Bab 5

4.7K 114 15
                                    

"Ini Cik Lara Alina ke?" soal seorang wanita dalam talian. Nombor yang tidak pernah dia nampak sebelum ini. Nak suruh datang temu duga ke? Bagusnya kalau begitu.

"Ya, saya." Lara masih berharap yang panggilan tersebut berkaitan dengan kerja.

"Saya wakil kepada Tan Sri Roslan. Sebenarnya cik, Tan Sri nak menjemput Cik Lara dan Sofea datang ke rumahnya hari Sabtu ni. Makan malam di rumah Tan Sri," jelas dan terang segala percakapan wanita tersebut.

Tan Sri Roslan? Macam pernah dengar nama tu. Puas Lara cuba ingat, tetapi masih buntu.

"Kenapa tiba-tiba nak jemput saya? Macam mana cik boleh tahu pasal Sofea?" Lara masih ragu-ragu. Mana tidaknya, tiba-tiba pula Tan Sri jemput dia datang rumah. Glamor sangat ke dia ni? Dah rasa macam artis popular pula.

"Begini, Cik Lara... Tan Sri dan keluarga menunggu kedatangan Cik Lara dan Sofea." Lembut sahaja suara wanita itu.

"Menunggu kedatangan saya dan Sofea? Ini ada apa-apa kaitan dengan Sofea ke?"

"Saya tak boleh beritahu apa-apa dekat Cik Lara. Nanti hari Sabtu, driver Tan Sri akan ambil Cik Lara dekat rumah pukul lapan malam."

"Betul ke ni?" Lara masih waswas. Kalau melibatkan dia sendiri tak apa juga. Ini melibatkan Sofea sekali. Membuatkan hati Lara tidak tenang.

"Betul, Cik Lara. Saya tak tipu. Takkanlah saya nak tipu hal yang berkaitan dengan Tan Sri Roslan. Kalau Cik Lara tak percaya lagi, Cik Lara boleh suruh sesiapa ikut Cik Lara nanti." Tenang sahaja wanita tersebut berbicara.

"Jangan lupa, Cik Lara. Hari Sabtu ni pukul lapan malam. Jangan hampakan Tan Sri sekeluarga. Harap Cik Lara tidak berubah fikiran. Terima kasih. Assalamualaikum."

"Kenapa Lara? Berkerut aje dahi tu?" Wati perasan perubahan wajah Lara selepas mendapat panggilan tadi.

"Ni hah. Aku baru dapat jemputan makan malam kat rumah Tan Sri. Mesti kau tak percaya, kan?" Lara masih berdiri memegang telefon bimbit. Pandangannya kini dihalakan tepat ke arah Wati.

"Tan Sri ajak kau makan malam! Biar betul kau ni? Dia usyar kau dari jauh kut."

"Isy, kau ni. Ada-ada aje. Tan Sri sekeluargalah. Tapi aku rasa, ni mesti ada kaitan dengan Sofea. Sebab dia suruh aku bawa sekali Sofea."

"Habis tu kau pergi ke tak ni?" Wati dan Lara saling berpandangan.

"Aku rasa aku pergi. Aku nak tahu kenapa dia ajak aku dengan Sofea. Kalau aku tak pergi, aku tak tahu nanti."

Wati hanya mengangguk. Dia bersetuju dengan keputusan Lara.

Selepas solat maghrib, Lara terus menyiapkan diri. Baju kurung kosong berwarna merah jambu yang dihiasi sedikit sulaman di bahagian tangan dan bawah baju disarung ke badan. Solekan nipis dioles ke wajah. Kulitnya yang licin dan bersih membuatkan solekan menjadi mudah dan senang. Rambutnya yang sedikit berikal di bahagian hujung dilepaskan. Walaupun ringkas, namun Lara tetap kelihatan cantik.

Sofea pula mengenakan baju kurung cotton berwarna merah jambu juga. Rambut ikalnya diikat satu. Biar nampak lagi kemas.

Tepat jam lapan, seorang lelaki menghubungi Lara. Katanya pemandu peribadi Tan Sri Roslan. Dia sudah sampai di bawah. Kecut perut juga Lara apabila melihat kereta BMW 7 Series berwarna hitam sedang menantinya.

"Ibu... Kita naik kereta siapa ni?" Sofea sibuk bertanya apabila mereka sudah masuk ke dalam kereta. Pemandu tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Pak Mat.

"Kereta orang, Fea. Kita tumpang kejap. Nak pergi makan dekat rumah dia. Fea jangan nakal-nakal tau nanti." Lara cuba menenangkan hatinya.

"Cik Lara jangan takut. Mereka semua baik. Lagi-lagi Puan Sri." Pak Mat cuba mengurangkan rasa gelisah Lara.

Cinta Hati SayangWhere stories live. Discover now