Bab 2

1.9K 38 0
                                    

Razif sedar aku masih marahkan dia. Pagi-pagi lagi dia menelefon aku untuk meminta maaf dan mengajak aku makan malam bersama. Akhirnya aku lembut hati juga. Seronoknya memulakan hari dengan udara yang sejuk dan hati yang gembira.

"Hai!" Adam menyapaku dari kedai Uncle Chan. Datang lagi dia.

"Hai," kataku sambil mengeluarkan kunci syarikat dari beg.

"Boleh tak kalau saya nak ajak awak keluar makan?" katanya ceria.

"Maaflah. Saya dah janji dengan kawan."

"Tengah hari?"

"Ya."

"Malam boleh?"

"Malam pun ya."

"Jadi bila baru boleh ajak awak keluar makan?" soalnya bersungguh-sungguh.

"Errr... Tak tahulah."

"Saya kena buat appointment untuk jumpa awak?" soalnya, barangkali cuba bergurau.

"Tak adalah. Tapi kenapa awak beria-ia nak makan dengan saya?"

"Sebab saya nak lebih kenal dengan awak. Tak bolehkah?"

"Kalau makan bersama, lebih kenallah?"

"Bukan orang cakap kalau makan bersama baru lebih kenal?"

"Siapa cakap?" soal aku kembali. Tak pernah dengar pula ayat macam tu.

"Sayalah. Baru tadi saya cakap," jawabnya dengan selamba.

Walaupun cuba untuk menahan, bibirku tetap mengukir senyuman. Adam nampaknya suka dengan reaksi aku.

"Jadi macam mana? Bila saya boleh keluar makan dengan Cik Wirda?" katanya.

"Jangan panggil saya cik, peliklah. Semua orang panggil saya Wirda," kataku, kemudian mengutuk diri sendiri dalam hati. Kenapa boleh mesra sangat? Bukannya kami saling mengenali pun.

"Wirda tak nak keluar makan dengan saya?" tanya Adam lagi, tersengih lebar. Aku yang terjangkit dengan sikap cerianya, tersenyum membalas.

"Maaflah, saya sibuk sangat. Lagipun, boyfriend saya tak berapa suka kalau saya keluar dengan lelaki lain, tambahan lagi yang saya tak berapa kenal," kataku, cuba untuk menolak dia dengan perlahan. Air mukanya berubah sedikit tetapi dia kembali ceria selepas itu.

"Jadi kalau ada orang lain temankan kita boleh tak?" tanya Adam lagi.

Aku ketawa, geli hati dengan kesungguhannya. "Minta maaf ya, tak boleh juga."

"Sebab kita tak kenal?"

"Ya."

"Kalau tak beri peluang, macam mana nak kenal?"

Aku cuma tersenyum. "Minta maaf. Saya dah lambat ni, nanti bos saya marah. Awak tak perlu pergi kerja ke?"

"Saya cuti lagi tapi saya ada hal lepas ni." Dia melihat jam di tangan. "Boleh saya minta nombor telefon awak? Kalau ada apa-apa boleh saya telefon awak."

Aku cuma tersenyum dan menggeleng. Dia mengangkat tangan, menyerah kalah akhirnya.

"Tak apalah kalau macam tu, kita jumpa lagi," katanya sebelum berlalu.

Hari sibukku bermula seperti biasa. Banyak kerja tertangguh yang semakin sukar untuk disiapkan segera. Aku sudah berusaha sebaik mungkin tapi masih tidak dapat selesaikan semuanya. Lebih malang, Tuan Haji Soffian tiba-tiba muncul di syarikat tanpa amaran. Akhir-akhir begini memang dia kerap datang. Dia terus mengarahkan agar mesyuarat diadakan.

Sehangat MatahariWo Geschichten leben. Entdecke jetzt