12

8 3 0
                                    

Bunyi air mengalir keluar daripada paip singki menyapa mesra telinga Majdi. Tidak berlengah, dia segera menadah sedikit ke dalam kedua tangan yang sudah dirapatkan. Majdi lalu membilas muka berulang kali.

Hanya apabila dia berpuas hati, barulah dia berhenti. Selepas paip air ditutup, dia menatap langsung ke arah pantulan sendiri di dalam cermin. Soalan yang terlintas dalam hati tadi menghiasi alur fikiran kembali.

"Betul ke aku tak layak untuk rasa gembira langsung?"

Serentak soalan itu terucap di mulut, dia dapat rasakan selimut kemurungan halimunan namun berwarna gelap menyelubungi seluruh tubuh kembali. "Mungkin ni balasan Allah pada aku sebab asyik tinggalkan solat ...." Buah fikiran yang terbit secara rencam itu menimbulkan rasa takut.

Adakah itu hakikat yang sedang terjadi?

Benarkah Majdi dihukum sejak awal lagi?

Terus dia menggeleng berkali-kali. Cuba untuk menghalau fikiran menghasut dan beracun tadi pergi. Dia tahu dia berdosa. Dia juga tahu benar apa yang dia lakukan ini salah, dan hanya menzalimi diri sendiri. Akan tetapi, dia tidak menipu yang dia bergelut hendak mendirikan solat.

Bahkan, pada saat dia berdiri di hadapan paip bawah kubikel mandi untuk mengambil wuduk pun, otak sudah mula berselirat. Terlalu padat dengan isi yang Majdi sendiri tidak dapat hendak tafsir, dan pada akhirnya, dia dengan berat hati dan rasa serba salah memilih untuk tidak mendirikan solat.

Dia akui - pilihan yang dia buat bukanlah pilihan yang benar apatah lagi bijak.

Hanya saja ... Buat masa ini, pilihan itu yang mengekalkan 'ketenangan' fikiran.

Enggan hanyut dalam pusaran minda yang bagai tidak berpenghujung itu lagi, cepat-cepat Majdi melangkah keluar daripada ruang mandi tadi. Fikiran masih belum tenang sepenuhnya, jadi dia mungkin tidak akan menyambung sesi ulang kaji tadi. Nantilah. Sampai di bilik nanti, dia akan putuskan apa yang hendak dia buat selepas ini.

Sejurus pintu dikuak, kekosongan bilik tersebut menerpa lensa mata Majdi. Kekosongan itu mengundang rasa aneh dan soalan yang tiada jawapan. "Mana Wan pergi? Tadi elok duduk dekat birai katil nun." Dimamah rasa terpinga-pinga, Majdi tak habis berfikir dalam keadaan dia masih berdiri berhampiran pintu masuk bilik yang baru ditutup tadi.

"Assalamualaikum!" Kuat laungan suara Zahwan dari luar pintu bilik. "Majdi, kau dah kenapa berdiri tengah-tengah jalan ni?" tanya Zahwan sebaik sahaja pintu bilik dia buka.

Salam huluran Zahwan tadi dibiarkan tergantung. Majdi tak berlengah meluahkan persoalan yang berkelana dalam kotak fikiran, "Wei, bukan tadi kau dah balik bilik ke?" Dengan alis berkerut-kerut, soalan itu terpacul daripada mulut Majdi.

"Kau mengarut apa ni? Aku baru sampai biliklah," jawab Zahwan selamba.

Majdi terpana dan mula tertanya - adakah dia sudah rasmi gila?

***

Langit luas terbentang memenuhi layar sepasang mata Majdi. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh sampai ke cenuram ini. Sebaik sahaja kelopak mata dibuka sebentar tadi, pemandangan indah seluas mata memandang menerpa masuk ke pandangan.

Jarak di antara penghujung cenuram ini dengan tempat Majdi berdiri tidaklah jauh mana. Paling-paling mungkin, hanya sekitar dua kaki lebih. Meski dia tidak terlalu dekat dengan penghujung cenuram itu, rasa gayat melekat jua pada diri. Disajikan pula dengan pemandangan seluas alam yang terbentang.

