33 ( edit)

807 97 4
                                    


Putera Andhika melihat tempat yang seharusnya diisi oleh Gundik Utama Hazel Elmeera kosong. Rupanya gadis itu demam kerana gadis itu meredah hujan lebat petang tadi menuju ke Istana Rimbun.

Katanya ada barang tertinggal di sana ketika mereka menginap semasa pemilihan calon di Istana Rimbun.

Apa motif gadis itu gigih juga mahu ke Istana Rimbun semata mata sampai sanggup meredah hujan. Bukankah boleh sahaja dia beri arahan pada pengawal dan dayangnya. Istana Rimbun pula sudah diduduki oleh Puteri Sophia. Dan dia juga tahu Hazel dan Sophia bukan sejenis yang boleh ngam.

Atau pun mungkin sekadar alasan sahaja untuk dia mengelak makan malam ini. Tapi sampai sanggup berhujan?

Gila kah si dara itu?

Sudahlah sebentar tadi Puteri Liza memberitahu Hazel menolak giliran bermalam. Andhika semakin pelik dengan gadis itu. Gadis itu aneh.

" Di mana Gundik Utama Hazel?" Soal Permaisuri Chempaka.

" Cik Puan mengalami demam panas Tuanku, patik sudah pun memberi ubat herba yang sepatutnya padanya." Kata Orked, mewakili kedatangan Hazel Elmeera. Orked juga agak keliru dengan tindakan Hazel yang tiba tiba mahu ke Istana Rimbun petang tadi. Baru hari pertama bertugas, cukup mencabar mental. Si Cik Puan Hazel Elmeera bukan dara biasa biasa.

" Arahkan tabib untuk memeriksanya sekali lagi. Dia perlukan rawatan menyeluruh," titah Sultan Ibrahim dan disambut sahutan anggukan Orked.

" Junjung perintah Tuanku."

"Baru sehari sudah berani bertingkah ingkar perintah Sultan. Bagaimana mahu melahirkan zuriat yang sihat jika awal lagi sudah menunjukkan sakit?" Kedengaran kata kata lembut Permaisuri Chempaka tetapi berbaur sinis.

Putera Andhika merenung ke arah ibu tirinya itu dan kemudian mengukir senyum.

"Paku dulang paku serpih, mengata orang empunya yang lebih. Sebelum melontar kata, lebih baik renung diri sendiri dahulu. Ampun Tuanku Permaisuri," sinis balasan Putera Andhika sambil tangannya mula mengambil makanan dari pinggan perak. Selamba sahaja mengunyah ayam bagaikan tiada apa yang berlaku.

Permaisuri Chempaka mengetap bibir , agak terkedu bercampur geram dengan jawapan perlian itu. Dia tahu Andhika memerli tentang soal zuriat. Mahu sahaja dia menjerit memberitahu perkara yang sudah sekian lama menjadi rahsia tetapi ditahan. Tak boleh, itu boleh mengancam kedudukannya.

" Chempaka, Andhika." Deram Sultan Ibrahim, sekali gus suasana menjadi sunyi. Cik Puan Seroja pula hanya diam membisu, menunduk.

Sultan Ibrahim memandang Andhika, mahu meneutralkan keadaan.

"Bagaimana persiapan pernikahan kamu Andhika?"

Putera Andhika hanya senyap membisu. Entah mengapa dia rasa soalan itu tidak penting.

"Semua baik baik sahaja, Tuanku." Sampuk Puteri Liza sambil tersenyum. Mahu keadaan kembali tenang. Kelihatan wajah Puteri Sophia pula seperti mahu muntah ke dalam pinggan santapan.

Sultan Ibrahim mengangguk ringkas. Rasa tidak berpuas hati kerana bukan Andhika yang menjawab soalan ditahan sebaiknya. Anaknya itu semakin lama semakin berani mengingkar.

" Tampaknya kamu perlu mencari seseorang untuk menggantikan tempat kamu sebagai Jeneral Perang, Andhika." Anak mata Sultan Ibrahim tepat memandang kembali Andhika yang masih diam membisu.

Suasana seakan tampak tegang. Entah kenapa dua beranak ini menjadi seteru.

" Anakanda akan uruskan ayahanda. Jangan dirisau perkara itu. Anakanda sudah ada calon sesuai untuknya." Jawab Andhika cuba mempamerkan riak tenang. Hakikatnya mindanya sedang melayang ke lain.

Cinta Dua DuniaWhere stories live. Discover now