3

43 8 6
                                    

Pemandangan indah yang sentiasa mengitari Kolej Tarbiyatul Islam (KTIS) tidak akan ada seorang pun dapat nafikan. Namun, malang sekali kerana keindahan alam itu tidak cukup untuk menjinakkan ombak resah dalaman Majdi.

Dia mengeluh perlahan.

Bukan mudah untuk Majdi melakukan hal ini, dan dia benar-benar berharap Zahwan mengerti hakikat itu dengan mendalam. Hampir menggigil seluruh tubuh sesaat mereka berdua sampai di pekarangan fakulti.

Zahwan yang perasan langkah Majdi terhenti menoleh ke kiri untuk memeriksa sekilas keadaan kawannya itu. "Kau boleh, Majdi," tutur Zahwan tegas sambil dia cuba meyakinkan Majdi.

Tertelan liur kelat mendengar kata-kata perangsang semangat Zahwan yang tidak begitu memberangsangkan sesaat tadi. Nampak gaya, Zahwan bakal mengambil pendekatan 180 darjah berbeza berbanding minggu lepas.

"Okey. Jom."

Semangat kian meluntur itu cuba Majdi pangkin dengan menjadi yang pertama berjalan di hadapan, menuntun langkah mereka ke kelas. Bergelut Majdi cuba menayang riak tenang dan bersahaja pada wajah.

Sama seperti Zahwan tadi, Majdi memaksa diri sendiri mengambil pendekatan berbeza menemani perjalanan ke kelas.

Anak mata tidak dibiarkan berkeliaran mencari sebarang tanda untuk membenarkan fikiran negatif dan prasangka membuta terbit. Sepasang mata dipaksa untuk fokus hanya ke arah depan, mencari tempat yang dituju.

Zahwan memerhati dari belakang tingkah laku jejaka merangkap kawan baik sejak asasi yang berjalan di hadapan sedikit berbanding dia. Lega dan syukur bersilang ganti menghuni hati.

Manalah tidak?

Punya susah dia nak memujuk (memaksa sebenarnya) Majdi masuk ke kelas minggu ni memandangkan rakan sebiliknya itu ponteng semua kelas pada minggu pertama!

"Lantaklah, Wan! Aku tak peduli. Aku takut. Aku malu."

Ayat yang diucapkan Majdi di dalam bilik mereka pada waktu subuh tadi masih terngiang-ngiang dalam telinga Zahwan. Usai bertelingkah dengan Majdi, dia segera mendirikan solat fardu dan berdoa agar dia diberi kekuatan untuk sambung memujuk Majdi.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, akhirnya pintu hati Majdi yang terkunci rapat itu terbuka jua untuk datang ke kelas pagi ini.

Berdesup kembali roh dan mental Zahwan ke alam nyata apabila langkah Majdi terhenti berdekatan pintu kelas. Tahulah jejaka berambut hitam lebat itu apa yang sedang terjadi. Pasti keraguan datang menerkam lagi.

"Jom." Perlahan tubuh Majdi ditolak dari belakang. Tidak tertinggal sebarang pilihan buat Majdi selain daripada masuk dan hadir kelas pada hari ini.

Langkah pertama: masuk ke kelas - selesai.

Langkah seterusnya: cari tempat duduk.

Beruntung dia rasa kerana ada Zahwan yang menemani. Laju dan mudah sahaja mereka mendapat tempat duduk di barisan hadapan. Duduk Majdi di atas kerusi plastik itu dengan dada yang lapang.

Benarlah seperti yang Zahwan janjikan.

Pandangan-pandangan sinis dah nyata berkurang.

***

Kelas yang berlangsung sejak 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari tadi entah bagaimana mampu membuatkan Majdi lupa sejenak akan kekusutan minda dan segala masalah hati. Pun begitu, sejurus kelas tamat beberapa saat lepas, minda itu kembali tertumpu kepada kusut yang lenyap seketika tadi.

'Tak apa. Aku yakin balik ke bilik nanti, kita akan okey semula.' Betapa lintasan hati itu cukup tepat untuk menggambarkan keadaan mental Majdi. Hanya di dalam bilik sendiri, kekusutan fikiran yang aktif sepanjang masa itu akan jeda sebentar.

"Ya, aku cuma perlu berada dalam bilik. Menyendiri. Tersembunyi." Sambil tangan sibuk mengemas barang-barang lalu dimasukkan ke dalam beg, otak sudah sibuk membayangkan keselesaan dan ketenangan separa yang menanti di bilik.

Kalau diikutkan, kedua-dua tempat - kelas dan bilik - sama teruk sahaja sebenarnya. Di dalam kelas, dia risau dipandang jelik dan dikutuk oleh rakan-rakan yang dikenali sejak asasi. Di dalam bilik tidur, dia dihantui dan diburu dalam mimpi.

Sekurang-kurangnya kesan mimpi buruk yang dia alami hanya akan disaksikan oleh Zahwan seorang sahaja. Kalau di tempat terbuka seperti kelas, akan lebih banyak mata yang memerhati. Dan bukan semua akan memerhati dengan simpati, apatah lagi empati. Malahan, boleh jadi ada (atau mungkin pasti) antara pandangan itu berbaur benci.

"Jom gerak!"

"Nak ke mana?" tanya Majdi hairan.

"Pergi perjumpaan pertama kelab kitalah," selamba nada Zahwan. Majdi di sebelah semakin terkujat-kujat dimamah kehairanan. Seingat dia, sepanjang minggu lepas memang dia duduk dalam bilik saja.

Melongo sekejap Majdi sebelum akhirnya dia berjaya membuka mulut untuk bertanya lanjut, "Tapi, aku mana ada daftar mana-mana kelab lagi." Dia kekal duduk di atas kerusi plastik itu. Keengganan masih menebal hendak menuruti ajakan Zahwan.

Zahwan tersenyum penuh makna. "Kau jangan risau. Aku dah tolong daftarkan nama kau dah sebagai ahli kelab tu."

Tergamam Majdi mendengar jawapan selamba Zahwan. Bagai hendak terjatuh ke atas meja rahangnya pada saat ini. Untung sahaja tarikan graviti di dalam kelas ini tidak sekuat itu. Kalau tidak, menganga habis Majdi agaknya.

"Kelab apa yang kau dah daftarkan nama aku sekali ni?" Menebal rasa ingin tahu Majdi.

"Nama kelab tu QOWIY. Kelab ni baru lagi ditubuhkan. Objektif penubuhan kelab ni katanya nak perjuangkan isu kesejahteraan dan kesihatan mental dalam kalangan pelajar KTIS. Jadi, ahli yang ada pun tak ramai mana kalau termasuk kita. Kalau kau nak tahu mendalam lagi, kita kenalah pergi perjumpaan pertama hari ni. Jomlah!"

Alang-alang berminyak, biarlah licin. Alang-alang dia dalam kelas ni, ada baiknya dia ambil kesempatan meneroka kawasan kampus ni sekali.

"Okeylah."

Bertambah lebar senyum Zahwan.

***

Eh, jangan pergi dulu! Tekanlah punat bintang tu supaya saya tahu cerita ni ada pembaca.

Dah tekan? Terima kasih. Jemputlah komen sekali alang-alang korang masih ada di sini. 🙈

Rasian Reluh MajdiWo Geschichten leben. Entdecke jetzt