4

33 9 5
                                    

"Selamat datang ke perjumpaan pertama semester ini untuk kelab QOWIY dengan slogan mental sejahtera bermula dengan iman yang sejahtera."

Sedikit terhibur hati Majdi melihat tingkah laku penuh semangat pengerusi kelab itu, Aidil, yang baru dikenali sejak beberapa minit lalu. Di dalam bilik perbincangan sederhana besar yang bertempat di perpustakaan ini, perjumpaan sulung kelab QOWIY pada semester ini diadakan.

Ucapan yang tergendala sejenak tadi Aidil sambung semula tidak lama selepas itu, "Sebelum tu, saya ucapkan selamat datang kepada dua orang ahli baru kita - Zahwan dan Majdi." Kata alu-aluan tadi disudahi dengan tepuk tangan oleh Aidil diikuti oleh beberapa orang ahli kelab yang lain.

"Minta kalian berdua perkenalkan diri sikit, ya? Kita mulakan dengan Zahwan dulu."

"Bagilah arahan detailed sikit, Dil," sampuk ahli kelab bernama Hamzah yang duduk paling dekat dengan Aidil.

Aidil mengangguk memahami sebelum dia berbicara semula, "Kenalkan diri. Sebut nama, kos pengajian, asal, dan kongsi kenapa korang pilih untuk sertai kelab ni." Hamzah membuat isyarat 'bagus' dengan tangan kanan kepada Aidil.

Zahwan bangkit dari duduk dengan penuh semangat lalu memulakan bicara, "Assalamualaikum, semua. Nama saya Muhammad Zahwan bin Mohamed Zamri. Saya pelajar TESL. Asal dari Bera, Pahang. Saya masuk kelab ni sebab saya nak dapat pendedahan meluas tentang kesihatan mental daripada sudut pandang ajaran Islam. Saya juga nak belajar dan fahamkan macam mana nak tolong semampu saya orang-orang terdekat yang ada isu kesihatan mental. Terima kasih."

Kagum Aidil dan ahli-ahli kelab yang lain mendengarkan perkongsian Zahwan tadi. "Insya-Allah, kita usahakan supaya harapan Zahwan tu tercapai."

Bicara Aidil lalu bersambung lagi, "Ada dua benda yang menjadi objektif utama kelab ni, sama macam apa yang Zahwan sebutkan tadi. Pertama, ilmu berkenaan kesihatan mental. Kedua, sudut pandang Islam tentang hal ni. Dua benda inilah yang kita utamakan dalam kelab ni. Kalau nak dirumuskan dalam satu ayat, kita nak perjuangkan isu kesihatan mental di KTIS berlandaskan ajaran Islam."

Terangguk-angguk Zahwan yang kini telah duduk mendengar bicara panjang pengerusi kelab itu. Sememangnya itulah yang menjadi penarik utama buat Zahwan sehingga dia dengan sukarela mahu menyertai kelab ini.

"Walaupun kolej kita ni ada perkataan Islam dalam nama, masih ramai yang menyimpan stigma terhadap isu kesihatan mental. Insya-Allah, itu juga objektif kelab kita. Kita nak fahamkan golongan ni bahawa masalah kesihatan mental sama seperti penyakit-penyakit fizikal," Hamzah menyampuk sedikit selepas mendapat kebenaran Aidil.

Majdi di tempat duduknya pula kekal memerhati Zahwan secara sipi-sipi dari sisi. Entah mengapa, dia dapat merasakan bahawa ayat yang diujarkan Zahwan tadi ada tersirat menyentuh dirinya. Seketika, hati jadi tersentuh. Zahwan lebih bersemangat hendak membantunya berbanding diri sendiri.

'Kenapa kita macam ni, Majdi?'

"Kita jemput Majdi pula untuk perkenalkan diri."

Berbeza dengan bahasa badan Zahwan yang terpancar keyakinan tadi, Majdi bangun perlahan-lahan dengan riak wajah yang jelas teragak-agak. Juga jelas kelihatan bahawa dia sedang menahan gentar.

"Tak apa, Majdi. Jangan risau. Kami semua sini tak makan orang, kami makan nasi," gurau Hamzah dengan harapan dia dapat meredakan sedikit keresahan yang mungkin dirasai oleh ahli baru kelab yang seorang itu.

Tersimpul sebuah senyuman pada wajah Majdi. Tercuit hati mendengarkan jenaka Hamzah yang tidak terjangka itu. Dia menghembuskan nafas sejenak sebelum dia akhirnya mula memperkenalkan diri.

"Assalamualaikum, semua. Nama saya Ahmad Majdi bin Mahmud. Saya sama kos dengan Zahwan. Saya asal dari Selangor je, Puncak Alam. Sejujurnya, saya jadi ahli kelab ni sebab Zahwan yang daftarkan nama saya. Tapi, saya berharap yang saya akan dapat belajar benda-benda baru dan menarik dekat sini."

Lega - hanya itu kata yang paling tepat hendak menggambarkan rasa hati Majdi sekarang. Dengan setiap patah perkataan yang diujarkan, semakin kurang debar jantung Majdi, dan semakin tenang pula hati kecil jejaka itu.

Setelah seminggu terkurung dan terperap kelakuan dan sisi sebenar perwatakan Majdi oleh fikiran sendiri, akhirnya hari ini dia dapat merasa menjadi diri sendiri yang asli. Walaupun hanya untuk beberapa saat, dia sudah gembira. Dia duduk kembali dengan hati yang lapang dan tenang.

Selesai sahaja Majdi memperkenalkan diri, Aidil menyambung perjumpaan kelab itu dengan beralih ke agenda yang seterusnya.

Tekun Zahwan dan Majdi mendengar isi-isi agenda yang disampaikan selepas itu. Tatkala terdengar dek telinga mereka bahawa Aidil merancang hendak melanjutkan pembukaan kiosk dengan tujuan pengambilan ahli baru kelab, Zahwan dengan teruja mengangkat tangan menawarkan diri bersama Majdi untuk melakukan tugas itu.

Kalau ikutkan hati, mahu saja Majdi hempuk kawan baiknya itu pada saat ini juga. Bukan Zahwan tidak tahu betapa Majdi dan kerumunan orang ramai bagaikan magnet sama kutub buat masa ini - saling menolak. Akan tetapi, sayang sekali dia tidak cukup baran lagi hendak melakukan hukuman jasmani.

"Terima kasih, Zahwan dan Majdi, sebab sukarela tawarkan diri."

Majdi hanya mampu tersenyum kelat. Nampaknya, kemahiran memimpin Aidil terhad kepada karisma dalam pengucapan awam sahaja. Dia masih belum cukup ilmu mata hati untuk membaca isi tersirat pada wajah Majdi.

"Memandangkan korang berdua ahli baru, dan belum cukup kenal dengan kelab kita, nanti aku tugaskan Safa untuk tolong korang berdua masa jaga kiosk. Mana tahu ada soalan daripada pengunjung kiosk yang korang tak pasti jawapannya, Safa boleh tolong."

Ketiga-tiga orang yang dirujuk Aidil mengangguk serentak. Masing-masing faham akan amanah yang telah diberikan oleh pengerusi kelab tadi. Majdi khususnya, meski berat hati kerana terpaksa melakukan tugas itu (salah Zahwanlah ni!), memujuk jua hatinya untuk reda.

***

Eh, jangan pergi dulu! Tekan punat bintang tu dulu meh, supaya saya tahu cerita ni ada pembaca.

Dah tekan? Terima kasih. 

Jemputlah komen sekali alang-alang korang masih ada di sini. 🙈


Rasian Reluh MajdiWhere stories live. Discover now