Bab 12

2.6K 44 0
                                    

"Lara... kami berdua ada perkara penting nak bincang dengan Lara." Kata-kata Tan Sri Roslan membuatkan perasaan Lara gundah-gulana. Tidak senang duduk dibuatnya.

"Uncle dengan auntie dah berbincang. Kami nak Lara dan Sofea tinggal di rumah kami. Penthouse dekat area sini. Pindah dari rumah lama tu. Tak sampai hati uncle dengan auntie lihat kamu berdua tinggal di situ," terang Tan Sri Roslan.

Zarif sendiri pun tidak tahu akan rancangan papanya itu. Sebab itulah dia ada sekali untuk mendengar rancangan papanya. Dulu Tan Sri Roslan pernah menyuruh Zarif pindah ke situ. Tapi dengan syarat dia perlu berkahwin dahulu. Ketika itu Puan Sri Zainab asyik cuba merapatkan hubungan dia dengan Zira.

"Tapi uncle... Auntie..."

"No tapi-tapi, Lara. Lara kena bawa Sofea tinggal dekat situ. Selesa sikit. Cuma sekarang ni rumah tu tengah renovation. Dah nak siap pun. Jadi buat sementara waktu ni, Lara dengan Sofea tinggal dekat sini dulu, ya," pujuk Tan Sri Roslan lagi.

Tinggal dekat sini? Dengan Zarif ni? Oh tidak!

"Tapi..." Lara tidak dapat memikirkan sebarang alasan. Buntu. Sempat lagi dia mengerling Zarif yang sedang duduk di hadapannya. Dari tadi lelaki itu asyik memandangnya.

"Uncle dengan auntie nak kamu berdua hidup selesa. Kami ikhlas. Tiada niat lain pun, Lara." Wajah Puan Sri Zainab penuh pengharapan.

Senyuman dihadiahkan kepada Tan Sri Roslan dan Puan Sri Zainab. Tentunya mereka faham maksud senyuman itu. Senyuman tanda setuju. Lega hati mereka. Selepas mereka melihat sendiri keadaan tempat tinggal Lara dan Sofea, memang mereka nekad dengan rancangan mereka.

"Oh ya, lagi satu Lara. Kalau uncle offer kerja dekat pejabat, Lara nak tak?" soal Tan Sri Roslan lagi.

Bukan Lara sahaja yang terkejut mendengar cadangan Tan Sri Roslan, tapi Zarif juga terkejut. Kenapa pula tiba-tiba tawarkan kerja dekat Lara? Kerja pejabat pula tu. Pandai ke perempuan ni? Zarif tidak senang duduk sekarang ni.

"Terima kasih banyak-banyak, uncle. Tapi bagi Lara fikir dulu boleh? Sebab Lara tak ada langsung pengalaman kerja dekat pejabat ni." Jujur dia memberitahu perkara sebenar.

"Tak apa, Lara. Lara fikir dulu. Kalau Lara dah bersedia, Lara beritahu uncle."

Lara mengangguk seraya tersenyum kepada Tan Sri Roslan.

Zarif pula tidak puas hati. Mana tempat yang papa nak letak perempuan ni? Bahagian dia sudah penuh. Takkanlah nak jadi setiausaha Badrul pula? Kalau diikutkan memang jawatan tu masih kosong. Tapi layakkah perempuan bernama Lara ni pegang jawatan tersebut?

Lara yang masih setia duduk di hadapannya dipandang tajam. Lepas ni apa lagi? Semua benda nak. Marah Zarif kepada Lara.

Malam itu Lara dan Sofea tidur di bilik yang telah disediakan. Lara berdoa supaya rumah yang sepatutnya mereka duduk cepat siap. Malas Lara hendak berjumpa dengan Zarif setiap hari. Mesti ada sahaja benda yang tak kena di mata lelaki itu.

Tadi ada juga Tan Sri Roslan beritahu yang mereka mahu menghantar Sofea ke tadika swasta yang lebih bagus. Lara sekadar mengikut sahaja. Kalau hendak menunggu duitnya, memang tidaklah. Lara tidak mahu membantah. Baginya Tan Sri Roslan dan Puan Sri Zainab ada hak ke atas Sofea, cucunya. Cuma hingga ke hari ini Lara tidak tahu kenapa Tan Sri Roslan dan Puan Sri Zainab tidak boleh menerima kakaknya sebagai menantu.

