Bab 3

1.6K 28 0
                                    

"MACAM mana dengan kes awak?" soal aku kepada Razif. Kami sedang menikmati makan malam bersama selepas tidak bertemu selama seminggu.

"Bolehlah. Saya yakin boleh menang kali ni," jawab Razif.

"Syukurlah begitu. Awak kan peguam bela. Susah juga kalau orang yang awak bela tak menang kes."

"Awak masih dengan niat awak nak mulakan perniagaan sendiri?" soal Razif.

"Ya, tapi saya belum beritahu majikan saya. Ada beberapa urusan yang belum selesai. Jadi saya tak boleh letak jawatan lagi."

Kami mendiamkan diri, sama-sama menikmati makanan. Secara jujurnya, aku sudah kehabisan modal untuk memulakan bicara. Berbanding semasa bercinta di universiti, tidak banyak persamaan dengan apa yang aku lakukan dengannya semasa bekerja. Banyak yang dia perlu rahsiakan mengenai kerjanya, jadi kami hanya berbual tentang perkara umum yang tidak merujuk mana-mana kes yang dikendalikannya. Kami seolah-olah menjadi renggang sekarang.

Teringat sesi fotografi minggu lepas. Persoalan yang pernah bermain dalam mindaku kini muncul lagi. Patutkah aku bertanya? Tapi kalau sekadar bertanya tak mengapa, kan? Kami kan pasangan bercinta, normal jika ingin tanya perkara sebegitu.

"Razif," panggilku perlahan.

Dia hanya memandang aku.

"Awak pernah fikir tentang kita?" soal aku, berhati-hati.

"Tentang apa?" Riak wajahnya menunjukkan dia terkejut dengan soalan aku.

"Masa depan. Takkan kita nak terus begini?"

"Jadi, awak nak kita buat apa?"

"Awak tak mahu kita kahwin?" soal aku sebelum perasaan malu mengatasi soalan yang ingin aku tanyakan.

Dia diam, lama sekali. Entah apa yang dia fikirkan.

"Saya selesa dengan hubungan kita sekarang tapi kalau awak nak berkahwin saya tak ada masalah," katanya tenang.

"Maksud awak?"

"Yalah. Kalau awak nak kahwin, kita kahwin. Itu saja," ujarnya tanpa sebarang emosi. Terasa kecil hati dengan reaksi Razif.

"Awak macam tak gembira nak kahwin dengan saya."

"Saya tak kata macam tu. Normal kalau kita berkahwin bila dah lama bercinta."

"Bukan sebab awak cintakan saya?"

"Saya memang cintakan awak sejak dulu."

Aku diam. Reaksi daripadanya agak ganjil. Dia bercakap tanpa emosi, membuatkan aku terasa seolah-olah aku yang memaksanya untuk berkahwin. Nampak seperti aku yang beria-ia padahal dia langsung tidak berminat untuk membina mahligai bersamaku.

"Awak lupakan saja soalan saya tadi," kataku, akhirnya membuat keputusan.

"Awak tak jadi nak ajak saya kahwin?" soalnya.

Awak yang macam tak berminat!

"Mungkin bukan masa yang sesuai," jawab aku, enggan meneruskan lagi perbincangan ini.

Razif membuka mulut, barangkali ingin mengatakan sesuatu tetapi akhirnya memilih untuk mendiamkan diri. Setelah sekian lama mendiamkan diri, aku pula terasa kecewa dengan diri sendiri. Mungkin aku sendiri yang berfikir terlalu banyak, padahal Razif tidak mengatakan yang dia tidak bersetuju. Kami sudah seminggu tidak berjumpa tetapi aku pula merajuk tidak tentu pasal.

"Awak nak pergi shopping lepas ni?" soal Razif tiba-tiba.

"Shopping?" soal aku, terkejut ditanya begitu tiba-tiba.

Sehangat MatahariWhere stories live. Discover now