Bab 15

1.8K 45 13
                                    

"Encik HAMIDAN, ada apa datang?" tanyaku apabila lihat lelaki itu masuk ke syarikat. Zali yang sedang berbincang tentang tempahan denganku meminta diri dan masuk ke bilik cetak.

"Saya ada hal sikit nak bincang. Sibuk ke?"

"Tak adalah, jemputlah duduk," jawab aku.

Kami beralih ke sofa. Pelik juga melihat lelaki ini datang. Jarang dia mengunjungi Matahari. Malahan sejak Matahari beroperasi, cuma dua kali dia datang. Itu pun atas jemputan aku untuk menghadiri jamuan pembukaan dan menyelesaikan kes paip air bocor. Timbul rasa cuak atas kunjungannya tetapi aku cuba berfikiran positif. Mungkin dia ingin menempah sesuatu. Encik Hamidan mengambil masa menikmati secawan kopi yang dihidangkan Effa sebelum memberitahu tujuannya datang.

"Saya datang ni nak berbincang sikit. Anak saya baru balik dari luar negara. Dia bercadang nak buka perniagaan sendiri," katanya. Aku dapat mengagak apa yang bermain dalam fikirannya tapi aku pura-pura kurang mengerti.

"Jadi, Encik Hamidan nak bincang apa dengan saya?" soal aku kembali.

"Saya terpaksa minta kembali kedai ni. Saya nak serahkan kepada anak saya."

Pagi-pagi lagi sudah ada berita macam ini. "Tapi Encik Hamidan, saya sudah bayar sewa untuk setahun. Saya sewa kedai ni baru masuk bulan keenam."

"Tak apa, saya pulangkan kembali wang sewa yang awak dah bayar sebelum ni." Cepat-cepat dia menjawab.

Apa yang boleh aku katakan lagi? Kedai ini kepunyaan dia. Tidak ada syarat dalam perjanjian tentang pembatalan kontrak lebih awal. Tapi aku bernasib baik dia mahu memulangkan wang yang telah aku bayar. Aku harus lebih berhati-hati pada masa hadapan.

"Tak bolehkah kalau saya beroperasi lebih lama sikit?"

"Maaflah, saya nak juga serahkan kedai ni kepada anak saya. Dia dah nak balik. Mungkin bulan depan paling lambat."

Aku mengeluh.

"Saya akan cuba cari kedai lain secepat mungkin. Sementara itu, saya minta Encik Hamidan membenarkan kami beroperasi di sini," kataku, cuba berunding dengannya.

"Anak saya akan pulang dalam dua tiga bulan lagi. Harap-harap, awak boleh kosongkan kedai ini sebelum tempoh itu," balasnya.

"Baiklah, saya cuba."

Aku cuba menyembunyikan kegusaran sebaik mungkin di hadapan lelaki itu. Terasa seperti tertewas jika dia nampak betapa resahnya aku sekarang. Zali dan Effa termangu-mangu, ingin bertanyakan nasib mereka tetapi takut menyinggung perasaan aku.

"Sambung kerja, kakak ada benda nak buat." Aku cuba bersuara setegas mungkin seraya bangun masuk ke pejabat. Pantas aku mencapai telefon untuk menelefon Razif. Mungkin dia boleh berikan nasihat untukku. Adam sekarang bertugas. Rina juga berada di Kota Bharu. Tidak mungkin untuk aku meminta bantuan mereka berdua.

"Dah dia usir awak, carilah kedai baru." Senang saja Razif memberi nasihat.

"Saya tahulah tapi..."

"Awak dah tahu kan awak tak boleh terus berniaga di situ?"

"Ya..."

"Dah tu, tunggu apa lagi?"

"Saya..."

"Saya ada dalam mahkamah ni. Nanti kita cakap lagi."

"Ya..."

Langsung tidak membantu. Mungkin dia benar-benar sibuk. Buat masa sekarang biar aku fikirkan sesuatu. Aku membuka beberapa laman web untuk mencari premis baru. Ada beberapa premis yang sesuai tapi aku perlu pergi melawat kelak. Bukan senang nak dapat premis sekarang, alih-alih pemilik pula buat hal.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 05, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Sehangat MatahariWhere stories live. Discover now