Bab 14

911 20 1
                                    

"Kak, ada orang datang," kata Effa, menjenguk di pintu setelah bingkas bangun untuk melihat siapa yang membuka pintu kedai.

"Siapa?" soal aku hairan. Kalau pelanggan pasti Effa sudah melayan atau memaklumkan kepadaku. Zali yang sedang melipat kad turut merenung Effa penuh tanda tanya.

Zali dan Effa terperanjat apabila mereka masuk kerja pagi ini. Aku yang sedang duduk di bilik cetak dengan mata sembap telah berjaya mencetak kesemua baki kad yang perlu dicetak. Mujur saja mesin cetak tidak memberi sebarang masalah selain kekurangan dakwat. Kalau tidak, pasti aku sedang menangis ketika mereka datang. Kemudian, tanpa banyak soal Zali terus duduk untuk membantu aku. Effa turut membantu setelah selesai membersih dan membuka pintu kedai.

"Katanya boyfriend kakak," jawab Effa.

"Boyfriend?"

Razif?

Pertama kali dia jejakkan kaki ke Matahari setelah sekian lama aku beroperasi. Timbul rasa tidak senang dalam hati. Teringat hal semalam dan tuduhan melulunya. Tapi masalah tidak akan selesai begitu saja kalau aku terus mendiamkan diri. Aku mendengus seraya bangun dan meletakkan kotak yang sedang aku isi dengan kad yang sudah siap.

"Biar kakak tengok apa dia nak. Effa tolong Zali sementara kakak berbual dengan dia."

Effa dan Zali hanya menurut tanpa bertanya walaupun riak wajah mereka terselit perasaan ingin tahu. Razif memang sedang berdiri berdekatan pintu ketika aku keluar. Dia seperti ingin berkata sesuatu tetapi menahan diri selepas melihat raut wajahku. Aku hanya mengisyaratkan dia untuk masuk ke pejabat bersamaku.

"Ada apa awak datang?" soal aku dingin. Masih terasa marah dengan sikapnya.

"Saya nak minta maaf," katanya.

"Untuk apa?"

Dia mengeluh. "Saya tahu saya salah."

"Baguslah kalau awak dah sedar."

"Tapi saya memang marah semalam. Bila saya baca mesej awak yang awak pergi dengan dia, saya tak dapat terima."

"Awak tak pernah percayakan saya?" soal aku.

Diam tanda setuju.

Aku mengeluh. "Buat sementara biarlah kita bertenang, jangan berjumpa. Mungkin lebih baik macam tu."

"Awak nak berpisah dengan saya?!" Aku terkejut dengan suaranya yang tiba-tiba meninggi.

"Bukan. Saya cuma nak kita jangan berjumpa, bukan berpisah. Sekarang kita asyik bergaduh. Saya tak suka kita jadi macam ni," jelasku buru-buru.

Razif diam sebelum menggeleng. "Tak boleh. Kalau kita jauhkan diri sekarang, saya bimbang awak hilang nanti."

"Saya tak ke mana, awak tak perlu risau."

"Saya cakap tak boleh!" Dia menjawab dengan nada lebih keras. "Saya boleh beri awak tempoh untuk bertenang. Saya pun tak suka kita jadi macam ni."

"Jadi..."

Cepat-cepat dia memotong. "Bertenang, bukan berpisah. Saya akan cuba beri awak ruang."

Aku mengangguk.

"Saya balik ofis dulu, ada kes baru." Dia mengerling jam. "I will call you later."

"Sure." Aku menghantarnya ke pintu.

Dia berhenti di pintu keretanya, berpaling memandang aku.

"I really love you, awak tahu kan?" Lirih saja nadanya.

"I know," balasku.

Lama juga Razif merenungku, seperti tidak berpuas hati dengan jawapanku itu. Tetapi akhirnya dia masuk juga ke dalam kereta.

Sehangat MatahariWhere stories live. Discover now