Bab 13

2.5K 46 0
                                    

Hari ini Lara dan Sofea benar-benar tinggal di rumah besar Tan Sri Roslan. Mungkin mereka terpaksa tinggal di situ selama seminggu sementara menunggu rumah yang sepatutnya siap. Dan Lara berharap sangat yang dia tidak akan selalu bertemu dengan Zarif.

"Lara, auntie tahu Lara risau jika kami ada niat lain. Percayalah, auntie tiada apa-apa agenda lain selain untuk melihat Sofea membesar dengan sempurna. Auntie tahu Sofea pun dah anggap Lara macam ibu Sofea sendiri." Puan Sri Zainab mengajak Lara minum petang di tepi kolam renang. Sofea pula sedang tidur di dalam bilik barunya. Nyenyak betul Sofea tidur.

"Tolong jangan pisahkan kami, auntie. Sofea segala-galanya buat Lara. Hanya dia yang Lara ada dekat dunia ni. Lara dah tak ada siapa-siapa." Lara meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya selama ini. Perasaan takut yang kerap menghantuinya semenjak mereka rapat dengan keluarga Tan Sri Roslan.

"No, Lara. Auntie dan uncle tak ada niat sampai ke situ pun. Tak terfikir pun nak pisahkan kamu berdua." Puan Sri Zainab mencapai tangan Lara. Digenggamnya erat. Barulah dia tahu perasaan sebenar Lara. Takut jika mereka merampas Sofea daripadanya.

Mereka saling berpandangan. Masing-masing memahami perasaan seorang ibu walaupun berbeza usia. Entah kenapa perasaan sayang Puan Sri Zainab kepada Lara semakin mendalam. Dia seperti memahami perasaan seorang perempuan muda yang terpaksa menggalas tanggungjawab besar untuk membesarkan seorang kanak-kanak yang masih kecil.

"tempat Lara kerja dekat dengan pejabat Zarif, kan?" Tan Sri Roslan bertanya kepada Lara ketika mereka sedang bersarapan sama. Pandangan Tan Sri Roslan dialihkan kepada Zarif apabila dilihatnya Lara diam membisu.

"Zarif?" soal Tan Sri Roslan lagi.

Zarif terus memandang Lara yang duduk di hadapannya. Lara langsung tidak mengangkat muka dan hanya memandang nasi goreng di atas pinggan sejak tadi.

"Bolehlah. Tak adalah dekat sangat," tipu Zarif. Dia tahu niat papanya itu.

"Kalau macam tu, bolehlah Zarif tumpangkan Lara," cadang Tan Sri Roslan.

"Tak apalah, uncle. Lara boleh pergi sendiri. Lagipun Lara nak ke tempat lain dulu." Kini Lara pula yang menipu. Mana mungkin Lara hendak menumpang kereta Zarif. Mati katak dia di dalam kereta nanti.

"Lara nak ke mana?" soal Puan Sri Zainab tiba-tiba.

"Lara nak... Lara nak ambil barang dekat rumah Wati." Dia tiada idea lain selain menggunakan nama Wati. Itu yang terlintas dalam fikirannya.

"Tak apa, Lara boleh pergi sendiri. Lagipun Lara masuk lambat sikit hari ni." Sekali lagi Lara terpaksa menipu. Takkanlah dia hendak menyuruh Pak Mat hantarkan pula? Sudah jelas Pak Mat nak kena hantar Tan Sri Roslan ke tempat kerja.

"Lara ada lesen memandu ke?" Tiba-tiba Tan Sri Roslan bertanya.

Zarif sudah tahu apa yang difikirkan oleh Tan Sri Roslan. Dia juga turut memandang Lara sama.

"Ada, tapi dah lama Lara tak bawa kereta." Wajah Tan Sri Roslan dipandang.

"Tak apa, nanti uncle suruh Pak Mat ajar. Nanti boleh Lara bawa kereta sendiri pergi kerja. Lagi senang. Nak minta tolong orang ni payah kadang-kadang," balas Tan Sri Roslan sambil menjeling Zarif.

"Zarif pergi dulu." Selepas meneguk air sehingga habis, Zarif terus bangun dan bersalaman dengan kedua-dua ibu bapanya. Pandangan tajam dihadiahkan kepada Lara saat pandangan mereka bersatu hanya untuk beberapa saat.

Selepas beberapa minit Zarif pergi, Lara pula yang meminta diri. Ada juga Tan Sri Roslan mempelawa Lara untuk menaiki kereta bersamanya, tetapi ditolak baik oleh Lara. Dia tidak mahu disebabkan dirinya, Tan Sri Roslan terlambat masuk ke pejabat. Lagipun sekarang ni dia tahu dekat mana boleh dapat teksi. Kena berjalan sedikit sahaja ke jalan besar.

