Bab 14

2.7K 44 2
                                    

"Mak Jah, Lara nak tanya sikit. Yang sebelah bilik Zarif tu bilik siapa?" Lara bertanya kepada Mak Jah semasa mereka sama-sama naik ke tingkat atas. Dari dulu dia mahu bertanya tetapi berat mulut untuk bersuara.

"Itu bilik Encik Naim. Adik Encik Zarif," jawab Mak Jah.

Bilik Abang Naim? Macam manalah aku boleh terlupa yang Abang Naim masih tinggal di sini? Tapi kenapa tak pernah nampak Abang Naim keluar bilik?

"Dia ada dekat dalam bilik tu ke, Mak Jah?" soal Lara lagi.

Mak Jah serba salah hendak memberitahu. Tapi tidak ada sesiapa pun memberi amaran kepadanya supaya tidak bercerita mengenai Naim kepada Lara sebelum ini.

"Kalau Mak Jah beritahu ni, Lara jangan pula beritahu dekat orang lain, ya?" Mak Jah mengajak Lara masuk ke dalam bilik. Dia menceritakan serba sedikit tentang Naim. Apa yang dia tahu. Ada banyak juga benda yang Mak Jah tidak tahu sebenarnya pasal Naim.

"Lara, malam ni kami semua makan dekat luar dengan keluarga Dato Kamal. Lara nak ikut ke?" Tan Sri Roslan mengajak Lara pergi bersama mereka malam ini. Begitu juga Puan Sri Zainab. Cuma Zarif sahaja yang tidak bersuara langsung.

"Tak apalah uncle, auntie. Lara nak rehat dekat rumah aje." Lara perasan yang Zarif sedang memandangnya tajam. Salah lagi ke apa aku cakap tadi? Isy, dia ni. Pelik benar. Lara tahu mereka mahu berjumpa dengan keluarga Zira, teman wanita Zarif.

"Kalau kami bawa Sofea sekali boleh?" Puan Sri Zainab memang berniat hendak membawa Sofea dan Lara bersama.

"Bawalah, auntie. Tapi kena tanya dia dulu. Takut dia tak mahu. Nanti susah auntie nak jaga dia." Lara ikhlas membenarkan mereka membawa Sofea.

"Zarif pergi dulu." Seperti biasa, tangan papa dan mama diciumnya.

"Lara, jom," ajak Zarif tiba-tiba. Terkebil-kebil Lara di situ. Biar betul mamat ni? Apa mimpi ajak aku pagi-pagi ni? Buang tebiat ke?

Tan Sri Roslan dan Puan Sri Zainab turut memandang Lara. Terpaksalah Lara mengukir senyuman plastik. Beg tangan disandang. Selepas mencium tangan mereka, Lara melangkah keluar. Mengikut Zarif menuju ke kereta.

"Encik Zarif, saya pergi sendiri." Lara tidak mahu menyusahkan sesiapa lebih-lebih lagi Zarif. Lebih baik dia bersusah sendiri.

"Lara Alina! Kenapa tak masuk aje dalam kereta? Nak saya dukung ke?" perli Zarif lagi.

"Saya kata tak payah, tak payahlah. Kalau tak ikhlas tak payah. Dah, saya nak pergi dulu." Lara malas hendak bertekak dengan Zarif. Begitu juga Zarif.

Zarif terus masuk ke dalam kereta dengan perasaan geram. Ditutup pintu keretanya dengan kuat. Stereng kereta dihentak. Lara kelihatan masih setia berjalan meninggalkan kawasan rumah. Tidak langsung menoleh ke belakang.

Pedal minyak terus ditekan. Zarif langsung tidak memandang Lara semasa kereta lalu di hadapan Lara. Sakit hati Zarif apabila Lara tidak mendengar arahannya tadi. Kereta terus memecut laju.

"Gila. Ajak orang tapi nak paksa-paksa. Sakit otak rasanya dia ni." Lara merungut seorang diri hingga sampai ke tempat menunggu teksi. Nasib Lara baik hari ini. Sampai sahaja di situ, terus ada sebuah teksi yang lalu. Cepat-cepat ditahannya.

"Relaks, bro. Kau kenapa ni?" soal Badrul. Dia berjumpa dengan Zarif kerana hendak membincangkan pasal projek terbaru mereka di Pulau Pinang. Tak sangka pula kawan baiknya itu sedang naik angin.

"Tak ada apa-apalah." Zarif sendiri tidak tahu kenapa dia boleh begitu marah kepada Lara. Takkanlah sebab gadis itu tolak ajakannya pagi tadi? Kan lagi bagus kalau dia tak naik kereta aku. Zarif sendiri tidak faham perasaannya sekarang. Apa yang dia hendak sebenarnya? Kenapa dia tidak boleh membenci Lara sepertimana dia membenci kakak Lara?

Cinta Hati SayangWhere stories live. Discover now