KATRIJ PELEPAS GERAM - Hani Suraya

3.7K 138 18
                                    

         

Alia menghempaskan pintu rumahnya dengan sekuat hatinya. Geramnya dilepaskan sambil mencampak beg silangnya ke sofa berserta fail-fail kerjanya begitu saja. Dibiarkan bersepah. Kemudian, dia melabuhkan punggungnya ke atas sofa yang kosong dan melepaskan keluhan berat sambil memejamkan matanya rapat.

Apabila dibukakan semula matanya, kelihatan sebingkai gambar di atas meja kecil di depannya. Di dalam gambar itu terdapat sepasang kekasih yang tersenyum memandang kamera. Mereka adalah Alia bersama tunangannya yang baru saja diturunkan takhta menjadi bekas tunangan lewat tengahari tadi.

Melihatkan gambar itu, Alia bertambah geram dan menendang bingkai gambar itu sehingga ia jatuh.

Tak sangka, disebabkan cemburu buta, tunang Alia sanggup memutuskan pertunangan mereka kerana tidak tahan dengan cara hidup Alia yang bebas, macam perempuan murah. Perempuan murah? Otak dialah yang murah. Orang pergi kerja, jumpa klien sana-sini, dia boleh senang-senang tuduh orang macam itu? Apa dia tak faham kerja sebagai pereka grafik ini memang memerlukan kita untuk duduk berbincang dengan klien?

Alia melepaskan keluhan lagi. Marahnya seperti tidak mahu surut, jadi dia menekan butang ON pada remote TV dan dia berjalan menghampiri almari kecil yang diletakkan DVD filem dan CD lagu. Perlahan-lahan, dikeluarkan sebuah permainan video yang menggunakan katrij.

Alia bukanlah seorang yang gila dengan permainan konsol. Yang ada ini pun adalah tinggalan abangnya yang sayang mahu menjual permainan tersebut atas alasan ia masih boleh digunakan. Dengan konsol yang menggunakan katrij itu, Alia menggunakan medium itu sebagai tempat melepas geram. Eloklah dari dia menghancurkan segala macam barang yang ada di dalam rumah ini.

Beberapa katrij permainan video dikeluarkan dari laci dan dibelek-belek. Kemudian, dia mengambil katrij berwarna biru cair. Label kertas pada katrij itu pun sudah terkopek tapi dia masih tahu permainan apakah ia. Dia pun memasukkan katrij tersebut ke dalam slot dan butang ON ditekan.

Malam itu, dia melepaskan geramnya dengan bermain game Super Mario sehingga hampir semua peringkat dia selesaikan, otaknya habis lesu. Selepas selesai membersihkan diri, Alia terus menghumban dirinya ke atas katil, melabuhkan tirai malamnya.

* * *

Hari minggu tiba.

Alia merasa sangat tenang apabila tiba hari minggu. Walaupun lambakan kerjanya masih tidak siap, sekurang-kurangnya dia tidak perlu berkejar-kejar untuk ke pejabat. Cukup dengan memasang laptop dan membuka aplikasi Photoshop dan Illustrator, dia boleh menyiapkan tugasannya sambil melayan cerita di TV atau mendengar lagu.

Malangnya, sedang dia tenggelam dalam kerja, tiba-tiba pintu rumah diketuk. Tersentak Alia dibuatnya.

"Siapa pulak tu?"

Dalam mengomel seorang diri, Alia berjalan ke arah pintu. Dikuakkan sedikit daun pintu.

"Hai, Alia!" jerit kawannya, Seri, dari luar.

"Hmm... kau." Pintu dikuak luas. "Masuklah," pelawanya.

Sambil berjalan masuk ke dalam rumah, Seri berkata, "Aku call kau tadi. Apesal tak jawab? Aku ingat kau busy dating dengan Zam." Bungkusan plastik yang dibawa oleh Seri itu diletakkan ke atas meja di dapur.

"Aku buat kerja tadi. Henfon aku silent-kan," jawab Alia sambil menekan-nekan butang papan kekunci. Kemudian, dia beralih ke dapur untuk membantu Seri menyusun juadah yang dibeli.

"Zam apa cerita? Kata haritu nak ikat kejap je. Ni dah enam bulan, bila lagi?" tanya Seri dengan nada yang tidak sabar.

"Hmm... dah almarhum dah la hubungan kitorang tu," jawab Alia dengan nada kecewa.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now