kesusahan tidaklah setinggi mana. Tetapi entah mengapa, sukar sekali dia hendak memahami.

'Mungkin sebab kau tak baca doa sebelum mula ulang kaji tadi.' Bisikan hati yang terlalu rawak itu Zayyad tepis jauh-jauh.

Untuk apa dia berdoa? Sepanjang 19 tahun dia hidup, doanya tidak pernah sekali dimakbulkan. 'Doa hanya untuk orang-orang lemah dan bodoh,' sanggah sisi hati yang lain pula.

Terbeban dengan perdebatan dalaman yang muncul tanpa diundang itu, Zayyad menekupkan seluruh wajah ke permukaan meja dengan berbantalkan lengan kiri. Untuk menghayati kedudukan yang membawa isyarat pasrah itu, sengaja Zayyad memejamkan mata.

Kesunyian perpustakaan pada ketika itu sangat dia syukuri.

Mudah untuk dia mengecas kekuatan diri.

"Betul kau okey nak pergi ke bengkel sendiri? Tak nak aku teman?" Suara itu datang dari arah belakang. Zayyad pasti tukang tanya yang suaranya Zayyad kenali itu sedang berjalan seiringan dengan manusia yang paling dia benci.

Kedudukan seperti orang tengah tidur itu Zayyad kejapkan. Dia tidak mahu Majdi sedar apatah lagi tahu akan kewujudannya di situ. Oleh itu, dia harus memastikan wajah kekal tersungkup begini dan tersembunyi.

"Tak apa, Wan. Lagipun, dah alang-alang aku nak pergi hantar betulkan kemek, aku nak servis sekali kereta tu. Dah lama tak hantar cek." Mendatar sahaja suara Majdi membalas pertanyaan Zahwan tadi.

Riak toya pada wajah Majdi tidak cukup untuk menghilangkan rasa gelisah Zahwan. "Bila aku fikir balik, aku tarik balik pertanyaan aku tadi," tegas suara Zahwan berbicara, menimbulkan hairan Majdi.

"Maksud kau?"

"Maksud aku, aku takkan tanya lagi. Aku akan teman kau juga ke bengkel nanti."

Sempat Majdi mendengus kecil. Sedikit rimas, waima tetap bersyukur, dengan keprihatinan Zahwan yang sangat menebal itu. "Tak payah, Wan. Tak payah menyusahkan diri kau."

Zahwan selamba menjungkitkan bahu. "Aku tak rasa susah pun," kata Zahwan tenang. Dia lalu menyambung bicara singkat tadi. "Lagipun, keadaan kau sekarang ni, lebih tepatnya, keadaan kau sejak mula semester ni, nampak kurang okey. Dan jujurnya, aku rasa itulah sebabnya kau sampai boleh langgar penghadang dekat bangunan kolej kita tadi."

Kebenaran dalam kata-kata Zahwan tadi terlalu nyata.

Bagaimana mungkin mampu Majdi menafikannya?

Kebisuan Majdi tidak menggusarkan Zahwan. Dia faham kenapa kawan baiknya itu bersikap sebegini. "Kau jangan risau. Sikit pun kau tak susahkan aku. Kita kawan, kan? Mestilah kena saling tolong. Nanti masa aku susah, giliran kau pula."

Hanya senyuman tawar yang dapat Majdi zahirkan sebagai jawapan balas kepada ujaran Zahwan tadi. Dalam diam, dia membenarkan dengan sungguh-sungguh apa yang baru dikatakan oleh Zahwan tadi.

Suara sepasang sahabat tadi semakin menjauh. Apabila sayup-sayup kedengaran bunyi tapak kaki mereka berdua, barulah Zayyad yakin hendak mengangkat wajah. Loya terasa tekak apabila dia terimbas kembali bibit-bibit perbualan Zahwan dan Majdi tadi.

"Untung betul musibat ni. Duit mak bapak banyak, nak bayar apa-apa pun jadi mudah. Tak payah nak fikir duit makan cukup tak, belanja lagi."

