EMPAT JUMAAT - Regina Ibrahim

8.1K 202 48
                                    

Apalah punya hidup? Tidak serupa dengan orang. Orang lain sedap saja melayari hidup.

Instagram, Facebook mereka hebat! Linda Zainal yang terbang ke sana sini. Siap ada kapsyen lagi: Peduli Apa Kata Orang, Kau Adoo? Siap gambar berbikini belang tepi kolam di hotel mewah.

Aku? Takat gambar pemandangan, kucing dan goreng pisang dengan kapsyen Bahasa Inggeris:

have a good day...preparing an afternoon snack

Dapatlah dua tiga like kesian, nasib baik mereka tidak berkomen NO LIFE!

"Kamu bosan ya? Apa mau yang baru dalam hidup?" tanya si puteri jelita Nyai Kidul dengan pelat Jawa pekat.

JUMAAT 1

"Cepat Rozie...cepat!" jerit penata gaya.

Rozie berlari-lari anak mengikut sahaja. Zip baju ditarik, sempat mencuri pandang cermin dirinya yang berbogel. Dadanya leper, lehernya jinjang seperti angsa. Cepat mereka memakaikan busana terakhir yang beropol-ropol sebagai penutup minggu fesyen Kuala Lumpur. Tepukan menjadi gemuruh apabila dia sebagai 'muse' bergandingan dengan Micheal Wong, pereka terkenal Malaysia.

Hari yang memenatkan; dicapainya beg tot besar setelah dikerumuni wartawan. Mereka meminta dia memberi gaya sahaja, dia ikut seperti patung pakai bateri. Sejak 3 petang dia sudah di sini. Di antara semua, dia dibayar paling mahal. Rozie pragawati nombor satu Malaysia. Agensi Catwalk turut bangga; mereka mengawal ketat kerjaya wanita bertuah ini.

Matanya liar melihat donat yang tersusun secara buffet, yang berkrim, disaluti coklat, berperisa strawberry... Hujung pula ada barisan nasi lemak. Ya Tuhan! Rindunya pada itu semua — dicapainya tiga ketul donut, diletakkan dalam piring putih berkilat. Belum sempat dia membaham, Albert terkedek-kedek sampai dan menarik kembali donat itu.

"Here is your coffee no sugar...and some selected tropical fruits, good for your body you know, remember we have Singapore tomorrow? Important ya..." tegas-tegas manja arahannya.

Minggu lepas Rozie kena amaran. Baju tidak boleh masuk selepas fitting. Ini tidak boleh berlaku, dia pragawati utama Malaysia. Bukan senang untuk ke tahap ini; dia diminta bersabar selama dua tahun, buat duit, badan kembang fikirkan kemudian. Dua tahun tidak menjamah nasi.

Diam merenung kopi hitam, sekaligus merenung hidupnya. Duit, glamor semua ada...yang tiada adalah kebebasan. Pada awalnya mungkin jadi teruja dengan lokasi menarik, pakaian mahal, hadiah dari pereka, lama-lama permintaan agen dan trend badan kurus kering menjadi siksaan. Ibubapanya gempal dan usianya hampir mencapai 25 tahun. Badannya menggeletar. ada rasa marah dan lapar, matanya terjegil melihat Albert di hadapan.

"Cool down Rozie...I will try my best to get you some diet donuts soon okay...not this one!"

Dengan rasa marah sepantas kilat dicapainya donut coklat, disumbat dalam mulut penuh lahap hingga kelihatan comot — dia tidak peduli lagi pada yang memandang, selama ini pun dia adalah objek untuk dipandang. Albert terkaku memerhati Rozie cuba untuk mencapai satu lagi donut berkilat strawberry — ketika inilah dia dihadang Albert; terjadilah perang mulut antara mereka. Rozie membaling cawan kopi dan piring hingga bersepai ke lantai, yang terdengar adalah kata-kata:

"Big contract? International designers? Go to hell will all these people!!!"

Pihak hotel tidak tahu mana satu harus ditangani: si Albert atau Rozie si kurus kering. Penyelia dan pelayan menahan kedua-duanya dari terus memecahkan cawan gelas dan piring.

Rozie apabila dilepaskan, cepat-cepat pergi, bukan beredar tapi meluru ke meja buffet nasi lemak. Di situ juga dia mengaut nasi lemak, seketul ayam goreng, sambal tumis sotong! Sambil berdiri dia makan dengan lahap tanpa menghiraukan apa-apa sambil menangis dan mengunyah sekali gus. Wajahnya seperti orang dalam filem hantu yang bersememeh dengan sambal tumis yang berwarna merah seperti darah. Penyelia café terpaksa memanggil pihak sekuriti supaya suasana dileraikan.

CERPEN HARI JUMAATМесто, где живут истории. Откройте их для себя