BELLA - Syahmi Hafizuddin

4.2K 177 27
                                    

Aku ingat sewaktu kecil dahulu semasa aku berumur lebih kurang 6 tahun aku suka bermain-main di luar rumah pada waktu petang. Biasanya selepas Asar sehinggalah ibu panggil untuk masuk ke dalam rumah apabila waktu senja tiba.

Aku anak tunggal. Tinggal bersama ibu bapa yang sederhana di sebuah rumah yang biasa-biasa saja. Sebelum masuk ke kawasan rumah kami, ada sebuah jambatan yang perlu diseberangi. Jambatan itulah yang menghubungkan jalan dengan halaman rumah kami. Di bawah jambatan itu ada sebatang parit. Berapa panjang parit itu? Jangan tanya aku. Aku sendiri pun tak tahu dari mana ia bermula dan di mana ia berakhir.

Kami ada seorang jiran yang baru berpindah di sebelah rumah kami bersama keluarganya. Uncle Malik namanya. Isterinya pula aku panggil Aunty Ros. Mereka adalah keluarga yang kaya. Kali pertama aku dan ibu nampak kereta BMW milik mereka menyusuri halaman rumah, kami dah boleh agak. Itu belum termasuk gaya dan penampilan mereka berpakaian sebaik saja keluar dari kereta tersebut.

Aku tak berapa peduli tentang mereka kerana mereka pun kelihatan seperti tak mempedulikan orang lain. Mereka jarang bertegur dengan kami. Kalau nampak kelibat mereka pun pasti hanya pada waktu pagi semasa mereka pergi kerja ataupun pada waktu malam semasa mereka pulang. Tak pernah ada masa untuk kami sekeluarga berkenalan lebih rapat dengan mereka.

Namun apa yang aku suka tentang keluarga Uncle Malik ialah anak tunggalnya, Bella yang sebaya dengan aku. Sejak kali pertama mereka tiba di situ, aku dapat rasakan yang Bella akan menjadi teman aku—

Sehidup dan semati.

Pada suatu petang, seperti petang-petang yang lain, selepas solat Asar aku keluar bermain di halaman rumah. Petang itu aku mencangkung di tepi parit sambil melontar batu-batu kecil yang aku dapat kutip di sekeliling kaki aku. Aku suka melihat kesan yang timbul di permukaan air dan bunyi yang terhasil apabila batu-batu dicampak ke dalam parit itu. Aku suka memerhati kelainan yang terhasil oleh setiap batu. Lain saiz dan corak batu itu, maka lainlah hasil yang dapat aku perhatikan.

"Awak buat apa tu?"

Satu suara menyapa aku dari belakang. Aku sudah tahu siapa yang datang, jadi aku tidak menoleh pun.

"Hai Bella. Saja, main-main," jawabku.

Dia kemudian berganjak ke sebelah kiri aku dan mencangkung seperti aku. Aku menoleh ke arahnya sambil tersengih. Aku perasan yang dia memang gemar memakai gaun berwarna putih sambil membawa patung beruang coklat miliknya seperti yang aku lihat dalam siri televisyen Mr. Bean. Setiap petang penampilannya sama saja.

"Woahh!" Aku tertawa apabila angin kuat tiba-tiba menerpa wajahku sehingga menyebabkan aku terpaksa mengecilkan mata. Rambut dan kain baju aku juga turut terangkat. Angin petang di kawasan itu memang agak kencang.

Tetapi apabila aku menoleh, Bella sekadar termenung kosong. Pandangannya tertumpu ke arah parit dan aku perasan rambut dan kain bajunya tak terangkat langsung. Aku rasa agak pelik. Namun aku tak peduli. Yang penting sekarang aku tak perlu bermain berseorangan. Aku berasa seronok sejak bertemu dengan Bella.

Apabila senja hampir tiba, ibu pun memanggil aku untuk masuk ke dalam rumah. Ibu akan menyuruh aku mandi, makan malam, kemudian pergi sembahyang Maghrib di surau bersama ayah. Sudah banyak kali aku mengajak Bella masuk untuk makan sekali, tetapi mesti ibu akan menggesa aku untuk masuk cepat-cepat sebelum dia menutup pintu rumah dengan pantas. Aku pun tak faham dengan kelakuan ibu itu. Dia selalu mengajar aku supaya menghormati dan mengutamakan tetamu. Tetapi bila aku bawa tetamu, dia pula yang seakan-akan menghalau tetamu itu pergi. Peninglah.

Aku berasa simpati atas nasib Bella. Ibu bapanya hanya ada di rumah pada waktu pagi dan malam iaitu sebelum dan selepas pergi kerja. Aku pun tak tahu dia nak makan apa ketika ibu bapanya tiada di rumah. Barangkali dia pandai memasak makanannya sendiri. Kata orang, perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki yang sebaya dengannya.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now