6

30 6 5
                                    

Pintu kelas dibuka dan mata Majdi laju tertangkap figura seseorang di dalam. "Fitri? Awalnya kau sampai?" tegur Majdi.

Kira dia, dialah individu terawal yang hadir ke perbincangan kumpulan mereka hari ini. Arakian, dia memang sejak azali sejenis yang suka datang awal berbanding masa yang ditetapkan atau dijanjikan.

Tercetus seketika rasa hairan menyelimuti sekeping hati Majdi. Zaman asasi sudah beberapa bulan lamanya ditinggalkan. Jadi, untuk apa dia hadir ke kelas di kampus asasi ini? Perbincangan tugasan berkumpulan apa yang sedang dia hadiri ini?

Dan kenapa dia sukarela ke sini? Tidakkah dia hanya menyeksa atma sendiri dek terpaksa berjumpa semula dengan gadis itu yang telah membawa petaka kepada hidupnya.

"Hai, Majdi." tegur Fitri kembali.

Terangkat sebelah kening Majdi. Aneh benar lontaran suara gadis itu. Majdi jadi terkaku di pintu, tidak terkumpul daya hendak melangkah masuk. Pandangan kekal terarah kepada gadis yang duduk sambil tertunduk itu.

Fitri tiba-tiba bangkit. Gerak gerinya yang perlahan itu menggentarkan hati Majdi tak semena-mena. Kepala gadis itu turut dialihkan menghala langsung ke Majdi. Sekeping senyuman nipis yang ngeri sifatnya terukir jelas pada wajah Fitri. Mata turut mencerlung tajam.

Seharusnya pintu itu dia hempas tutup. Sepatutnya dia berambus dari sini!

Akan tetapi, kakinya bagai melekat kukuh pada tempat ia berpijak saat ini. Bukan hanya sepasang kaki Majdi, bahkan seluruh tubuh Majdi bagai terkunci pergerakan. Sudah berapa kali dia menelan liur dan menghembus nafas berat, tetap dia tiada daya untuk berbuat apa-apa hatta semudah-mudah pergerakan seperti menutup pintu!

"Kenapa kau sanggup tinggalkan aku, Majdi?"

Debaran jantung semakin menggila. Dapat Majdi rasakan organ dalaman yang satu itu bagai hendak melompat keluar daripada dada. Kelibat Fitri yang sudah mula melangkah laju ke arahnya membuatkan takut Majdi semakin menjadi-jadi.

"Jawab, Majdi! Kenapa?"

"Apa yang kita buat selama ni salah, Fit!" Entah dari mana datang kekuatan mulut untuk membuka bicara menjawab soalan gadis itu. Tercengang Majdi apabila Fitri tiba-tiba berhenti melangkah sesaat jarak di antara mereka tinggal satu kaki lebih.

Fitri mula meraung tak tentu hala. Bergema kuat suara si gadis di dalam kelas yang tiada berpenghuni itu. Tak lama kemudian, tercetus pula tawa entah apa punca. Tawa yang pada awalnya kedengaran normal mula bertukar menjadi ilai.

"Pengkhianat!" jerit Fitri.

Sekelip mata, tubuh Fitri kini benar-benar di hadapan. Gentar Majdi melihat langsung ke anak mata gadis itu. Kosong tak ubah bagaikan lowong. Majdi mula bergelut hendak bernafas apabila dia merasakan cengkaman jari-jemari sejuk milik gadis itu pada leher.

"Patutnya daripada dulu lagi aku dah buat macam ni!"

Dunia Majdi mula bertukar gelita.

***

Bunyi riuh rendah menyapa gegendang telinga. Terpisat-pisat Majdi membuka mata seraya tangan kanan memegang leher. Masih terasa-rasa genggaman erat Fitri mencekik tadi. Untung umur masih bersisa.

Tatkala terbuka mata Majdi, limpahan cahaya lampu sorot memenuhi lensa pandangan. Terkelip-kelip sejenak mata cuba menerima cahaya yang melimpah ruah. Selesai memproses kemasukan cahaya ke layar mata tadi, ternganga Majdi tak lama kemudian.

Dia yang berdiri di tengah-tengah kompleks sukan lelaki KTIS pada saat ini sedang dikelilingi kerumunan manusia. Ada yang dia kenal nama dan wajah, ada yang dia kenal sekadar wajah tidak nama. Satu persamaan antara mereka semua yang pasti ialah, mereka semua rakan zaman asasi dulu.

