Bab 6

3.8K 80 2
                                    

"Mesti Lara tertanya-tanya kan sebab kami jemput Lara datang ke rumah malam ni?" soal Tan Sri Roslan.

Lara mengangguk. Dipandangnya Sofea yang sedang sibuk melihat ikan-ikan di dalam kolam bersama Pak Mat.

Sebenarnya hatinya semakin tidak tenteram semenjak Zarif muncul. Ikutkan hati hendak sahaja dia balik sekarang. Tetapi sebelum balik, dia perlu tahu sebab dia berada di sini. Bukan dia tidak nampak bagaimana Zarif memandangnya. Macam pesalah pula dirasakan.

"Kakak Lara, Hana... Pernah jadi menantu kami. Isteri kepada anak kami," jelas Tan Sri Roslan.

Pandangan Lara terus dihalakan kepada Zarif. Pandangan mereka bersatu. Biar betul lelaki ni suami Kak Hana? Setahu Lara, masa dia berjumpa dengan abang iparnya, lelaki itu seorang yang baik hati, peramah dan tidak sombong.

"Anak kedua auntie. Carl Naim."

Lega. Sah bukan dia. Ingatannya terus kepada nama Sofea. Sofea Yasmin binti Carl Naim.

"Sa... saya nak balik. Sofea... Jom sayang." Lara sudah mencapai beg tangannya. Dia tidak sanggup menunggu lebih lama lagi. Dia tidak sanggup mendengar lagi. Dia takut jika mereka mahu merampas Sofea daripadanya. Hatinya sudah tidak tenteram selepas mengetahui hal sebenar.

"Lara... Tunggu dulu." Puan Sri Zainab cuba menghalang.

"Lara... Nanti uncle suruh Pak Mat hantar balik."

"Lara..." Kata-kata Puan Sri Zainab terhalang apabila tangan si suami memegang bahunya. Tidak membenarkan Puan Sri Zainab berkata apa-apa lagi.

Baru sahaja Lara hendak membuka pintu kereta, kelihatan Pak Mat terlebih dahulu membukanya.

"Lara nak balik, kan? Pak Mat hantarkan, ya." Lara tiada pilihan lain. Dia terpaksa menerima pelawaan Pak Mat.

Ketika di dalam kereta, Lara terus menangis. Hatinya begitu risau. Dia takut sekiranya ada orang ingin mengambil Sofea dari sisinya.

"Lara okey tak ni?" Pak Mat risau melihat Lara yang tiba-tiba menangis.

"Lara... Lara okey, Pak Mat. Sedih sikit aje ni."

Selepas itu Pak Mat tidak lagi bertanya apa-apa. Dia dapat rasakan yang Lara tidak selesa untuk membincangkan masalah ini dengannya. Ini mesti ada kaitan dengan Tan Sri dan Puan Sri. Kalau tidak, masakan Lara balik tergesa-gesa tadi, fikir Pak Mat dalam hati.

"Nab nak jumpa dengan Sofea lagi, bang." Baru sahaja Tan Sri Roslan masuk ke dalam bilik tidur, Puan Sri Zainab terus menyatakan hasratnya untuk berjumpa lagi dengan Sofea. Mesti isterinya tidak puas melihat Sofea, cucunya tadi.

"Bagi sedikit masa dekat Lara tu. Dia terkejut tadi tu. Abang rasa dia takut. Dia takut jika kita rampas Sofea daripadanya."

"Abang... Nab tak ada sikit pun niat nak rampas Sofea daripada dia. Nab tahu Lara jaga Sofea dengan baik. Suka Nab tengok kemesraan mereka berdua tadi. Si Lara tu pun nampak baik budaknya."

Tan Sri Roslan setuju dengan apa yang dikatakan oleh Puan Sri Zainab. Memang dia sendiri pun nampak keakraban dua beranak tadi. Sofea memang sangat manja dengan Lara walaupun hakikatnya Lara bukanlah ibu kandung Sofea.

Sudah seminggu berlalu. Ada juga beberapa kali Puan Sri Zainab menelefon bertanyakan khabar Lara dan juga Sofea. Dalam seminggu itu juga, beberapa kali Lara ternampak Zarif dari jauh. Cepat-cepat dia melarikan diri. Dia tidak mahu berjumpa dengan Zarif lagi. Biarlah dia yang mengalah. Dia tidak sanggup jika bertembung dengan lelaki itu. Takut dituduh hendak menumpang kesenangan keluarganya.

Cinta Hati SayangWhere stories live. Discover now