Bab 9

3.9K 82 0
                                    

"Okeylah, bro. Aku balik dulu." Badrul meninggalkan Zarif apabila tiba di tempat parkir keretanya. Zarif pulang agak awal sikit hari ni. Dia ada janji temu malam ni dengan ketua pengurus salah sebuah syarikat terkemuka di Singapura.

Enjin kereta dihidupkan. Badrul memang mahu pulang awal hari ni. Selalunya dia akan ke gim setiap hari Rabu. Zarif juga akan turut serta jika ada kelapangan. Tetapi hari ini terpaksalah Badrul pergi seorang diri.

Semasa keretanya menghampiri perhentian bas, dilihatnya ada seorang perempuan sedang berdiri bersama dengan beberapa orang lain. Semakin hampir keretanya, semakin dia dapat melihat dengan jelas wajah perempuan tersebut. Badrul menghentikan keretanya di hadapan perhentian bas tersebut.

Lara pula sedikit terkejut apabila tiba-tiba kereta Audi hitam berhenti di depannya.

"Lara... Tunggu bas nak balik ke?" Sebaik sahaja tingkap kereta diturunkan, Badrul terus bertanya.

Lara terpinga-pinga di situ. Cuba diamati wajah lelaki yang sedang bercakap dengannya. Macam pernah jumpa sebelum ni.

"Haah, tunggu bas atau teksi nak balik."

"Jomlah, saya hantar balik."

Lara masih meninjau-ninjau jika ternampak kelibat bas atau teksi. Hampa. Langsung tiada.

"Lara... Jom. Jangan risau, saya tak buat apa-apa dekat awak. Jom." Pintu kereta sudah dibuka.

"Lara selalu tunggu bas dekat sini ke?" Badrul sibuk bertanya.

"Hampir setiap hari saya tunggu bas dekat sini. Selalunya awal sikit, tapi hari ni ada banyak tempahan nak kena siapkan. Tu yang lambat sikit balik. Encik..." Lara masih tidak tahu nama lelaki yang sanggup menghantar dia pulang.

"Badrul Hakim. Just call me Badrul. Tak payah berencik-encik. Kita bukan satu pejabat pun." Ada senyuman terukir di bibir Badrul.

"Saya Lara Alina." Lara tetap memperkenalkan dirinya walaupun Badrul sudah tahu.

"Lara Alina... Sedap nama tu. Lara... belum kahwin lagi, kan?" Macam takut-takut pula Badrul hendak bertanya.

Lara ketawa mendengar soalan Badrul.

"Kenapa? Takut kalau tumpangkan isteri orang ke?"

"Lebih kuranglah. Kalau Lara belum ada sesiapa punya, ada peluanglah saya hantar Lara balik lain kali. Kalau isteri orang, ni kali terakhir rasanya. Tak pasal-pasal nanti kena tumbuk muka ni." Badrul mengusap-usap wajah kacaknya itu.

"Tak ada orang nak lagi," jawab Lara perlahan.

Badrul pula yang tersenyum sendiri apabila mendengar kata-kata Lara. Sempat dia mengerling Lara di sebelah. Lara cantik orangnya cuma penampilannya perlu diperbaiki sikit. Ringkas sangat pemakaiannya.

"Awak, nanti berhenti dekat situ. Depan taska." Lara menunjukkan taska yang menempatkan Sofea. Badrul sekadar mengangguk.

"Terima kasih banyak-banyak sebab sudi tumpangkan saya. Nanti saya balik sendiri aje. Tak jauh pun. Terima kasih." Pintu kereta dibuka.

"Saya tunggu. Nanti saya hantar balik rumah." Badrul masih mahu menghantar Lara sampai ke rumah.

"Eh, tak payahlah. Saya dah biasa jalan kaki dari sini. Tak jauh mana pun. Awak baliklah. Sampai sini pun dah cukup bagus dah ni. Kalau tak sebab awak, entah-entah saya masih tunggu bas kat sana lagi." Cukuplah setakat ini. Lara malu hendak menyusahkan Badrul yang baru sahaja dia kenal.

"Saya pergi dulu, ya. Assalamualaikum." Lara segera turun dari kereta kemudian terus masuk ke dalam taska.

Keluar sahaja dari taska bersama Sofea, Lara perasan kereta Audi tadi masih berada di situ. Tidak berganjak pun. Malah dilihatnya Badrul sedang bersandar di tepi kereta.

"Kenapa tak balik lagi?" Lara mendekati Badrul yang sedang tersenyum memandangnya. Dia tidak mahu menyusahkan Badrul lagi.

