Bab 11

1K 18 0
                                    

Aku meneliti rekaan hadiah untuk mendapatkan idea bagi promosi bulan Mei nanti. Ada beberapa tarikh penting dalam bulan Mei untuk menjalankan promosi seperti hari ibu dan hari guru. Bunga? Coklat? Kad ucapan? Gabungkan ketiga-tiga? Muk pun menarik untuk dipromosikan. Aku belum ada mesin untuk mencetak muk, jadi aku patut mendapatkan pembekal muk yang dah siap dicetak.

Rina yang mengikutku dari belakang sibuk membandingkan antara dua batang pen. Untuk apa, aku sendiri tidak pasti. Barangkali dia hendak beli untuk dirinya sendiri. Tiba-tiba aku seperti nampak kelibat Adam. Eh, memang dia! Sebelum sempat aku menegur, seorang gadis tiba-tiba memeluk lengan Adam.

Terselinap perasaan tidak senang.

Eh, kenapa aku perlu rasa macam tu? Siapa aku pada Adam untuk rasa apa-apa pun? Tapi aku teringin untuk tahu siapa gadis itu.

"Kau tengok apa?" Rina menjenguk dari sebelahku. Hampir saja aku melatah kerana terkejut.

"Adam," jawab aku ringkas.

"Mana?" Melilau dia mencari. "Tak nampak pun."

"Tak payahlah kacau dia, dia tengah berdating," kataku.

"Adam berdating? Kau ni biar betul!" Bulat mata Rina memandangku.

"Betullah. Kenapa? Dia pun orang juga, ada kemahuan, ada perasaan ingin bercinta," ujarku.

"Hmmm, susah juga nak percaya. Mana dia?"

"Tu, kat depan tu!" Aku menunjuk ke arah Adam yang masih berbual dengan gadis itu. Serentak dengan itu, Adam berpaling memandang kami. Terus dia mengangkat tangan seraya melambai. Dia menarik gadis itu menghampiri kami.

"Girlfriend ke?" soal Rina tanpa mempedulikan aku yang menjeling ke arahnya.

"Padan ke kami berdua?" Si gadis pula yang bertanya dengan senyum lebar di bibir.

"Padan, kan Wirda?" angguk Rina.

Sebelum sempat aku menjawab, si gadis itu yang terus mencelah.

"Jadi inilah Wirda?" soal si gadis dengan perasaan seronok sebelum memandang Adam. "Inilah Kak Wirda yang ab..."

Cepat-cepat Adam menutup mulut si gadis. "Sorry, dia memang becok sikit."

Ada perasaan tidak senang menyelinap dalam hati sekali lagi. Hesy, sudahlah!

"Maaflah kami ganggu kamu berdua berdating, kami minta diri dulu."

"Eh, siapa pula yang berdating?" Adam terkejut. "Ini adik saya, Hanis."

"Adik?" Aku dan Rina serentak bertanya.

"Kenapa tutup mulut adik?" Si gadis, Hanis yang akhirnya berjaya melepaskan diri daripada abangnya bertanya.

"Sebab cakap banyak sangat!" Adam menjegil mata kepada Hanis.

"Mana ada!" bantah Hanis sebelum memandang aku. "Kami nak pergi makan, jomlah join."

"Eh, tak apalah." Aku cuba mengelak.

"Eh, jomlah!" Rina pula menjawab.

Hanis tersenyum nakal lalu menarik tangan Rina. "Jom! Meatballs kat situ sedap!"

Tinggal aku dan Adam berdiri merenung mereka berdua yang berjalan pergi. Dari jauh aku boleh dengar suara Rina. "Biar betul Hanis baru tingkatan empat! Macam dah dua puluh tahun!"

Adam tersengih. "Jom, kita ikut!"

Aku tidak menjawab, cuma mengangguk. Kami berjalan dengan perlahan-lahan mengikut langkah mereka yang dari jauh becok berbual. Entah apa topik perbualan mereka.

Sehangat MatahariWhere stories live. Discover now