Bab 12

907 27 1
                                    

Aku berjalan sepantas mungkin ke Matahari selepas pulang dari bank untuk beberapa urusan. Panas betul cuaca sekarang akibat daripada cuaca yang tidak menentu. Ironinya, aku lari daripada cahaya matahari untuk berlindung di dalam Matahari. Aku tersenyum sendiri.

Hampir dengan pintu, aku dapat mendengar suara seorang wanita yang sedang marah-marah. Apa hal pula? Ada telenovelakah di dalam? Cepat-cepat aku masuk. Effa dan Zali yang nampak aku masuk menarik nafas lega. Mataku memandang seorang wanita yang kelihatan marah, pastinya pelanggan kerana aku pernah bertemunya dua minggu lepas. Aku memberi isyarat kepada Effa dan Zali agar membiarkan aku melayaninya.

"Assalamualaikum. Ada apa yang boleh saya bantu?" sapaku mesra.

Dia memandangku seperti memperkecilkan aku. "Saya pernah tempah kad kahwin di sini. Saya nak buat pertukaran design kad. Pekerja awak ni cakap tempahan saya tak boleh diubah!"

"Bukan macam tu, cuma..." Zali cuba bercakap tetapi segera dipotong oleh wanita itu.

"Itu yang awak maksudkan tadi, kan? Nak menipu pula!" katanya dengan suara meninggi.

"Maaflah kalau dia menyinggung perasaan cik. Mungkin saya boleh bantu dengan masalah cik ni. Boleh saya tanya nama cik? Saya nak rujuk dalam fail," kataku cuba berdiplomasi.

"Marina Liana Dato Fauzan, pasangan saya Mohd Hairol Hakimi," jawabnya.

"Mari kita duduk dulu, senang nak berbincang," kataku kepadanya sebelum memandang Effa. Belum sempat memberi arahan lagi, Effa sudah menyemak borang tempahan dan segera menyerahkan kepada aku. Zali juga seperti menunggu-nunggu aku memberinya arahan. Aku tahu Zali tersinggung tetapi dia cuba sebaik mungkin untuk menyembunyikannya. Aku telah memberi arahan kepada mereka untuk tidak membiarkan emosi mengatasi mereka apabila berdepan dengan pelanggan yang sukar. Nampaknya Effa dan Zali lulus ujian ini. Aku menahan diri daripada tersenyum.

Aku meneliti borang tempahan. "Kalau diikutkan, cik dijadualkan untuk mengambil kad yang sudah siap tiga hari lagi."

"Habis tu, tak boleh nak tukar?" soalnya menjelingku tajam. "Syarikat apa macam ni? Saya nak kensel sajalah!"

"Maaf cik, begini maksud saya. Berdasarkan polisi yang tertulis di borang tempahan, cik boleh tukar design dalam tempoh lima hari cik buat tempahan tapi sekarang cuma tinggal tiga hari. Lagipun, separuh cetakan dah siap. Yang selebihnya dijadualkan untuk dicetak hari ini. Kalau kensel sekalipun perlu bayar ganti rugi."

"Saya tak berkenan dengan design tu tapi tunang saya yang nak sangat," rungut Marina.

"Saya faham cik tapi ini polisi syarikat," ujarku cuba menahan diri daripada terlalu meninggi suara dengannya.

"Tapi saya memang tak suka design tu. Awak ni faham ke tak?!" Dia mula marah-marah. Hesy, kalau tak berkenan jangan buat keputusan masa tempah dulu!

"Saya faham tapi..."

"Tak, awak tak faham!" bentaknya.

Aku menarik nafas panjang. "Macam ni cik, saya boleh tukar design kad kepada kad yang cik minta. Tapi saya perlu kenakan kos ganti rugi untuk penukaran keputusan pada saat akhir."

"Kenapa pula nak kena bayar ganti rugi?" Dia berdiri, mencekak pinggang.

"Maaf cik tapi itu polisi syarikat dan ada tertulis dalam borang tempahan. Cik boleh semak di sini," kataku sambil menunjuk ke bahagian terma dan syarat. Dalam hati rasa bersyukur kerana aku sertakan perkara itu dalam terma dan syarat semasa mereka borang tempahan. Kalau tidak, boleh rugi besar aku. Marina merenung borang di tanganku.

Wajahnya masam. "Yalah, saya bayar. Ingat saya tak ada duit ke?"

Aku tidak menghiraukan rungutannya dan mengisi ruangan penukaran maklumat. Marina yang masih marah kepada aku, duduk dengan wajah mencuka.

Sehangat MatahariWhere stories live. Discover now