"Tunggu Lara. Jom. Tunjuk saya jalan ke rumah."

Serba salah Lara dibuatnya. Segan sungguh Lara nak tunjuk kepada Badrul di mana rumahnya. Rumah Lara rumah flat buruk aje pun.

"Ibu... Boyfriend ibu ke?" Si Sofea sibuk menarik baju Lara.

"Bukanlah. Kawan ibulah..." Dicubit lembut pipi Sofea. Lega Lara apabila Badrul seakan-akan tidak mendengar apa yang Sofea katakan tadi.

"Malam tadi kau pergi mana?" soal Zarif. Pagi itu Zarif mengajak Badrul bersarapan di luar. Dia tidak sabar hendak mengetahui sejauh mana hubungan Badrul dan Lara. Maklumlah, dia nampak Badrul mengambil Lara di perhentian bas semalam.

"Malam tadi? Malam tadi aku pergi gimlah. Bukan aku dah beritahu kau ke semalam?"

"Kau pergi gim or kau jumpa sesiapa malam tadi?" Suara Zarif agak mendatar.

"Oh ya... Baru aku ingat. Semalam aku hantar Lara tu balik rumah. Aku nampak dia tengah tunggu bas. Tu yang aku offer nak hantar dia balik. Lagipun dia nak cepat nak ambil budak kecil tu dekat taska. Kau nampak aku ke semalam?" Badrul kembali menyuap roti canai ke dalam mulut sambil menunggu jawapan Zarif.

"Aku ternampak kau dengan dia. Ingat kau ada date dengan dia. Tak beritahu aku pun." Zarif tidak tahu kenapa dia risau jika benar Badrul dan Lara keluar bersama.

"Beritahu kau nak buat apa? Kau bukannya nak ambil tahu pasal dia pun. Tergerak hati juga semalam nak ajak dia makan, tapi dia nak cepat." Badrul buat wajah sedih. Hampa.

"Aku risaukan kau aje. Jaga-jaga sikit dengan dia. Nanti kalau dah masuk perangkap dia, jangan cari aku." Zarif memberi amaran kepada Badrul supaya berhati-hati dengan Lara. Takut Lara ada niat lain.

"Ala, bro. Tak payahlah risau pasal aku. Pandai-pandailah aku jaga diri." Badrul bukan kesah pun dengan amaran dan nasihat kawannya itu. Dia tahu Lara bukan perempuan macam tu. Dia dapat rasakan.

"Lara, masuklah. Sofea, jom sayang," pelawa Puan Sri Zainab. Lara terpaksa datang dan tidur di sini malam ni. Setiap hari Puan Sri Zainab akan menelefonnya bertanya khabar mereka. Kadangkala Puan Sri Zainab berbual sekejap dengan Sofea untuk mengubat rindu kepada cucunya.

Semasa berada di luar rumah tadi, sempat Lara melihat kereta yang terparkir. Kereta BMW X5 tiada di situ. Itu tandanya Zarif tiada di rumah. Lega.

"Lara, dah lama sampai ke?" Tan Sri Roslan yang baru balik dari bermain golf menghampiri mereka.

"Baru aje, uncle. Baru kejap tadi." Salam dihulurkan.

"Abang naiklah dulu. Pergi mandi. Saya temankan mereka dulu." Puan Sri Zainab mengajak Lara minum petang di tepi kolam renang. Sofea pula sedang bermain dengan mainan barunya. Baru sahaja Puan Sri Zainab membelinya pagi tadi bersama Zarif.

Sehingga ke malam, kelibat Zarif langsung tidak kelihatan. Itu sebabnya Lara lebih selesa apabila Zarif tiada. Rasa bebas bergerak di dalam rumah tersebut.

Puan Sri Zainab lebih banyak melayan Sofea manakala Tan Sri Roslan pula lebih banyak berbual dengan Lara.

"Lara masih kerja dekat kedai kek tu?" soal Tan Sri Roslan.

Lara mengangguk. Mana lagi dia hendak pergi? Puas dia memohon kerja yang tinggi sedikit gajinya, tetapi tiada rezeki. Akhirnya Lara putus asa. Biarlah dulu. Malas dia hendak mencari kerja lain.

Tan Sri Roslan sudah ada agendanya sendiri. Cuma dia masih belum memberitahu Lara lagi. Semua yang dibuat adalah untuk kepentingan Lara dan pengorbanan Lara menjaga cucunya selama ini. Lara terpaksa memikul tanggungjawab yang berat membesarkan Sofea pada usia yang masih muda.


Cinta Hati Sayangحيث تعيش القصص. اكتشف الآن