Bab 1

4.9K 55 3
                                    

Prolog

Sejak kecil aku ada satu cita-cita, memulakan perniagaan sendiri. Tak percaya? Okey, sebenarnya aku pernah bercita-cita nak jadi suri rumah macam umi. Tapi apabila aku berumur sepuluh tahun, aku mula belajar berniaga dengan mengikut abah yang kadangkala menjual buah-buahan di pasar. Perasaan mendapatkan wang sendiri daripada hasil perniagaan itu sukar digambarkan. Sejak itu, aku bercita-cita untuk memiliki sebuah perniagaan sendiri. Aku akan namakannya Matahari. Kenapa? Sebab ia macam bola besar di langit, bergas dan panas? Bukan! Bagi aku, matahari ini besar dan nampak kuat. Matahari sentiasa menyinar apabila tibanya siang, hilang apabila malam tetapi akan muncul semula esok harinya. Jadi matahari akan sentiasa bersinar terang dan hangat biarpun ada naik turunnya.

Hebat tak cita-cita budak berumur sepuluh tahun?

Tapi... Bermimpi memang indah. Untuk menjadikannya suatu realiti, itu yang susah. Aku tahu pengalaman yang tidak seberapa ini mungkin akan menjadi halangan yang harus aku lalui. Tetapi itulah hidup, kan? Mesti ada halangan dan ranjau untuk mendewasakan kita.

Jadi sebaik sahaja tamat belajar universiti, aku memohon kerja di beberapa buah syarikat untuk mendapatkan pengalaman selain daripada mendapatkan pendapatan. Tetapi lumrah buat graduan mentah seperti aku, sukar benar untuk mendapat kerja. Rata-rata syarikat mengutamakan mereka yang berpengalaman.

"Maaf, kami perlukan calon yang lebih berpengalaman."

Minimum kelayakan ialah sekurang-kurangnya dua tahun dalam bidang berkaitan.

Dari mana hendak datang pengalaman kalau tak pernah bekerja? Jadi apabila syarikat percetakan, S & S Advertising menawarkan peluang kepada aku, aku sangat teruja. Gajinya memanglah tidak seberapa berbanding kelayakan dan kerja-kerja yang perlu aku lakukan tetapi pengalaman itu yang aku pentingkan. Lagipun aku cuma akan berada di sini untuk seketika sahaja sebelum memulakan perniagaan sendiri.

Perasaan cemas sebelum temu duga membuatkan aku membetulkan selendang dan memeriksa telefon beberapa kali. Ada sms daripada Razif dan Rina. Kedua-duanya mengucapkan selamat berjaya kepada aku.

"Awak tidak kesah dengan jumlah gaji yang kami tawarkan ni?" soal Tuan Haji Soffian, pemilik S & S Advertising sambil meneliti sijil-sijil milikku.

"Ya, saya tak kesah."

Susah hendak mencari kerja zaman sekarang. Tambahan pula aku mencari kerja untuk mendapatkan pengalaman dan aku baru tamat belajar. Jadi aku tidak mahu hanya disebabkan cerewet hal gaji aku terlepas peluang ini.

"Jadi, selamat datang ke S & S Advertising. Kerja awak sepertimana yang saya nyatakan dalam iklan. Lain-lain kerja akan dimaklumkan pada masa akan datang," kata Tuan Haji Soffian.

Aku dapat kerja ni?

"Baiklah, tuan haji," jawab aku, cuba mengawal bibir daripada tersengih lebar.

Dia menutup fail sijil aku lantas merenung aku tajam. "Sebelum awak mulakan kerja di sini, saya nak mengingatkan awak beberapa perkara. Pertama, saya tidak suka pekerja yang datang lewat tanpa alasan yang munasabah. Kalau ada hal yang memang tidak dapat dielakkan, telefon dan maklumkan. Jangan diam saja. Nanti banyak kerja tak siap."

"Baik, tuan haji."

"Kalau ada yang awak tidak tahu atau tidak faham, tanya dahulu. Kurangkan kesilapan. Tambahan lagi, kesilapan apabila mencetak memang rugi besar."

Aku cuma mengangguk. Dia terus menerangkan jadual kerja, waktu bekerja dan tugas-tugas lain yang perlu aku lakukan. Aku mencatat apa yang patut. Dalam hatiku terasa teruja sangat. Akhirnya aku memulakan langkah untuk mencapai impian aku. Semuanya akan bermula di sini! Berusaha, Wirda Eirdayu!

Sehangat MatahariWhere stories live. Discover now