SYARIKAT - Ariff Adly

10.4K 439 96
                                    


Selamat sejahtera.

Jika tuan-tuan sedang membaca tulisan ini, adalah lebih baik jika kami berikan sedikit pengetahuan apa yang sedang tuan-tuan baca. Ia merupakan usaha kami untuk memperkenalkan syarikat kami — yang lebih senang dikenali sebagai Syarikat — kepada dunia.

Namun sebelum kami mulakan, izinkan kami untuk berkongsi sebuah kisah. Mungkin ia akan dapat membantu tuan-tuan untuk lebih memahami peranan kami. Ia adalah satu daripada beribu kisah yang kami simpan. Dan ia adalah salah satu cerita yang sentiasa kami ceritakan buat mereka yang mendambakan kehadiran kami.

Ia berkisarkan seorang manusia.

Ya, manusia. Seperti tuan-tuan.

***

Seorang budak lelaki.

Berusia awal 11 tahun, hidup seperti anak remaja biasa. Rumah biasa. Sekolah biasa. Pekerjaan ibu dan ayah yang biasa. Tidak banyak yang boleh dibicarakan tentang latarbelakang keluarganya kerana kami terikat dengan polisi syarikat: dilarang berkongsi maklumat peribadi klien. Jadi adalah lebih senang jika kisah ini kita lanjutkan.

Seperti biasa, setiap petang, pulang dari sekolah agama, budak lelaki itu — yang lebih senang dipanggil Ijoy — singgah di Kedai Alat Tulis Fu Chi.

"Tiga, uncle." kata Ijoy, menunjukkan ke arah kotak kecil sebelah mesin wang, sambil meletakkan sekeping not 2 ringgit di atas meja kaunter.

Penjaga kaunter, Jensen Loh, mengambil kotak itu dengan sebelah tangan, menghalakannya ke arah budak lelaki Melayu bersongkok dan berbaju melayu putih yang kedua lengannya disingsing.

"Yang ni, ini, dengan... ha yang ni," kata Ijoy, memilih tiga keping sampul.

"Thank you aa," kata Jensen, sambil menghulurkan baki 20 sen.

Tanpa membalas, Ijoy menyambut baki syiling dan dimasukkan ke dalam poket bajunya dan terus berjalan dengan agak pantas ke arah basikal merah yang disandar di tepi tangga hadapan kedai. Sebelum dia mula menunggang, tangannya mengeluarkan semula tiga keping sampul yang dibeli tadi. Memang naluri seorang anak kecil yang tidak punya tahap kesabaran yang tinggi. Sampul biru itu dikoyak dan dicampak masuk ke dalam longkang.

Yes!

Ah sial lah.

"Takpe, esok try lagi!"

Ijoy meneruskan perjalanannya ke rumah.

**

"Smekom!"

Tanpa menunggu salamnya terbalas, Ijoy terus menarik pintu pagar dan menolak masuk basikal — disandarkan basikal itu pada dinding rumah — kemudian kembali ke pintu pagar untuk menutupnya, kemudian terus membuka kasut menggunakan sebelah kaki — anak seusianya memang sudah ada kemahiran begini — dan terus masuk ke dalam rumah.

"Dah balik dah? Ha gi mandi cepat, dah nak Maghrib!" kata ibunya yang baru keluar dari bilik mandi.

"Jap," jawab Ijoy, juga jawapan kegemarannya setiap kali ibunya mengarahkan sesuatu.

Dia berlari masuk ke dalam biliknya, dan mengambil sebuah buku.

Pokemon Sticker Book

Sekeping pelekat ditampal pada satu ruang bertulis "Snorlex" di bawahnya. Sejujurnya, kami tidak begitu faham dan tidak pernah juga bertemu dengan makhluk-makhluk yang ada di dalam buku ini. Tidak pasti jika ia benar-benar wujud. Jika ada, pastinya kami tertarik untuk melihat, walaupun sebahagiannya terlihat ngeri.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now