Bulu roma tengkuk yang meremang memaksa Majdi berpaling ke belakang. Dan benarlah telahan firasatnya tadi, ada seseorang yang berdiri di situ menghala tepat ke arah Majdi. Jarak yang agak jauh antara mereka berdua menyukarkan Majdi mentafsir siapa gerangan itu.

Lat beberapa saat, akhirnya dia dapat menangkap dan mengingat identiti individu itu yang dianggap misteri tadi.

'Zayyad?'

Si pemilik nama itu terlihat sama seperti kali terakhir mereka bertentang wajah sebelum Majdi berpindah sekolah tiga tahun lepas. Perjaka itu lengkap berpakaian sekolah. Sepasang matanya tepat menikam pandangan Majdi sendiri. Zayyad kekal berdiri sambil membisu, pandangannya pula tetap terpaku kepada Majdi.

Kebisuan Zayyad meresahkan hati Majdi.

Dia tahu dia berhutang permohonan maaf terhadap kawan sekolahnya itu. Bukan hanya satu, bahkan mungkin beratus. Dan bila difikirkan balik ... bukan mungkin beratus, tapi memang beratus. Hubung pandang itu diputuskan Majdi yang kini sudah menekur ke tanah yang dipijak mereka berdua.

"Zayyad, aku ...."

Belum sempat ayat tadi dia sempurnakan, Majdi terkejut habis dek daya yang menghumban dan seterusnya menolak dia jatuh dari cenuram. Terbungkam mata apabila dia sempat melihat Zayyad berdiri di hujung cenuram itu dengan senyuman sinis.

Gelap menerpa. Majdi jadi terjaga. Tercungap-cungap dia cuba bernafas.

Bergetar hebat gegendang telinga Majdi dek rasa terkejut disapa alunan adi kuat jam penggera yang berbunyi daripada telefon Zahwan. Dia yang masih dicengkam seram sejuk akibat mimpi tadi memilih untuk tidak berpura-pura tidur seperti dia biasa buat.

"Eh, bukan kau tidur serentak aku ke malam tadi?"

Majdi mengangguk perlahan sekali.

Dengan mata yang masih sepet terbuka dan kepala yang mamai, Zahwan memaksa akal bekerja keras untuk menangkap apa yang tersirat pada wajah jiran katil sebelah itu. Beransur-ansur fikiran Zahwan yang semakin berjaga itu mencipta sebuah rumusan. "Kau mimpi buruk lagi ke?" soal Zahwan tanpa ragu.

Majdi tidak segera menjawab. Dan dia yakin, tanpa perlu dia mengiakan soalan Zahwan tadi sekalipun, pastinya raut yang zahir pada wajah dan bahasa tubuh Majdi pada saat ini sudah cukup memberi petunjuk kepada Zahwan.

"Wei, aku risau kalau-kalau mimpi buruk kau yang kerap sangat ni bukan mimpi biasa-biasa." Lontaran pandangan Zahwan kekal tertumpu kepada Majdi yang sudah mengalihkan wajah ke arah bertentangan. Sambung Zahwan lagi, "Aku risau mimpi buruk tu semua ada kaitan dengan masalah lain. Mungkin keadaan mental kau, dan boleh jadi juga gangguan makhluk halus."

Bibir Majdi kekal terkunci. Dia tahu ada kebenaran pada tekaan yang diungkapkan oleh Zahwan tadi. Akan tetapi, dia belum bersedia hendak menghadapi kenyataan itu. Meski ia pilihan yang dungu, dia mahu hidup dalam penafian buat masa ini.

"Macam mana nak bagi mimpi ni hilang, Wan?" Setitis demi setitis air mata mula berjurai. Sumpah, dia rasa sungguh lemah pada saat ini. Semua tu hanya mimpi. Tapi kenapa ia begitu berbekas kepada diri Majdi? Kenapa nasibnya begini?

"Mula dengan solat, Majdi. Itu langkah pertama yang kau kena ambil."

***


Rasian Reluh MajdiWhere stories live. Discover now