7

26 5 6
                                    

Terbeliak mata, lalu kegelapan menyapa.

Duduk Majdi tak lama kemudian dengan dada kembang kempis. Detak jantung yang laju rentak bagai tiada tanda akan berkurangan dalam masa terdekat. "Mimpi. Tadi cuma mimpi," bisik Majdi berulang kali diiringi rasa terdesak.

Pun begitu, hati merangkap raja seluruh tubuh itu tidak sedikit pun percaya akan apa yang dituturkan mulut perlahan tadi. Kedua-dua tangan menyentuh ringan untuk memeriksa leher sendiri, mencari rasa sakit yang mungkin berbekas akibat dicekik tadi.

Dan memang benar jangkaan Majdi.

Ada kesan rasa sakit di situ.

Tatkala alur fikiran berpindah pula kepada cecair likat yang dipaksa masuk ke dalam mulut Majdi dalam mimpi tadi, rasa loya mula menggelembung. Automatik tangan kanan menutup mulut untuk menghalang diri sendiri daripada muntah.

Tak mungkin akan Majdi biarkan itu berlaku. Sekiranya dia muntah, itu bukan setakat tanda dia lemah, bahkan itu petunjuk terbesar yang dia kalah dengan permainan minda sendiri. Cukuplah dia kalah dengan diri sendiri di dunia nyata ini.

"Itu cuma mimpi, Majdi! Mimpi!" ulang jejaka itu berkali-kali dengan rasa terdesak yang semakin meningkat.

Beberapa saat berlalu, dan terdetik dalam benak Majdi akan si dia yang sudah lama tidak melintasi fikiran. "Kenapa tiba-tiba Fitri muncul dalam mimpi aku?" Entah benci atau rindu yang menyubur pada saat ini terhadap gadis itu.

Setitis air bening membasahi pipi kanan Majdi tanpa kerelaan hati. Detik awal perkenalan dengan Fitri dahulu tidak sekali-kali luput daripada ingatan, meski Majdi tahu ia merupakan babak hidup yang menjadi permulaan dia tercampak ke lembah kehinaan.

Cara pilihannya dulu untuk mendekati Fitri dengan tujuan mengenali gadis itu bukanlah hal yang Majdi redai hari ini, apatah lagi sebagai sesuatu yang mahu dia kenang-kenangkan. Pada ketika itu, dek terikut kata hati, perkenalan dengan Fitri dimulakan dengan langkah yang salah.

Tidaklah Majdi sedar ketika itu bahawa kehadiran Fitri pada akhirnya akan menjadi pintu pembuka nestapa yang berterusan menyelubungi hidup, hingga detik ini.

"Kau tak tidur lagi, wei?" tanya Zahwan dalam mamai.

Majdi tidak segera menjawab dengan lisan, sekadar gelengan kepala dahulu.

Kesenyapan Majdi menghidupkan rasa risau dan pelik dalam benak Zahwan. Automatik dia turut bangun dari perbaringan lalu duduk dalam keadaan bersila. Mata yang masih sepet terbuka dan hidung yang berkerunyut dibiarkan saja.

Meski hodoh benar rupa Zahwan pada saat ini, hakikat itu tidak dia endahkan. Riak risau jelas terpampang pada wajah itu. "Kau mimpi buruk lagi ke?" Soalan itu terpacul keluar juga akhirnya.

Kepala ditelengkan ke arah bertentangan Zahwan. Dalam pada terbit sedikit rasa lega dan gembira atas keprihatinan Zahwan, ada juga rasa bengang dalam diri Majdi kerana riak wajah dan bahasa badan sendiri yang begitu mudah dibaca orang. Walaupun dia tidak sekali cuba untuk menyembunyikan pergelutan yang dia hadapi, itu tidak bermakna dia rela pergelutan itu dikesan dan disuarakan kepadanya.

"Aku okey. Kau sambunglah tidur."

