Bab 5

1.5K 29 2
                                    

Aku menarik nafas panjang sebelum mengetuk pintu. Lutfi menunjukkan isyarat selamat berjaya, memberikan aku semangat dari bilik pejabatnya. Aku mengangguk kepada Lutfi sebelum masuk. Tuan Haji Soffian mengangkat muka sedikit sahaja dari dokumen di hadapannya sebelum menyuruh aku duduk. Aku memegang surat di tanganku erat.

"Ada apa?" soalnya.

"Saya nak letak jawatan, tuan haji," kataku sambil meletakkan surat peletakan jawatan itu di hadapannya.

Dia terus mengangkat muka dan mengambil surat dari tangan aku. Dia membaca surat itu sepintas lalu sebelum meletakkannya di atas meja di hadapannya.

"Business sendiri?" soalnya.

"Ya."

"Dah daftar?"

"Semua dah selesai. Saya akan mulakan sebaik saya letak jawatan dari syarikat ini."

"Modal macam mana?"

"Saya ada simpanan sejak kecil, cukup untuk mula berniaga. Saya juga ada memohon pinjaman daripada MARA."

Dia mengambil masa yang agak lama untuk berfikir. "Mulakan perniagaan sendiri bukan sesenang yang awak fikir. Banyak dugaan dan cabaran berbanding kerja makan gaji yang dapat duit setiap bulan."

"Saya tahu."

"Tapi awak masih lagi nekad nak teruskan?"

"Ya."

Dia meneliti surat peletakan jawatanku sekali lagi. "Saya tidak menghalang niat awak. Malah saya suka kalau ramai anak muda bergiat dalam bidang perniagaan. Tapi awak masih terlalu muda untuk mula berniaga sendiri. Apa kata awak tunggu lima hingga sepuluh tahun lagi?"

"Adakah saya akan lebih bersedia dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun?"

"Mungkin. Saya takut impian awak ni akan terkubur macam tu saja kalau awak mulakan sekarang. Bermimpi ni semua orang boleh tapi belum tentu awak boleh jadikannya kenyataan," katanya, dengan senyuman sinis. Aku menarik nafas panjang, menahan rasa marah.

"Terima kasih atas nasihat tuan haji tapi saya dah buat keputusan," kataku masih terus bersabar.

"Tak apa kalau macam tu. Saya terima surat peletakan jawatan awak ni. Dalam tempoh satu bulan akhir ni, saya mahu awak tunjukkan Lutfi kerja-kerja awak supaya senang dia nak ajar pengganti awak nanti. Saya nak awak bersumpah yang awak tak akan bawa keluar maklumat syarikat, memburukkan syarikat dan tidak menggunakan contact-contact syarikat untuk perniagaan awak. Boleh awak bersumpah?" soalnya, merenungku tajam.

"Ya. Saya bersumpah, tuan haji."

Banyak pula syarat dia. Padahal kalau nak diikutkan, kebanyakan maklumat dan contact syarikat adalah usaha aku.

"Jadi, kalau saya tak berkesempatan jumpa awak sebelum awak pergi nanti, saya nak ucapkan selamat berjaya. Kalau tak berjaya, awak masih dialu-alukan untuk balik ke sini," sindir Tuan Haji Soffian.

Aku tidak memberi sebarang komen kepada kata-katanya itu. Selepas mengucapkan terima kasih, aku keluar. Memang terasa sakit hati tapi aku nak jadikan kata-katanya sebagai cabaran. Aku akan pastikan aku berjaya dan cuba sehabis baik.

Lambaian Lutfi mengejutkan aku daripada lamunan.

"Macam mana?" tanyanya dengan perlahan. Barangkali tidak mahu didengari Tuan Haji Soffian. Aku cuma menunjukkan satu ibu jari sebagai jawapan. Lutfi tersengih, membalas dengan dua ibu jari. Kami ketawa dengan senyap sehinggalah terdengar Tuan Haji Soffian berdehem. Cepat-cepat kami kembali bekerja.

Tapi apa pun, dalam masa satu bulan lagi, Matahari akan dilancarkan. Buat sementara waktu ini, aku boleh mulakan dengan iklan di Internet. Aku akan buktikan kepada Tuan Haji Soffian yang aku juga boleh berjaya.

