Bab 11

2.5K 48 0
                                    

"Betul ke dia tinggal dekat sini, Mat?" Tan Sri Roslan tidak percaya yang selama ini Lara dan Sofea tinggal di kawasan begini. Rumah flat yang sedikit usang. Ada juga beberapa orang warga asing dilihat sedang berjalan di kawasan sekitar. Kereta Alphard putih menghampiri blok rumah Lara. Dilihatnya semua orang sedang memandang mereka. Mana tidaknya, jarang kereta mewah masuk ke kawasan sini.

"Betul, Tan Sri. Setiap kali saya ambil dan hantar, dekat sinilah dia turun. Rumah dia dekat tingkat satu."

Puan Sri Zainab masih memandang sekeliling. Begitu juga dengan Zarif yang duduk di sebelah Pak Mat. Persekitaran yang tidak berapa bersih. Jauh berbeza dengan kawasan persekitaran rumah mereka.

Lara yang sedang melipat baju terkejut apabila mendengar suara seorang lelaki memberi salam. Suara macam kenal. Tak mungkinlah. Takkan Tan Sri Roslan tu nak datang sini? Diintainya Sofea yang sedang nyenyak tidur di dalam bilik sebelum berlalu menghampiri pintu.

"Uncle? Auntie?" Lara amat terkejut apabila melihat dua insan yang berdiri di hadapan pintu rumahnya. Dia tidak pernah terfikir langsung yang Tan Sri Roslan dan Puan Sri Zainab akan berkunjung ke rumah buruknya.

"Aaa... Jemput masuk uncle, auntie." Segannya Lara hendak mengajak mereka masuk. Serba salah dibuatnya. Kalau tak dipelawa masuk, dikatakan kurang ajar pula nanti. Melihat keadaan rumahnya yang memang jauh berbeza dengan rumah banglo mereka membuatkan perasaan segan semakin menebal dalam hatinya.

"Hah Zarif. Berdiri dekat situ buat apa? Masuklah," panggil Tan Sri Roslan.

Zarif?!

Terus dipandang wajah lelaki yang berdiri di sebelahnya. Apa pula dia buat dekat sini?

"Lara selesa ke tinggal dekat sini?" Tan Sri Roslan yang sedang duduk di atas sofa terus menyoal Lara. Matanya masih memandang keliling rumah. Nampak seperti tidak selesa.

"Ini aje yang saya mampu. Memang kalau ada duit lebih, saya nak pindah dari sini sebelum Sofea besar. Maaflah uncle, auntie... Rumah saya ni tak selesa sikit. Kecik." Sempat Lara mengerling kepada Zarif yang sejak tadi duduk diam di tepi.

"Lara, Sofea mana?" Puan Sri Zainab terlalu rindu kepada Sofea.

"Dia tidur dalam bilik tu, auntie." Lara memuncungkan bibirnya ke arah bilik tidur utama.

"Kejap ya. Saya buatkan air." Baru sahaja Lara hendak bangun, terdengar suara Tan Sri Roslan menghalang.

"Tak apa, Lara. Tak payah susah-susah. Kami datang pun bukan nak minum makan semua. Kami datang sebab nak tengok Lara dengan Sofea. Dah lama kamu berdua tak datang rumah sana. Risau kami dibuatnya." Suara Tan Sri Roslan yang sedikit kuat membuatkan Sofea terjaga. Dengan mamai dia berjalan keluar.

"Ibu..." Sofea terus mendapatkan Lara.

"Nenek..." Sofea melangkah ke arah Puan Sri Zainab pula.

"Sofea dah makan?" soal Puan Sri Zainab kepada Sofea sambil tangannya mengusap lembut kepala cucunya itu.

"Belum lagi. Fea tidur tadi," balas Sofea.

Memang betul pun. Habis sahaja Lara masak tadi, Sofea sudah tertidur di depan TV. Lara yang mendukungnya masuk ke dalam bilik.

"Fea nak makan?" soal Puan Sri Zainab.

Alamak. Puan Sri tanyalah pula. Memanglah Lara dah masak, tapi masak sikit aje. Untuk mereka berdua sahaja. Lauk pun lauk biasa. Bukan macam lauk-pauk yang dimasak di rumah besar mereka. Sekali lagi rasa segan menyelubungi dirinya.

"Lara dah makan?" Kini giliran Tan Sri Roslan pula yang bertanya. Wajah Lara dipandang.

Zarif dari tadi sibuk memerhatikan setiap penjuru rumah. Semua ceruk rumah dipandang. Zarif seorang yang teliti tentang kebersihan. Dia tidak suka tempat yang bersepah. Rasa pening jika berada di tempat-tempat begitu. Nasiblah rumah Lara kemas dan bersih walaupun kecil dan sempit ruangnya. Barang-barang di rumah tersebut disusun kemas dan teratur. Tiada perabot mahal pun. Hanya barang asas sahaja yang kelihatan.

"Belum lagi, uncle. Tadi tunggu Sofea bangun tidur." Lembut suara Lara menjawab.

"Apa kata hari ni kita makan sama dekat luar? Kami pun belum makan lagi ni." Tan Sri Roslan mengajak mereka semua makan di luar.

