Bab 7

3.8K 79 0
                                    

"Lara... Sofea.. Mari masuk." Puan Sri Zainab terlebih dahulu membuka pintu untuk mereka. Pandangannya jatuh kepada Sofea yang masih kuat memegang tangan Lara.

"Assalamualaikum." Lara bersalaman dengan Puan Sri Zainab. Kemudian dia menyuruh Sofea bersalaman pula dengan Puan Sri Zainab.

"Waalaikumussalam. Kejap lagi uncle turun. Dia tengah mandi dekat atas tu. Hah, Zarif. Baru balik?" soal Puan Sri Zainab apabila melihat kelibat Zarif di belakang Lara.

"Haah, baru balik, ma. Zarif naik atas dulu. Tukar baju. Nanti Zarif turun balik." Cermin mata ditanggalkan. Kemudian dia terus menuju ke tingkat atas. Tidak langsung menoleh ke arah Lara dan Sofea di situ.

"Sofea tengok apa tu?" Puan Sri Zainab menghampiri Sofea yang senyap dari tadi. Teringin dia hendak mendengar suara cucunya.

"Fea nak tengok ikan tu. Boleh tak ibu?" Perlahan sahaja suaranya bertanya. Tidak dipandang langsung wajah Puan Sri Zainab.

"Fea kena tanya nenek. Boleh ke tidak," balas Lara. Sofea takut-takut untuk bertanya kepada Puan Sri Zainab.

"Sofea?" Lara mahu Sofea bercakap sendiri dengan Puan Sri Zainab. Itu sebabnya dia mendesak Sofea untuk bertanya kepada Puan Sri Zainab.

"Nenek... Fea nak tengok ikan tu boleh?" Lembut suara Sofea meminta izin.

"Boleh, sayang. Pergilah." Gembira sungguh hati Puan Sri Zainab mendengar suara Sofea. Lara sekadar mengangguk dan tersenyum memandang Sofea. Terus Sofea berlari-lari anak menuju ke kolam ikan.

"Lara." Suara Tan Sri Roslan tiba-tiba mengejutkan mereka berdua yang asyik memandang Sofea.

"Uncle." Lara bersalaman dengan Tan Sri Roslan.

"Tadi abang macam dengar suara Zarif. Mana dia?" Tan Sri Roslan bertanya kepada isterinya sambil mengajak Lara duduk.

"Ada kat bilik. Nak mandi dulu katanya tadi. Tak taulah dia nak turun ke tak nanti. Abang tahulah perangai dia."

Lara sekadar mendengar perbualan mereka. Hal keluarga, malas Lara hendak campur tangan. Biarlah mereka. Pandangannya dihalakan kepada Sofea. Khusyuk Sofea melihat ikan-ikan tu.

"Oh ya, Lara. Lepas makan nanti uncle ingat nak ajak Lara dengan Sofea keluar. Auntie ni... nak sangat belikan mainan untuk Sofea. Kami nak beli sendiri takut Sofea tak suka. Jadi lebih baik biar dia pilih sendiri nanti."

Sebenarnya berat hati Lara hendak bersetuju dengan cadangan mereka. Bukannya dia biasa dengan mereka.

"Boleh ya, Lara?" Puan Sri Zainab masih menunggu jawapan daripada Lara. Berharap sangat yang Lara akan bersetuju.

"Okey, auntie." Tidak sampai hati hendak menghampakan harapan Puan Sri. Lagipun Lara sedar yang Sofea tu cucu mereka. Mestilah mereka nak manjakan Si Sofea tu.

"Kalau tak keberatan, uncle nak tanya sikit. Lara dah lama ke duduk dekat flat tu?"

"Semenjak mak Sofea meninggal. Lara tak cukup duit nak tinggal dekat rumah lama. Itu sebab terpaksa bawa Sofea pindah dekat rumah yang lebih murah sewanya," beritahu Lara. Dia tidak mahu berselindung. Bukannya Lara hendak meminta simpati atau apa, tetapi dia mahu mereka tahu kebenarannya. Bukan senang baginya hendak membesarkan seorang anak seorang diri.

"Tan Sri... Encik Naim mengamuk dekat dalam bilik tu," bisik Mak Jah yang tiba-tiba menghampiri Tan Sri Roslan. Walaupun berbisik, telinga Lara masih dapat menangkap suara perlahan Mak Jah.

Naim? Ayah Sofea ke? Dia ada dekat sini? Dia tak sihat ke? Lara berpura-pura tidak mendengar. Dia perasan yang Tan Sri Roslan mencuit tangan Puan Sri Zainab sambil menunjuk ke arah atas. Kemudian Tan Sri Roslan bangun dan meminta diri sebentar.

Cinta Hati SayangWhere stories live. Discover now