BOLA MATA- Wan Nor Azriq

4.1K 126 22
                                    


Aku selalu makan mata orang pada hujung minggu ketika aku duduk seorang di rumah menonton Liga Perdana Inggeris. Ayah telefon kemarin dan tanya bila aku akan balik. Nak dibawanya aku makan gulai ikan temenung di Kuala Kedah. Tetapi ayah bukannya tidak tahu makanan laut bukan kegemaranku. Nafsuku hanya terliur apabila membayangkan bibirku menghisap bola mata orang yang baru dicungkil dan direbus di dalam periuk dengan garam dan gula secukup rasa.

Kebelakangan ini aku sudah jarang membeli bola mata di pasar malam. Maklumlah harga barang naik. Semakin susah nak mendapatkan bekalan mayat yang segar. Jumlah kematian di kota ini memang sentiasa meningkat. Sama ada kematian semula jadi, atau kes bunuh diri, atau pembunuhan. Yang menjadi masalah adalah pembekal. Mereka inginkan bayaran lebih daripada peniaga. Dan kita pun faham dilema pembekal: mencari dan mengutip mayat bukan kerja mudah. Golongan ini terpaksa menanggung dosa besar bagi memenuhi tuntutan pembeli yang terikut-ikut dengan hidangan menu terkini di restoran dan kafe. Dan ada waktunya pembekal terpaksa mendapatkan khidmat agensi kongsi gelap selain mengeluarkan wang banyak bagi menutup mulut orang-orang kita yang masih skeptik dan enggan mencuba hidangan organ manusia.

    Kalau aku malas sangat, sebenarnya, aku tidak perlu masak sendiri. Abang Jalil depan rumah selalu membuat pesanan melalui Food Panda. Dia siang malam bawa teksi, dan isterinya pula pengurus bank. Mana ada masa nak pergi pasar.

    Abang Jalil dan keluarganya menggemari paha goreng dan paru-paru masak kicap. Kadang-kadang sahaja bila dapat bonus, aku perasan, Abang Jalil akan beli otak bakar dan sup lidah.

    Macam mana aku tahu semua ini? Wah, dari tadi aku tunggu orang tanya aku soalan itu! Sekarang pasang telinga dan dengar betul-betul. Eh, tingkap dan pintu belum dikunci. Diam, diam! Nanti ada yang mengintip perbualan kita. Aku ada tabiat buruk yang tidak ramai orang tahu. Mungkin sesetengah orang sahaja tahu. Atau, mungkin, semua orang sudah tahu, termasuk keluarga Abang Jalil. Aku suka skodeng apa orang makan di dalam rumah mereka.

    Eh, jangan fikir macam-macam pula: aku bukan seorang pencuri. Aku ada sebab penting kenapa aku perlu skodeng rumah-rumah di apartmen ini. Aku tidak pandang pada makanan mewah. Biarlah kalau mereka nak makan jantung masak petai atau daging panggang sekalipun. Aku tidak peduli. Aku cuma nak tahu siapa di kalangan jiran aku yang makan bola mata.

    Antara semua organ, bola mata dan kemaluan yang paling murah dijual. Tetapi awal tahun ini kerajaan telah mengharamkan penjualan kemaluan lelaki dan perempuan. Matlamat kerajaan adalah untuk mengekang nafsu seksual rakyat Malaysia. Kita dikatakan semakin liar dan tidak bertamadun. Alasan! Fiksyen belaka! Semua orang tahu cerita sebenar dan apa kerajaan ingin sembunyikan. Tahun lepas ada isteri kepada seorang menteri terhormat kita ditangkap membeli vagina segar di Pantai Dalam. Bayangkanlah: selama sebulan kampung media sosial kita menjadi hingar dengan perbuatan terkutuk isteri menteri tersebut.

    Selalu orang tidak membeli zakar atau vagina kerana orang tidak tahan dengan baunya. Sementara keengganan, atau boleh juga kata kegelisahan, untuk membeli bola mata mempunyai sebab tersendiri: kita takut melihat ke dalam mata orang lain. Seolah-olah mata orang mati itu menjadi pintu ke dalam gua perasaan kita yang paling gelap.

    Kecuali aku. Bola mata orang tidak pernah menakutkan aku. Seumur hidup aku tidak pernah makan organ lain. Adik-beradik dan kawan-kawan kata aku cerewet memilih makanan. Mungkin. Nak tahu apa maksud mereka? Boleh, boleh. Sila masuk dapur dan buka peti sejuk. Abaikan mayat lelaki Bangladesh yang ada di situ. Aku jumpa mayatnya dua hari lepas di dalam tong sampah. Mujur burung atau anjing belum meratah bola matanya. Baik, tumpukan perhatian pada balang-balang kaca berisi air di rak paling atas. Semua itu adalah stok bola mata untuk aku makan selama tiga bulan.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now