Dulu semasa kakaknya berkahwin pun tiada langsung majlis diadakan di sebelah pihak lelaki. Ketika nikah pun cuma ada ahli keluarga terdekat sahaja. Sekarang ni baru dia teringat yang Zarif juga turut hadir ketika itu. Cuma Lara tidak sempat beramah mesra dengan mereka. Habis sahaja upacara membatalkan air sembahyang, keluarga pihak lelaki terus beredar dari situ. Orang cakap keluarga lelaki tidak mahu bermenantukan kakaknya. Cuma Abang Naim yang tetap sayangkan kakak.

"Ibu... kita nak pindah mana ni?" Sofea sibuk bertanya apabila dilihat ibunya sibuk memasukkan pakaian mereka ke dalam beg. Dress kesayangan Sofea masih kuat dipegang. Takut jika Lara memberikannya kepada orang lain.

"Fea... Kita nak pindah rumah baru. Tapi sementara ni kita duduk dekat rumah besar tu. Fea suka tak?" Lara tahu memang Sofea suka pergi ke rumah tersebut. Apa tidaknya, mereka sudah menyediakan satu ruang khas untuk meletakkan barang mainan Sofea. Semakin lama semakin banyak mainan yang diletakkan di situ.

"Suka! Fea suka. Nanti boleh hari-hari Fea main kat situ," balas Sofea dengan teruja.

Lara mengusap lembut kepala Sofea. Sayangnya kepada Sofea tidak pernah kurang malah semakin bertambah setiap hari.

"Kau betul ke ni nak pindah ke sana? Dah fikir masak-masak?" Wati terperanjat apabila diberitahu yang Lara akan berpindah ke rumah Tan Sri Roslan.

"Betullah. Aku dah fikir dah. Ini semua untuk kebaikan Sofea juga. Aku memang nak dia hidup selesa, tapi aku tak mampu. Aku tak mahu lepaskan satu-satunya peluang yang ada ni. Aku buat semua ni pun untuk Sofea. Dia berhak dapat segala-galanya."

"Aku harap ini yang terbaik buat kau dengan Sofea. Tapi kau tak tinggal selama-lamanya dekat situ, kan?" Risau pula Wati apabila teringat yang Lara akan duduk bersama Zarif di bawah satu bumbung.

"Tak mahu aku. Kalau lelaki tu tak ada dekat rumah tu, lainlah cerita. Sekejap aje aku tinggal kat situ.Lepas rumah tu siap, aku pindah ke sana. Eh, nanti kau bolehlah datang tidur sana. Teman aku sekali-sekala," balas Lara.

Wati selalu juga menemani Lara di rumah lamanya. Wati inilah sahabat yang paling rapat dengannya. Susah senang bersama. Semua masalah Lara diceritakan kepada Wati.

"Kau kenapa pula ni? Ada masalah lagi ke?" Badrul nampak Zarif seperti ada masalah. Dia dapat rasakan ini mesti ada kaitan dengan Lara, perempuan yang tiba-tiba muncul dalam diari hidup mereka.

"Lara?" Badrul cuba meneka apabila dilihatnya Zarif masih lagi berdiam diri. Nasi goreng di atas pinggan dikuis-kuis dari tadi.

"Papa ajak dia tinggal sekali buat sementara waktu ni. Lepas tu dia kena duduk dekat penthouse besar papa tu."

"Dia tinggal sekali dengan kau? I mean your family?" soal Badrul seperti tidak percaya.

"Yup. Dekat rumah tu. Ni yang buat aku malas nak balik rumah ni."

"Macam tu pula? Kalau aku, tiap-tiap hari aku nak balik awal tengok muka dia. Hah, apa kata kita tukar tempat. Aku tinggal dekat sana, kau tinggal dekat rumah aku. Bahagia tu tiap-tiap hari nampak dia," balas Badrul. Boleh pula Si Badrul beri idea gila dia ni.

Bahu Badrul ditampar.

"Kau ni dah kenapa? Cantik sangat ke dia tu? Aku tengok biasa aje. Eh, bosanlah kalau hari-hari nampak muka dia. Buat hilang selera makan aku aje," balas Zarif selamba. Dia sebenarnya tidak pun bermaksud begitu. Cuma setiap kali Lara berada hampir dengannya, dadanya berdegup kencang. Semakin laju jika mereka bertentangan mata. Tapi itu jarang sekali berlaku. Boleh dikira berapa kali sahaja Lara memandangnya.

"Cantiklah dia. Kau aje yang tak nampak. Dahlah, cepat habiskan makanan tu. Aku nak blah ni. Kejap lagi aku nak keluar. Ada appointment dengan pihak bank." Badrul menghirup air limau ais sambil menunggu Zarif menghabiskan makanannya.

Cinta Hati SayangWhere stories live. Discover now