"DIA cakap macam tu?" raut wajah Rina mencuka. Nampaknya dia lebih marah daripada aku. Aku berjanji untuk bertemu Rina selepas kerja untuk berbual dan makan malam. Rina terus marah-marah lepas aku ceritakan pertemuan aku dan Tuan Haji Soffian tadi.

"Ya. Biarlah dia, aku tak kesah." Aku terus makan.

"Isy, orang tua tu sempit akal ke apa? Bukan nak beri sokongan, kritik saja lebih. Patutnya dia beri galakan dan nasihat sebab kau nak buat sesuatu yang baik. Bukannya kau nak pergi rompak bank!" kata Rina.

"Yang kau marah sangat ni kenapa?" Aku ketawa.

"Aku tak tahan la orang macam tu," jawab Rina, mencucuk-cucuk makanannya dengan garpu.

Aku ketawa lagi. "Sudahlah, Rina. Daripada kau marahkan dia, baik kau makan. Perut kenyang, tak sakit hati."

"Tak apa Wirda, kau buka syarikat tu, biar berkembang maju. Buktikan kepada dia yang kau pun boleh berjaya," kata Rina, sebelum menyuap makanan ke dalam mulut.

"Aku tahulah." Aku cuma tersenyum. "Jangan cakap pasal dialah. Kita makan sekarang ni. Kau cakap kau nak shopping hadiah birthday mak kau lepas ni, kan? Nanti kita lambat pula."

Rina menurut tanpa banyak bicara selepas itu. Kami berbual tentang perkara remeh-temeh. Rina sedang memilih untuk membeli barang kemas atau peralatan elektrik semasa seorang lelaki menghampiri kami.

"Lama tak jumpa," tegurnya.

"Farhan!" Rina terperanjat, pipinya merah sedikit.

Rina memendam perasaan terhadap Farhan sejak kami belajar lagi tetapi dia tidak pernah luahkan. Aku rasa tidak ramai perasan sebab Rina pandai menyembunyikan perasaan. Satu lagi sebab Rina tidak pernah luahkan adalah kerana aku. Farhan pernah cuba meluahkan perasaan kepada aku melalui Rina. Masa itu, aku dan Razif bergaduh dan ramai beranggapan kami putus. Aku menolak perasaannya dengan baik tapi itu menghalang Rina untuk meluahkan cintanya kepada Farhan.

"Wirda, mana Razif? Tak datang sekali?" soal Farhan. Matanya tidak lepas memandang aku.

"Dia ada kerja. Lagipun malam ni cuma untuk ladies!" kataku sambil memeluk tangan Rina erat.

"Ya ke? Ingat nak join tadi," kata Farhan, cuba bergurau.

"Mana boleh, unless you are a lady," kata Rina, cuba bergurau juga.

Uh, kekok!

Selepas seketika, Farhan tersenyum kecil. "Kalau macam tu, I minta diri dulu. Jumpa lagi!"

Kami melambai kepadanya. Rina hanya mendiamkan diri semasa kami masuk ke Habib Jewels untuk melihat-lihat barang kemas yang boleh dijadikan hadiah kepada ibunya. Sikap Rina membuatkan aku terasa kekok.

"Ada yang berkenan dalam hati?" soal aku kepada Rina setelah dia merenung kosong tetapi dia tidak menjawab. Aku mencuit tangannya dan dia terkejut, terus memandangku.

"Kenapa?" soalnya.

"Aku tanya ada yang kau berkenan ke?" soal aku lagi.

"Hmmm... Sekejap aku tengok lagi." Cepat-cepat dia memerhati satu per satu barangan kemas yang dipamerkan. Aku menggigit bibir, mempertimbangkan sama ada aku patut bertanya atau membiarkan saja.

"Kau okey?" soal aku.

"Aku okey, kenapa kau tanya pula?" soal Rina. Cepat-cepat dia memandang aku kerana aku akan tahu dia berbohong jika dia memandang ke arah lain.

"Kau nampak sedih lepas kita jumpa Farhan."

Dia diam seketika. "Aku okey, kau janganlah risau."

"Rina, Far..."

Sebelum sempat aku bercakap, Rina terus memotong. "Tengok rantai ni! Cantik!"

Aku mencebik tapi aku sedar aku tidak seharusnya memaksa Rina. Jika dia bersedia untuk bercakap tentang hal ini nanti, pasti dia akan berbuat begitu. Buat sementara ini, aku teruskan sahaja melihat.

Sehangat MatahariWhere stories live. Discover now