Lara berjalan dengan laju. Dia tidak mahu lewat sampai nanti. Mana pernah dia datang lambat sebelum ini. Rekod bersih dari dulu. Sedang dia berjalan kaki, ada sebuah kereta menghampirinya. Takut juga Lara. Mana tahu peragut. Cepat-cepat Lara memegang kuat beg tangannya.

Kereta BMW X5 berhenti di hadapannya. Kereta mamat tu ke? Apa dia buat dekat sini? Bukan dia dah pergi kerja ke? Banyak betul soalan yang bermain dalam fikiran Lara.

"Masuk cepat," arah Zarif dengan tegas. Lelaki itu hanya menurunkan tingkapnya sambil menjerit. Tiada langsung senyuman terukir di bibir Zarif. Geram pula Lara melihatnya. Dia ingat aku ni adik dia ke? Nak bagi arahan bagai.

"Terima kasih ajelah." Kalau tak ikhlas lebih baik tak payah. Bengang Lara dengan perangai Zarif. Macam nak cari gaduh aje. Tak ada pun aku suruh dia tumpangkan aku. Aku boleh naik teksi pergi kerja. Tak mahu aku terhutang budi nanti. Payah. Masih terbayang lagi peristiwa dia dan Sofea ditinggalkan di tepi jalan semasa Zarif menghantarnya pulang ke rumah lama.

Lara meneruskan langkahnya. Dibiarkan sahaja Zarif di situ. Sedang Lara berjalan, dirasakan ada seseorang yang mengekorinya. Baru sahaja dia hendak menoleh, dirasakan tangannya dicengkam kuat.

"Isy, apa ni? Lepaslah!"

Tangan Zarif masih kuat mencengkam lengan Lara. Kemudian ditariknya Lara masuk ke dalam kereta. Wajah bengis Zarif jelas kelihatan. Takut pula Lara untuk melawan.

"Pakai seat-belt tu," arahan Zarif dengan tegas.

Geram sahaja Lara saat itu. Hendak sahaja dia membuka pintu kereta dan lari sekuat hati. Tapi apabila difikirkan semula, macamlah Zarif ni tak dapat kejar dia nanti. Lengan Lara masih terasa sakit akibat cengkaman Zarif tadi. Takut kalau dia lari nanti, lagi teruk Zarif lakukan sesuatu kepadanya.

Lara diam membisu sepanjang perjalanan menuju ke tempat kerja. Langsung tidak dipandangnya Zarif di sebelah. Jalan ke tempat kerjanya dirasakan terlalu jauh.

Tidak beberapa lama kemudian, kereta berhenti di depan kedai kek tempat Lara bekerja. Entah bila mereka sampai pun Lara tidak perasan. Yang ada dalam fikirannya hanya satu. Sentiasa bersedia untuk menyelamatkan diri jika terjadi apa-apa kepadanya. Kini Lara bersyukur kerana dia selamat sampai.

"Apa pasal tak boleh buka pula ni?" soal Lara perlahan tetapi masih jelas di telinga Zarif. Lara masih cuba membuka tali pinggangnya. Macam mana pula nak buka ni? Canggih sangat kereta ni.

"Sini." Tangan mereka bersentuhan apabila Zarif cuba membantu Lara yang masih terkial-kial membuka tali pinggang keselamatan. Macam ada aliran elektrik dirasakan. Bukan sahaja Lara tetapi Zarif turut merasakan perkara sama. Cuma masing-masing cuba selindungkan perasaan tersebut.

"Terima kasih." Terpaksa jugalah Lara mengucap terima kasih sebelum menutup pintu kereta. Orang berbudi kita berbahasa.

"Amboi, Cik Lara. Kereta BMW siapa pula yang hantar kau ni?" soal satu suara. Lara tidak perasan yang Wati juga baru sampai. Terkejut dibuatnya apabila bahu Lara tiba-tiba ditepuk.

"Mamat itulah." Lara mengeluarkan kunci kedai yang disimpan di dalam beg tangannya.

"Si Zarif tu hantar kau tadi? Demam ke apa ni?" Dahi Lara disentuh.

"Bukan aku yang demam, dia yang demam. Biarlah. Adalah tu Puan Sri atau Tan Sri yang suruh dia hantar aku. Kalau tak, ingat dia nak hantar aku? Jangan haraplah," balas Lara.

Wati pula hanya mengangguk mendengar kata-kata Lara.

Cinta Hati SayangTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang