15

10 2 0
                                    

Bertalu-talu ketukan yang menghempas permukaan pintu kayu itu. Dihambat panik, Zahwan langsung terlupa hendak mengawal kadar kelantangan suara yang digunakan untuk menyeru penghuni bilik yang berjiran dengannya.

"Meran! Hadi! Bangun, wei! Tolong aku."

Pintu yang masih belum dibuka, mungkin kerana kedua-dua penghuni di dalam masih diulit lena, menyempatkan Zahwan berpaling ke belakang sekilas untuk memeriksa sejenak keadaan Majdi.

Dia masih seperti tadi. Gerak-geri meronta jelas menunjukkan dia bergelut dek mimpi ngeri.

Zahwan sebenarnya kurang pasti kawannya itu sedang bermimpi atau tidak. Dari cara dia bercakap dengan mata tertutup tadi, tak nampak seperti dia tidur. Percakapan Majdi tadi tak ubah bagaikan jawapan balas langsung terhadap kata-kata Zahwan.

Tepat saat Zahwan kembali berpaling ke depan, pintu bilik itu terbuka dan terpacul muka Imran. Mata separuh buka manakala tangan kiri pula menutup mulut yang menguap sekali dua. Dalam mamai, dia bertanya, "Kenapa, Wan? Ada masalah ke?"

"Majdi meracau teruk dalam tidur. Tapi, aku rasa tu bukan meracau biasa. Aku ingat nak telefon felo dan minta ruqyahkan Majdi dalam bilik kitorang."

Terbuntang segar mata Imran sesaat berita itu habis diproses kotak fikiran. "Majdi tengah kena gangguan teruklah ni?" soal Imran penuh cemas. Laju Zahwan mengangguk.

Sesaat selepas itu, segera Imran mengejutkan Hadi yang terbongkang sedap tidur di katil. Cepat-cepat dia menyuruh rakan sebiliknya itu menelefon nombor felo yang bertugas minggu ini. Sementara Hadi mencari nombor telefon tersebut, Imran segera menyertai Zahwan yang kini sudah kembali ke bilik.

Dalam buntu, Zahwan membatu di sebelah katil Majdi yang masih meracau dan kini sudah mula menangis dan mengerang. "Nak buat apa sementara ni, Meran?" soal Zahwan dalam nada risau.

"Kakak aku pernah kena macam ni dulu. Apa yang mak aku buat masa tu, dia panggil kami sekeluarga duduk sekeliling dan baca Al-Quran sebelah kakak aku. Ambil masa sikit, tapi, alhamdulillah lepas dua ke tiga jam, dia sedar semula dan dapat sambung tidur balik."

"Aku pergi ambil wuduk kejap." kata Imran. "Sementara tu, kau bacalah dulu ayat Kursi dekat sebelah Majdi. Kalau ada respons, dan nampak makin teruk, biarkan saja dulu. Itu biasa."

"Okey," jawab Zahwan.

"Dan jangan lupa tawakal, okey? Sekuat mana usaha kita, hasilnya atas izin Allah juga."

Zahwan angguk mengiakan kata-kata itu. Satu peringatan halus yang menyentuh iman dalam hati. Tidak bertangguh Zahwan melakukan saranan Imran tadi.

Kerusi di meja belajar Majdi Zahwan tarik dan letakkan bersebelahan katil Majdi. Sebelum dia duduk di atas kerusi tersebut, dia mencapai naskhah terjemahan Al-Quran di para dinding Majdi terlebih dahulu.

Sekeping kertas yang terselit dalam naskhah Al-Quran itu Zahwan keluarkan. Risau sekiranya kertas berlipat itu terjatuh tanpa dia sedar dan akan mengganggu pembacaannya nanti. Dia kemudian meletakkan kembali kertas berlipat dua tadi di atas para. Halaman Al-Quran tempat terselit kertas tadi dia lipat supaya dia tidak lupa tempat untuk dia letakkan kembali lipatan kertas tadi.

Hadi muncul tidak lama selepas itu. "Mana Imran?"

"Dia pergi ambil wuduk sekejap," jawab Zahwan ringkas. Dia tidak jadi hendak duduk.

"Oh ...." Hadi mengangguk sekilas seraya melangkah masuk ke dalam bilik jirannya itu. "Kau pergilah ambil wuduk dulu, Wan. Aku boleh tunggu dan tengok-tengokkan Majdi sekejap." Tanpa dijemput, dan Hadi yakin Zahwan sendiri pun tidak kisah, dia duduk di birai katil yang menghala ke arah Majdi dan Zahwan.

