Bab 1

12.2K 204 3
                                    

Prolog

Lara Alina...

Betapa pun angin melantak, petir membahar, langit bergemuruh, bumi merekah,

Namun siapalah aku untuk menghalang 'rasa' indah yang bertamu tanpa kuundang.

Adakah dendam yang beraja dalam hati mampu mencair kerana 'rasa' itu.

Carl Zarif...

Pertemuan kerana aturan takdir...

Bermula dengan bibitan sinis serta bunga-bunga panas pertengkaran...

Namun andai itu takdir aturan-Nya, siapalah kita untuk menafikan...

Mampukah cinta yang terbias dalam hati menjerat rasa sayang daripada seorang insan bergelar lelaki?

Terhapuskah dendam kerana luhurnya cinta?


Bab 1

Jam sudah menunjukkan ke angka sepuluh. Carl Zarif masih berada di pejabat menyiapkan timbunan kerja. Sebagai pengurus syarikat dan salah seorang pemegang saham terbesar di syarikat Kalam Holdings, Zarif perlu meneliti beberapa dokumen penting sebelum menurunkan tandatangan.

Fikirannya sudah tidak dapat ditumpukan pada skrin komputer riba. Mata pula sudah terasa perit. Komputer riba ditutup. Fail-fail disusun rapi di tepi meja. Dia akan pastikan mejanya kemas dan tersusun sebelum pulang. Beg kerja dicapai. Lampu ditutup. Dialah yang selalu menjadi orang terakhir meninggalkan pejabat.

"Zarif... Dah makan ke?" Buka sahaja pintu rumah, kedengaran suara Puan Sri Zainab dari ruang tamu rumahnya. Dihalakan langkah menghampiri mama kesayangannya itu.

"Kenyang lagi, ma. Nanti kalau lapar, pandai-pandailah Zarif cari makanan kat dapur tu. Macam mana Naim, ma? Dia okey tak hari ni?" Zarif menyandarkan badan di sofa empuk sambil melunjurkan kaki. Lenguh pula kakinya hari ini. Mungkin sebab tadi dia keluar ke tapak projek.

"Naim..." Kata-kata Puan Sri Zainab terhenti di situ.

"Mama?" Zarif tahu mesti ada yang tak kena dengan mamanya.

"Mama tak tahu nak buat apa lagi dengan dia. Suruh makan dia tak mahu. Asyik terperuk di dalam bilik tu aje." Pandangan Zarif dihala ke tingkat atas. Masalah itulah yang selalu merunsingkan fikiran Puan Sri. Carl Naim, anak keduanya.

"Zarif naik atas dulu, ma. Zarif tengokkan dia. Mama janganlah risau sangat."

Selepas mencium pipi Puan Sri Zainab, Zarif melangkah menaiki tangga menuju ke tingkat atas. Walaupun badannya terasa amat letih, digagahkan juga. Terus dia menuju ke bilik Naim. Zarif cuma ada dua orang adik sahaja. Carl Naim dan Carlisa Laila. Kini hanya Naim yang tinggal bersama mereka. Lisa pula sedang menyambung pelajaran di Melbourne, Australia. Baru setahun dia di sana mengambil jurusan perniagaan.

Berkali-kali pintu bilik diketuk namun tiada bunyi suara pun dari dalam bilik. Zarif nekad untuk membuka sahaja pintu bilik adiknya. Hatinya sedikit resah apabila adiknya tidak menjawab. Selalunya kalau dia tidur pun, mesti terjaga apabila ada orang mengetuk pintu bilik.

"Get out!" Zarif dihalau sebaik sahaja kakinya melangkah masuk. Lampu tidak dipasang. Gelap sungguh bilik Naim. Tiada cahaya yang masuk. Langsir ditutup rapat. Zarif tidak peduli dengan arahan adiknya itu. Suis lampu ditekan.

"Naim! What are you doing? Bagi balik pisau tu! Jangan jadi bodoh!" Buka sahaja lampu bilik, kelihatan Naim sedang memegang sebilah pisau. Dari mana dia mendapat pisau tersebut masih menjadi tanda tanya. Arghhh... Yang penting sekarang bagaimana hendak merampas pisau dari tangan Naim. Nyawa adiknya lagi penting sekarang ni.

Cinta Hati SayangWhere stories live. Discover now