KEJAM - Anuar Shah

20.8K 284 63
                                    

"Woi!" aku menempik apabila pemuda berbaju hitam dan berjeans lusuh itu melanggar bahu aku.

Buku lima tangan aku masih pedih dan penuh dengan darah. Hasil aku menumbuk budak yang melanggar kereta aku dengan basikal fixinya berwarna hijau floresen.

Aku baru saja keluar dari kedai kopi hipster, K+opi di Jalan Telawi 2 di Bangsar menuju ke kereta aku apabila dari entah mana budak yang memakai seluar pendek Bermuda dan berbaju t-shirt putih, dengan tulisan Who Cares?! yang ditulis dengan font Comic Sans hitam, melanggar kereta Mini aku yang hijau pekat klasik dengan atap bercorak papan dam yang aku double-park di hadapan kedai hipster itu.

Budak punk itu (aku anggap dia punk sebab dia kurus, rambutnya di-gel berbentuk mohawk dan kasutnya Doc Mart hitam) tidak menoleh ke arah aku setelah bangun daripada jatuhnya. Acuh tak acuh dia bangun, menepuk-nepuk punggungnya dan memusing badannya ke kiri dan kanan untuk memastikan dirinya tidak luka. Kemudian, dia mengangkat basikalnya dan memeriksa basikalnya pula.

Dalam 20 saat ini berlaku, sekali pun dia tak memandang kereta Mini aku yang aku boleh lihat dalam jarak 10 meter daripada kedudukan aku terdapat sedikit calar hasil dilanggar.

Dalam tempoh masa 32 saat untuk aku melangkah keluar dari kedai K+opi sehingga aku sampai ke sisi budak yang masih sibuk dengan basikal fixinya, darah aku secara metafora naik daripada paras normal ke paras yang membuak-buak.

Marah.

Ramai kawan aku tak suka kalau aku merasa tidak selesa. Inikan pula jika aku marah.

Kalau marah, kawan-kawan aku tahu yang mereka sudah terlambat untuk menyelamatkan sesiapa yang menjadi mangsa kemarahan aku.

***

Aku pernah menumbuk seorang brader sado yang terlanggar aku di kafe kegemaran aku di kampung-bandar aku di Shah Alam kerana dia menumpahkan kopi Americano yang aku telah kepingin begitu lama untuk hirup selepas aku habis bermain futsal.

Ketika itu, aku dalam keadaan ghairah mengusap-usap mug besar di Starbucks di Plaza Masalam. Tanpa salam, tanpa mukadimah, dalam aku sedang mengimbang mug venti putih berlambang logo syarikat kopi Seattle itu, seorang brader sado dalam kelam kabutnya untuk mengambil Frappuccino Macha Lattenya setelah namanya 'Daik' dipanggil lantang oleh barista di sebalik kaunter, melanggar aku dan menumpahkan kopi aku. Mug itu berjaya aku selamatkan daripada terhempas ke lantai tetapi kopi yang panas di dalamnya tumpah ke atas badan aku, membasahi jersi futsal replika team World Cup 2014 Germany dan seluar khaki coklat cair kegemaran aku.

Kopi yang seterusnya melecurkan bahagian kaki dan lengan aku yang terdedah tidak sempat menghantar signal ke otak aku yang aku sepatutnya merasa sakit, sebelum tangan aku yang telah diambil alih oleh amarah aku melepaskan mug putih yang kandungan kopi di dalamnya sudah tidak banyak lagi. Tangan aku yang tadi memegang mug putih itu dalam 5 saat bertukar menjadi penumbuk padu yang aku lepaskan ke muka brader sado yang mungkin bernama Daik itu (atau nama itu mungkin aku silap dengar apabila ia dijerit barista Starbucks tadi).

Dia terlalu besar untuk aku jatuhkan. Tumbukan pertama aku itu menghenyak mukanya dan membuat dia terhuyung-hayang. Dia masih berdiri. Dia nampak terkejut tetapi dapat menepis tumbukan aku yang kedua.

Mug Starbucks aku yang jatuh tergolek ke lantai tadi pecah kepada tiga bahagian. Salah satu serpihan itu masih mempunyai pemegang mug itu dan satu bahagian yang runcing. Ia seperti knuckle buster yang kasar buatannya. Sesuai untuk aku jadikan senjata.

Sepantas kilat, aku yang menyedari ke-sado-an brader itu bukanlah hanya satu mirage murahan yang dibinanya tetapi satu realiti, tunduk mengambil serpihan itu. Dalam 3 saat aku sudah memegang serpihan mug itu pada pemegangnya itu dan aku hayun untuk melakukan kerosakan maksima kepada muka brader sado itu.

CERPEN HARI JUMAATDonde viven las historias. Descúbrelo ahora