Bab 8

962 23 0
                                    

Hari pertama di Matahari! Semangatku berkobar-kobar untuk memulakan hari pertama di syarikat sendiri. Premis Matahari aku sewa daripada Encik Hamidan, pesara tentera yang diperkenalkan oleh Razif selepas aku menghadapi kesukaran mencari premis dengan sewa yang berpatutan.

Aku bersendirian kerana tidak mempunyai pembantu. Iklan jawatan kosong telah aku letakkan di beberapa tempat dan iklankan di Internet. Aku juga minta bantuan teman dan keluarga untuk mengesyorkan pembantu. Harap-harap aku akan dapat pembantu yang baik agar urusan di Matahari dapat berjalan dengan lancar. Rina muncul pada tengah hari untuk memberi kejutan. Tangannya menjinjit dua beg plastik besar terisi KFC.

"Hari pertama biar kita makan di syarikat kau!" katanya ceria.

Aku tersenyum, menyambut baik cadangannya.

Kami makan sambil berbual-bual. Inilah kali pertama aku makan tanpa terkejar-kejar untuk kembali ke pejabat. Walaupun terasa aman, separuh hatiku berharap perkara sebegini tidak akan berterusan. Situasi ini seolah-olah seperti aku tidak ada kerja untuk dibuat. Dari mana akan datang pendapatan jika tidak ada kerja?

"Kau dan Razif macam mana?" soal Rina tiba-tiba.

Aku tunduk, mencubit ayam goreng untuk disuap ke dalam mulut. "Macam tu la."

Rina menggigit bibir, berfikir panjang sebelum bertanya lagi. "Kau dah jumpa dia lepas dia balik dari London?"

"Belum. Dia di Kuching sekarang."

"Kau dan dia bergaduh lagi?"

"Tak adalah. Kami cuma tak berjumpa saja. Aku ada call dia beberapa kali lepas dia balik ke Malaysia."

"Kau orang ni betul-betul bercinta ke?"

"Cinta mesti sentiasa berkepit ke?"

"Bukan macam tu. Aku ingat masa aku bercinta dengan Nafizi dulu. Bila dia ada rasa tenang, happy gila. Bila dia tak ada terbayang-bayang. Terfikir dia tengah buat apa, dengan siapa. Lepas tu, kalau dia dekat, jantung aku ni macam nak lari dari dada aku," terang Rina.

Aku tergelak. "Jiwang karat juga kau ni, ya!"

"Aku serius la!" Rina menjelingku.

"Aku tahu," ujarku.

Tapi gelak, gelak juga. Kata-kata Rina itu membuatkan aku terfikir. Ada ke semua simptom-simptom macam tu pada aku? Aku memang terfikirkan dia tapi adakah dia juga sama? Jantung pernah berdegup kencang bila dia mendekatiku tetapi sekarang aku tidak lagi pasti. Mungkin kerana kami jarang bertemu ataupun kerana kami sudah terbiasa setelah sekian lama bercinta.

"Jauh kau termenung!" Suara Rina mengejutkan aku. "Kau dah sampai ke mana tadi?"

Aku tersengih menahan malu. "Ada kat bumi lagi ni."

"Badan saja kat bumi, fikiran barangkali di awan biru." Rina mengangkat kening dan tersengih penuh makna.

"Merepeklah kau ni!" desisku.

Dalam hati aku mengutuk diri sendiri kerana menceritakan kepada Rina tentang perbualan antara aku dan Adam. Sejak hari itu, dia tidak habis-habis mengusikku. Tapi antara aku dan Rina jarang ada rahsia. Jadi lambat-laun aku akan ceritakan juga.

"Bila tiada terkenang-kenang, bila ada hati jadi tenang." Rina seolah-olah berfalsafah.

"Pandai pula kau berpuisi," getusku geram.

Rina tersenyum mendengar reaksiku tetapi tidak terus mendesakku. Dia faham aku akan naik angin jika dia teruskan lagi. Selesai makan, Rina bergegas kembali ke pejabatnya. Katanya dia ada mesyuarat selepas ini. Untuk seorang setiausaha, Rina terlalu relaks bekerja. Kadangkala aku lupa dia juga bekerja dan perlu berada di pejabat.

Sehangat MatahariWhere stories live. Discover now