Lara terpaksa mengangguk dan melemparkan senyuman tawar kepada Tan Sri Roslan. Dia berharap sangat yang Zarif tidak akan mengikut mereka.

"Yeah! Makan dekat luar. Sofea lapar ni." Sofea mengangkat kedua-dua tangannya tanda seronok. Memang sudah lama pun mereka tidak makan di luar.

"Ala, sukanya cucu nenek ni." Diciumnya pipi Sofea berulang kali.

Mereka yang lain tersenyum melihat telatah Sofea kecuali Zarif. Langsung tiada senyuman terukir di bibirnya. Hati batu mana ada perasaan. Menyampah.

"Hai, Lara. Nak keluar ke?" Tiba-tiba ada seorang wanita yang agak berumur menegur Lara ketika mereka sedang menuruni tangga. Dia juga sama-sama hendak turun ke bawah.

"Haah, saya nak keluar kejap. Pergi makan." Lara menjawab pertanyaan jirannya itu. Risau juga jika Kak Ani banyak tanya. Bukan dia tidak tahu mulut Kak Ani ni. Suka benar jaga tepi kain orang.

"Cik Ani... Fea nak keluar dengan nenek, atuk dengan uncle," ucap Sofea pula.

Isy, Sofea ni... Banyak mulut pula dia, bebel Lara dalam hati. Puan Sri Zainab dan Tan Sri Roslan pula sekadar tersenyum memandang Sofea. Zarif pula masih setia berjalan di belakang sekali.

"Siapa mereka ni, Lara? Bakal mentua kamu ke? Kereta mereka kat bawah tu, kan?" bisik Kak Ani di telinga Lara.

Bakal mentua? Biar betul Kak Ani ni? Mesti dia fikir Zarif ni bakal suami aku. Oh, tidak... Jauh benar sangkaan Kak Ani ni.

"Eh, bukanlah kak. Nantilah saya cerita, ya. Kami nak cepat ni," balas Lara. Bukannya dia tidak dengar Zarif berdehem tadi. Nampak sangat lelaki itu dengar apa yang Kak Ani tanya tadi. Ah, biarlah dia. Tak adanya aku nak pasang angan-angan bersuamikan dia.

Kereta dipandu menuju ke sebuah restoran masakan Melayu. Cantik tempatnya. Tempat tertutup dan berhawa dingin.

"Ibu... kita nak makan dekat sini ke? Cantiknya, ibu." Sofea menarik tangan Lara sambil berjalan masuk ke dalam restoran. Lara pula sekadar mengangguk.

Aduhai... Apa pasal pula si mamat ni duduk sebelah aku? Nak bangun tukar tempat nanti dia orang cakap apa pula. Nasib kaulah, Lara.

Inilah kali pertama mereka makan di luar bersama-sama. Yang paling seronok tentulah Sofea. Suka dia bila ramai yang rajin melayannya terutama Puan Sri Zainab.

Zarif pula lebih banyak berdiam diri. Sesekali apabila Tan Sri Roslan dan Puan Sri Zainab bertanya barulah dia menjawab. Jika tidak, lelaki itu lebih banyak mendengar sahaja. Dengan Lara langsung tidak bercakap. Senyum pun tidak.

Tapi apa yang peliknya, apa pasal Zarif ni ikut sekali? Kan lebih baik dia pergi buat hal sendiri daripada sibuk ikut mereka semua? Ke dia kena paksa dengan auntie dan uncle? soal Lara dalam hati.

"Terima kasih uncle, auntie. Insya-Allah kalau ada masa nanti Lara datang sana dengan Sofea." Lara bersalaman dengan Tan Sri Roslan dan Puan Sri Zainab.

"Terima kasih, Pak Mat," ucap Lara kepada Pak Mat pula. Pak Mat sekadar tersenyum.

"Uncle..." Sofea tiba-tiba mendapatkan Zarif. Tangan dihulur. Perlahan-lahan Zarif mencapai tangan kecil Sofea. Disalam dan dicium tangan bapa saudaranya itu. Tersentuh juga hati Zarif melihat Sofea. Satu-satunya anak saudara yang dia ada buat masa ini.

Selepas menghantar Lara dan Sofea pulang, kereta terus dipandu pulang ke rumah mereka.

Ketika Tan Sri Roslan sampai di rumah, mereka terus membincangkan perihal Lara dan Sofea.

"Abang nak mereka berdua pindah dari situ. Tinggal dekat tempat lain. Abang ingat nak suruh mereka tinggal dekat penthouse kita tu." Tan Sri Roslan melabuhkan punggung di sofa sambil tangannya menekan alat kawalan TV.

"Kenapa tak suruh mereka duduk dengan kita aje dekat sini?" Puan Sri Zainab memang ingin sangat mereka duduk bersama-sama di sini. Setiap hari boleh berjumpa dengan Sofea. Setiap hari boleh berbual dengan Lara. Ada teman untuk diajak berbual.

"Abang rasa Lara tak mahu. Tengoklah Si Zarif tu, macam tak suka dengan Lara dan Sofea," balas Tan Sri Roslan.

Ada betul juga kata suaminya itu. Lagipun dia tidak pernah nampak mereka berbual bersama sebelum ini. Hmmm... 

Cinta Hati SayangWo Geschichten leben. Entdecke jetzt