16

12 4 0
                                    

Kencang nafas berderu.

Langkah kaki berlari semakin bercelaru.

Majdi bagaikan terperangkap dalam pagar sesat hutan belantara tanpa jalan keluar pada saat ini. Di sekelilingnya, hanya ada pokok-pokok yang rencam ketinggian dengan daun yang rimbun dan lebat. Mengurangkan lagi jumlah cahaya yang memang sudah terhad dek hanya bulan yang menjadi sumber.

Dia tidak tahu sudah berapa lama dia berlari, dan dia juga tidak tahu dari mana dan ke mana hendak dia pergi. Dia cuma tahu yang dia sedang berlari untuk menjauhkan diri daripada sesuatu, dan dia tak akan sesekali berhenti melainkan dipaksa situasi.

Sesuatu itu sedang memburunya. Sesuatu itu mahu mengapa-apakannya.

Majdi yakin akan itu. Gerak hati kuat cenderung ke situ.

Ranting-ranting daripada pohon yang rendang satu demi satu menyapa wajah Majdi. Menyukarkan larian pemuda itu yang sudah memang bercelaru pacuannya. Menimbulkan juga rasa sakit pada permukaan kulit muka. 'Ya Allah, mana jalan keluar daripada hutan ni?'

Langkah Majdi akhirnya jeda sejenak. Tercungap-cungap dia menahan mengah. Terbongkok Majdi sambil memegang lutut. Cuba mengumpul semula sebutir demi sebutir kekuatan dan tenaga yang semakin hilang digunakan untuk berlari tadi.

Tidak sampai seminit Majdi jeda, tangan kanan mula menggeletar sendiri. Dan kemudian diikuti tangan kiri pula. Tanpa perlu dia berpaling ke belakang, dia tahu ada sesuatu yang sedang berdiri dekat dengannya.

Rasa takut yang memuncak Majdi kawal sebelum sempat ia mengawal Majdi. Dia kembali menyambung pacuan kaki berlari tadi. Tidak sesekali dia menoleh ke belakang. Dia tidak mahu tahu apakah benar atau tidak firasat hatinya tadi.

Beberapa minit berlari menjauh lagi, langkah panjang Majdi terhenti buat kali kedua. Terpaku seluruh tubuh dan pandangan kepada kelibat yang tidak begitu jauh daripada tempat dia berdiri pada ketika ini.

Majdi arif akan pemilik wajah itu.

Majdi cuma jahil akan sebab manusia itu ada di sini, dan kenapa dia tersenyum sinis kepadanya.

"Zayyad ...."

***

Memasuki halaman 15, jelas kelihatan tubuh Majdi tidak lagi meronta-ronta dan bergelut gelisah seperti tadi. Hadi menjadi orang yang pertama nampak akan perkembangan positif itu, dan dia tidak berlengah memaklumkan hal itu kepada semua yang berada dalam satu ruang dengannya.

"Rasanya Majdi dah okey dah ni. Cuba tengok, dia dah tak meronta-ronta macam tadi dah."

Encik Ahmad yang duduk di kerusi meja belajar Zahwan menjedakan bacaan Al-Quran dan segera memeriksa keadaan Majdi untuk memastikan kesahihan dakwaan Hadi tadi. "Haah, nampak macam dah tidur kawan kamu semua ni."

Serentak mereka berempat menarik nafas lega.

Setelah melihat dan menilai dengan mata sendiri, Zahwan dan Imran berlapang dada dan sedikit gembira kerana benar apa yang dikatakan Hadi dan Encik Ahmad tadi. Kebisuan suasana yang bertempoh beberapa detik tadi dipecahkan oleh Encik Ahmad.

"Memandangkan keadaan kawan kamu ni dah okey, saya rasa saya dah boleh gerak balik. Kamu periksa keadaan kawan kamu ni esok, kemudian laporkan pada saya melalui WhatsApp. Kalau perlu, esok atau bila-bila dalam masa terdekat, kita terus pergi ruqyah," kata Encik Ahmad tegas dengan pandangan tertumpu langsung kepada Zahwan.

Angguk mengerti.

Hanya itu respons yang mampu Zahwan beri.

Setelah bersalam dengan ketiga-tiga pelajar di dalam bilik itu, Encik Ahmad akhirnya berlalu pergi. Tinggallah Zahwan, Imran dan Hadi di situ.

"Wan, kitorang pun minta izin gerak dululah, ya? Kalau ada apa-apa hal, macam biasa, ketuk je pintu bilik. Insya-Allah, kitorang datang tolong," tutur Imran penuh ikhlas dan tertib.

Riak penat yang tersirat pada wajah jejaka itu dapat Zahwan kesan. Timbul sedikit rasa serba salah dalam hati. Namun, apa lagi yang boleh Zahwan lakukan? Dia benar-benar tidak berdaya menghadap situasi seperti ini sendiri.

"Terima kasih banyak-banyak, Hadi, Meran."

"Tak ada hal. Jangan risau," balas Hadi segera. Dia menambah lagi, "Esok nanti kalau kitorang ada masalah dan perlukan bantuan, kau dengan Majdi pun mesti akan buat benda yang sama."

Laju Zahwan mengiakan kata-kata itu.

"Kitorang gerak dulu. Assalamualaikum." Langkah mereka ke pintu bilik itu diiringi Zahwan. Hanya selepas kedua-dua Imran dan Hadi menutup pintu bilik mereka, barulah Zahwan menutup pintu bilik sendiri.

Dia menapak kembali ke sisi katil Majdi untuk mengambil naskhah Al-Quran yang diletakkan sebentar sebelah bantal Majdi tadi. Sudah tiba masa untuk meletakkan naskhah itu kembali ke tempat asal.

Berdiri langsung di hadapan meja belajar Majdi, Zahwan teringat akan kepingan kertas yang dikeluarkan tadi. Kertas berlipat kecil atas permukaan meja itu Zahwan ambil. Halaman yang dilipat tadi kemudian dia buka untuk dia letakkan kembali kertas tadi di situ.

Setelah kertas itu diletakkan, sisi penyibuk Zahwan mencucuk-cucuk kuat tak semena-mena. Sisi jahat hati memaksa-maksa dia membuka lipatan kertas itu untuk dia curi baca apa yang terkandung di dalam. Pertarungan dalaman yang berat sebelah itu sudah ada pemenang jelas.

Buat beberapa ketika, Zahwan terus berpijak di tempat yang sama dalam posisi yang sama. Langaung tidak mampu untum mengalahkan kehendak hati yang begitu kuat rasa ingin tahu dan menyibuk.

"Heish, lantaklah!"

Mushaf yang sudah bertutup namun masih di dalam genggaman itu dibuka kembali. Kertas berlipat tadi dia ambil dan buka perlahan-lahan kemudian. Terbuntang sedikit mata Zahwan apabila melihat apa yang tertulis pada kertas itu.

Hanya sekeping nama.

ZAYYAD

***

Eh, jangan pergi dulu! Tekanlah punat bintang tu supaya saya tahu cerita ni ada pembaca.

Dah tekan? Terima kasih. Jemputlah komen sekali alang-alang korang masih ada di sini. 🙈

Rasian Reluh MajdiWhere stories live. Discover now