Dengan tangan memeluk tubuh, Zayyad menyandarkan tubuh pada kerusi. Fon telinga yang tertanggal tadi disumbat semula ke lubang telinga. Setelah yakin penampilan zahir sebegitu cukup untuk memperdayakan pengunjung perpustakaan di situ, barulah dia membuka mulut berbicara.

"Masih belum cukup. Aku nak kau terus intip dia. Kacau dia dengan lebih teruk lagi. Sampai jadi gila, lagi bagus."

Usai ayat itu diungkapkan, desiran angin deras melintas di belakang Zayyad. Rasa sejuk yang timbul itu Zayyad abaikan. Dia sudah biasa.

***

Sudah beberapa hari berlalu, akan tetapi peristiwa kecil yang berlaku di dalam bilik perbincangan di perpustakaan tempoh hari masih kukuh bertapak dalam kotak memori Safa. Kesantunan Majdi benar-benar meninggalkan kesan pada atma yang halus.

"Ish, cukuplah berangan tu, Safa!"

Mahu saja dia menumbuk pipi diri sendiri hingga pengsan. Menyampah pula dengan sisi keperempuanan diri sendiri yang mudah benar tersentuh dengan kesantunan seorang ajnabi. 'Benda kecil macam tu pun nak berbunga-bunga ke, wahai hati?'

Deting notifikasi telefon menyentak alur fikiran yang giat mengalir tadi. Segera Safa mendapatkan peranti yang terletak di atas meja belajar. "Oh, mesej daripada Zayyad!" tuturnya perlahan.

Jadi kan nak discussion pagi Ahad esok?

Kalau book discussion room dekat lib okey tak?

Termenung sejenak Safa memikirkan implikasi yang akan terjadi sekiranya perbincangan mereka berjalan di tempat yang Zayyad cadangkan. "Memanglah bilik berbincang tu ada tingkap lutsinar menghala ke ruang terbuka, tapi ... aku tetap berdua dengan dia dalam tu, kan? Lagipun, bilik tu agak tersembunyi sebab duduknya dekat belakang."

Tersentak Safa apabila dia tersedar sesuatu. Mental yang terasa berat tak semena-mena memaksa Safa duduk di atas birai katil. Dalam keadaan berdiri, dia tidak mampu meleraikan kekusutan fikiran yang baru sahaja mendapat kesedaran itu.

"Sebelum ni, aku tak kisah pun pasal benda-benda macam ni sebab aku tahu aku bukan buat benda tak elok. Tapi lepas apa Majdi buat hari tu ...."

Terlepas ketawa kecil daripada mulut Safa. Jelaslah, ia disebabkan rasa tidak percaya akan kenyataan dan keadaan diri sendiri. "Punyalah banyak peringatan kak long bagi pada kau, sekali rasa nak berubah datang macam tu saja daripada tingkah laku kecil budak baru kelab ni."

Buat beberapa ketika, Safa dilanda perasaan yang bercampur baur antara gembira kerana akhirnya dia mendapat kekuatan untuk melakukan perkara yang betul dan serba salah kerana pesanan kak long dia abaikan begitu saja selama ini. Puas melayan fikiran, dia akhirnya membalas mesej Zayyad tadi.

Jumpa kat kafe fakulti boleh tak?

Situ taklaa private sgt.. lgipun kita berdua je nnti

Boleh

Balasan ringkas pasangan tugasannya itu melegakan hati Safa. Setelah peranti tadi diletakkan kembali ke tempat asal, Safa mengambil masa sejenak membetulkan niat hati. 'Buat bukan sebab Majdi, dia cuma pemangkin. Niat lillahi Ta'ala.' Ayat itu terus-terusan dipasakkan ke hati.

***

Eh, jangan pergi dulu! Tekan punat bintang tu dulu meh, supaya saya tahu cerita ni ada pembaca.

Dah tekan? Terima kasih.

Jemputlah komen sekali alang-alang korang masih ada di sini. 🙈

Rasian Reluh MajdiNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