"Itulah jantan tak guna tu."

"Dah puas ambil kesempatan pada kekasih sendiri, terus dia tinggalkan!"

"Majdi tu munafik. Entah ya, entah tidak, dah bertaubat."

Dan pelbagai lagi ayat-ayat berbaur prasangka, mencela, dan menghina ditujukan tepat kepada si jejaka yang berada di bawah simbahan sinar lampu sorot. Memang tak tersanggah hakikat dia ialah subjek utama perbualan sekumpulan manusia itu.

Suara-suara yang mengutuk itu semakin kuat kelantangannya dengan setiap saat berlalu.

Terteleng-teleng kepala Majdi ke sana sini sambil menggeleng deras dek terjahan perasaan malu yang memuncak. "Tak, aku tak buat semua tu!"

"Sudahlah kau, penipu!" Salah satu pemilik suara dalam kerumunan itu lantang menyanggah kalam Majdi.

Pundak dan kalbu yang mula terbeban membuatkan Majdi duduk mencangkung dengan wajah yang tertunduk. Kedua-dua belah telinga sudah siap ditekap rapat tangan. Tidak mampu lagi untuk mendengar lontaran nista manusia itu semua.

Beberapa saat berlalu, dan suasana mula menjadi sunyi. Tangan yang tadi menekap rapat telinga beransur-ansur dileraikan.

"Ko ... kosong?"

Berdiri dia dengan resah yang mencuar hebat. Sekejap dia berpusing ke kanan, kemudian ke kiri pula. Dia benar-benar tidak mampu menghadam bagaimana sekumpulan manusia yang begitu ramai mengelilingi tadi boleh hilang dalam sekelip mata.

Resah mula kebah.

Kini, ia bertukar cemas.

Kelibat misteri berbentuk aneh dan tidak berwajah yang berdiri langsung setentang itu mematikan sebarang pergerakan Majdi. Entah dari mana ia muncul. Meski kelibat itu tidak berwajah, namun hati Majdi kuat mengatakan ia sedang memandang ke sini. Tepat ke dalam mata Majdi.

Lambat-lambat Majdi mengundurkan sebelah kaki, bersedia untuk lari. Makhluk itu kelihatan tidak berganjak walau sedikit. Seolah-olah ia sengaja hendak membiarkan Majdi angkat kaki dahulu.

Tepat saat Majdi mengundurkan sedikit badan ke belakang, makhluk tanpa wajah tadi sekelip mata bergerak laju ke arah Majdi. Entahkan ia berjalan atau terbang, Majdi sendiri tidak pasti. Apa yang pasti, 'kaki' makhluk itu pada sekali pandang bagai tidak berjejak di permukaan bumi.

Kini, Majdi berdiri langsung berhadapan makhluk itu. Bagai terpukau, pandangan Majdi tak sekali-kali lepas daripada menatap ke nirwajah makhluk itu. Terleka memandang, Majdi tidak sedar entah bila sepasang 'tangan' makhluk itu sudah sampai ke lehernya dan mencengkam kuat.

Majdi yang sudah lemah kudrat hendak menentang jadi terduduk melutut. Terasa sia-sia usaha hendak melepaskan diri kerana kini dia dapat rasa ada daya tenaga tak nampak dek mata yang memaksa buka mulutnya. Dia pasti daya itu berpunca daripada si nirwajah yang ralit mencekik.

Semakin terpicu resah dan panik Majdi apabila ia terlihat si nirwajah mendongakkan kepala ke atas dengan mulut yang tiba-tiba muncul dan berdikit-dikit terbuka luas. Tidak disangka-sangka, makhluk itu lalu menundukkan kepalanya selari dengan kepala Majdi yang kini pula mendongak.

Cengkaman tidak lagi sekuat tadi.

Dan tenaga Majdi sudah tiada lagi.

Cecair likat umpama darah kotor penuh bendasing mula dimuntahkan makhluk itu langsung ke dalam mulut Majdi yang sedia ada ternganga. Meski susah payah dirasai tekak dan saluran esofagus Majdi, cairan likat itu dapat Majdi rasakan masuk ke dalam badan.

'Ya Allah, tolong aku ....'

***

Eh, jangan pergi dulu! Tekan punat bintang tu dulu meh, supaya saya tahu cerita ni ada pembaca.

Dah tekan? Terima kasih.

Jemputlah komen sekali alang-alang korang masih ada di sini. 🙈

Rasian Reluh MajdiWo Geschichten leben. Entdecke jetzt