Semakin berkerut dahi Zahwan. Selama beberapa hari ini, dia dapat menahan sabar dengan tingkah laku Majdi. Tapi, entah mengapa, nada acuh tak acuh kawannya itu malam ini sangatlah menjengkelkan. Begitu kuat terpicu rasa jengkel Zahwan, dia kini sudah sedar sepenuhnya daripada kantuk.

'Aku tak boleh kalah dengan perasaan geram ni. Ya Allah, jadikanlah aku daripada golongan orang yang bersabar.'

Sebuah nafas yang berat Zahwan hembus sebelum dia membuka mulut. Dia tahu benar kalau dia membalas kata-kata Majdi tadi dengan ikutkan hati, memang tercetuslah perang mulut nanti. Walaupun mungkin dalam keadaan hipotetikal itu, sebenarnya perang itu bakal bersifat berat sebelah dek Zahwan sahaja pihak yang sibuk menyerang.

"Kau dah solat isyak dah?"

Sengaja Zahwan bertanya soalan yang sudah dia tahu jawapannya itu. Dia hendak melihat apa lagi helah dan akal Majdi menghadapi soalan yang sudah menjadi ratib lisannyaitu.

Soalan ringkas itu menyentap hati Majdi. Buat pertama kali sejak beberapa minggu ini, baru malam ini perkataan dan persoalan rukun Islam yang kedua itu benar-benar menjerut hati. Tak semena-mena, Majdi terasa seperti cacing kepanasan.

Lat saat berlalu, dan Majdi masih kekal dengan kedudukan seperti tadi. Sekali lagi, Zahwan cuba memujuk hati untuk meredai keadaan ini. Dia cuma mampu mengingatkan. Dia tiada kuasa untuk menggerakkan dan mengubah hati orang.

Sekali lagi, Zahwan meluahkan sebuah nafas berat. Jelas benar ia keluhan yang cuba ditahan. "Jangan lupa solat dulu nanti sebelum kau tidur balik, okey?"

Tidak menunggu sebarang jawapan, Zahwan kembali berbaring. Tidak sabar hendak melayari alam mimpi kembali. Sebelum lena mengambil alih, sempat hati kecil Zahwan terdetik ... kenapa begitu drastik perubahan Majdi selepas apa yang terjadi dengan Fitri?

Dahulu, dia tidak begini. Seberat mana ujian dia hadapi, solat tak dia tinggal walau sekali. Tapi, selepas Fitri ... 'Ah, tidurlah, Zahwan oi!' Dan dia akhirnya terlena sepenuhnya.

Majdi yang sejak tadi menunggu Zahwan kembali lena menghela nafas lega kerana akhirnya dia dapat ruang bersendirian. Setelah telinga menangkap dengkuran halus dari katil sebelah, Majdi turun dari katil dan duduk di meja belajar.

Sehelai kertas kajang dari dalam laci barang dicapai. Tidak pernah sekali-kali dalam hidup sebelum ini dia memilih cara sebegini untuk meringankan isi kepala dan hati. Namun, hari ini, isi fikiran terlalu penuh dan berselirat. Dia perlu memuntahkan segala benda yang memenuhi kotak hati dan akal.

Sebatang pen biru pula diambil daripada tempat yang sama. Hampir sepuluh detik lamanya dia merenung kertas kosong itu, barulah terbit ilham daripada mana hendak dia memulakan muntahan hati dan akal.

Ralit menulis, tingkah Majdi terkaku sebentar apabila tangan kanan menulis sekeping nama yang tidak terjangka. Bagaikan tangan kanan Majdi menulis dalam keadaan auto pandu sesaat nama itu dicatat pada kertas.

"Zayyad," nama itu disebut perlahan. Serentak itu, rasa tidak senang mengisi hati Majdi yang tadi sudah kosong separuh.

***

Eh, jangan pergi dulu! Tekan punat bintang tu dulu meh, supaya saya tahu cerita ni ada pembaca.

Dah tekan? Terima kasih. 

Jemputlah komen sekali alang-alang korang masih ada di sini. 🙈

Rasian Reluh MajdiΌπου ζουν οι ιστορίες. Ανακάλυψε τώρα