"Terima kasih, wei."

***

Ternyata apa yang dikongsikan Imran berkenaan kakaknya terjadi sama pada mereka bertiga - Zahwan, Imran dan Hadi. Setiap kali Zahwan cuba mengejutkan Majdi, sambil-sambil itu dia cuba menyuruh kawannya itu membuka mata agar dia berjaga, semakin Majdi resah gelisah bergelut sendiri di atas katil.

"Wan, mana aku nak lari? Dia terus-menerus kejar aku!" ungkap Majdi perlahan namun jelas dek pendengaran Zahwan dan dua orang lagi di situ.

"Minta perlindungan daripada Allah, Majdi. Tanpa izin Allah, dia takkan boleh apa-apakan kau." Dengan tegas dan agak lantang, Imran mengucapkan ayat itu. Dia perasan Zahwan sedang buntu. Mungkin kerana itu kawan sebilik Majdi itu tidak membalas apa-apa langsung apabila namanya disebut tadi.

Encik Ahmad merangkap Felo kolej penginapan yang bertugas minggu itu akhirnya tiba 30 minit selepas dihubungi Hadi tadi. "Assalamualaikum, semua. Macam mana?" tanya felo bertugas itu dengan nada separa cemas.

"Dia masih belum bangun lagi," lapor Hadi ringkas.

Lelaki berusia pertengahan 40-an itu mendekati katil tempat Majdi berbaring. Tidak sesaat pandangan terlepas daripada memerhati keadaan pemuda itu.

"Duduklah, Encik Ahmad," jemput Zahwan.

"Tak apa, tak apa. Kamu duduk. Teruskan baca Al-Quran tu. Saya nak kena perhati keadaan kawan awak ni dulu."

Zahwan mengangguk sekali tanda memahami. Dia kembali ke kedudukan asal tadi. Al-Quran diangkat. Sebelum dia sambung membaca, sempat mata menangkap kelibat Encik Ahmad berjalan keluar dari bilik itu sambil menatal skrin telefon bimbit. Selepas itu, satu nombor didail. Pastinya felo bertugas itu sedang menghubungi seseorang.

Tapi, siapa?

Zahwan jadi tertanya sendiri.

Sambil membaca surah al-Baqarah, benak Zahwan menyempatkan diri menyibuk meneka-neka siapa individu yang dihubungi Encik Ahmad itu. Dia pasti orang yang dihubungi itu seorang perawat ruqyah. Dan lat beberapa minit kemudian, Zahwan dapat tahu benar tekaannya tadi.

"Baik. Terima kasih, ustaz. Assalamualaikum."

Usai panggilan telefon ditamatkan, Encik Ahmad memasuki bilik itu kembali. Dengan tenang dia mengumumkan, "Saya dah telefon Ustaz Azhar, perawat ruqyah yang duduk tak jauh daripada KTIS. Katanya, keadaan kawan kamu ni masih berada pada tahap yang tak perlukan campur tangan perawat lagi."

Ralit Zahwan, Imran dan Hadi memasang telinga. Mereka mahu tahu lebih lanjut apa rasional di sebalik keputusan yang dinyatakan ustaz itu.

"Jadi, kita terus perhatikan dulu keadaan kawan kamu ni. Saya akan tunggu lagi setengah jam, teman kamu baca Al-Quran sekeliling dia. Kalau lepas setengah jam, dia makin teruk meronta-ronta, saya akan terus bawa Ustaz Azhar ke sini."

Sejurus Encik Ahmad selesai berbicara, dia tidak berlengah membuka aplikasi Al-Quran di telefon bimbit. Surah al-Baqarah dibuka, dan dia memulakan pembacaan daripada ayat pertama.

Zahwan yang jeda sejenak bacaannya cuba untuk meredakan rasa hampa dan kecewa yang bertamu. Dia yakin rawatan ruqyah ialah jalan penyelesaian ampuh bagi keadaan Majdi sekarang. 

Tapi, apakan daya? Dia hanya orang awam.

Bukanlah seorang pengamal dan perawat ruqyah sendiri.

Keputusan Ustaz Azhar yang dihubungi Encik Ahmad tadi harus dia hormati dan percaya. Pastinya ustaz itu lebih memahami dan mengerti kenapa keadaan Majdi belum memerlukan campur tangan perawat ruqyah.

Kepada Allah, Zahwan sandarkan pengharapan.

***




Rasian Reluh MajdiWhere stories live. Discover now