RIVER KWAI - Shaz Johar

5.9K 155 19
                                    


Lagu We Belong Together dari Mariah Carey bermain kuat di cuping telinga. Dari tadi aku biarkan lagu itu berulang-ulang sehingga tidak sedar kepalaku tidak henti-henti tergeleng-geleng mengikut melodinya yang menarik. Bukannya tiada lagu lain di dalam telefon waktu itu tetapi aku sengaja mahu mendengarnya tanpa henti. Aku menarik penutup tingkap ke atas, mahu meninjau apa yang dapat dilihat di luar tetapi mataku sakit, silau disambar cahaya matahari yang terik. Aku menutupnya semula dan pantas menoleh ke arah perempuan di sebelah yang sedang leka termenung. Dari tadi dia begitu. Sejak dari Kuala Lumpur.

    Juruterbang membuat pengumuman memaklumkan yang kapal terbang yang aku dan ratusan penumpang lain naiki akan mendarat tidak berapa lama lagi. Pramugari dan pramugara telah mula mundar-mandir di laluan kecil di antara lajur tempat duduk untuk mengutip sampah dan memastikan semua yang ada memasang tali pinggang keledar masing-masing. Aku membuka penutup tingkap semula untuk memerhati kota Bangkok dari balik-balik awan. Waktu itu aku dapat melihat bongkah-bongkah kecil bangunan dan kenderaan yang bergerak. Tidak pasti pula bila kali terakhir aku berada di bandar besar itu. Mungkin ketika kali pertama aku bertemu dengan Vin sebelum dia menjadi abang iparku. Atau mungkin juga ketika bertemu dengan Mak Lia sewaktu aku bertugas untuk menjaganya di sana.

"Takut ke?" soalku pada perempuan itu.

Dia hanya menggeleng. Mulutnya masih lagi tertutup. Mungkin dia gayat berada di tempat tinggi. Entahlah.

"Excited?" soalku lagi.

Kepalanya mengangguk sedikit. Dia mengurut dada.

"Kat mana kita nak pergi nanti?"

"River Kwai," jawabnya pendek. Matanya masih lagi redup. Wajahnya muram. Mungkin dia sedang bersedih, teringat zaman-zaman silamnya. Ada sebab mengapa dia mahu aku menemaninya ke situ.

Seorang pramugari datang dan membantu menaikkan kerusi Mak Lia. Dia tidak langsung memandang wajah kami sebelum pergi.

* * *

Aku kenal Mak Lia sewaktu menjadi au pair untuknya di Bangkok. Katanya suaminya menyewa banglo di situ untuknya atas permintaannya sendiri. Dia tidak mahu suaminya bertungkus-lumus menjaganya seorang diri di rumah. Apalah yang lelaki tua itu tahu. Makan pakainya pun Mak Lia yang uruskan. Semenjak kahwin, mereka tidak langsung dikurniakan anak. Tiada rezeki. Tuhan itu maha adil, kata Mak Lia lagi. Suaminya diberikan segala-gala harta di dunia tetapi tiada sesenpun yang boleh digunanya untuk membeli zuriat sendiri. Mereka pernah bercadang untuk mengambil anak angkat yang masih kecil tetapi tiada seorang pun yang Mak Lia berkenan. Pernah juga mengambil budak yang berumur sedikit tetapi beberapa bulan kemudian budak itu lari. Mereka tidak pasti mengapa. Mungkin dia berasa kurang selesa duduk di rumah orang.

Satu hari Mak Lia jatuh sakit. Terduduk di dalam bilik air sewaktu sedang mengambil wudhuk. Kakinya terpijak sabun di dalam gelap. Dia tidak tahu kenapa dan bagaimana sabun itu boleh berada di atas lantai. Mungkin terjatuh. Atau mungkin suaminya yang terlupa untuk menyimpannya semula selepas mandi. Sudahnya tulang pinggangnya retak. Lama dia terlantar sakit sebelum akhirnya doktor mengesahkan dia lumpuh. Waktu itu dunianya betul-betul telah dirasakan gelap-gelita. Gigih suaminya mengusung tubuhnya yang kecil itu ke setiap hospital di seluruh negara tetapi tiada satupun yang berjaya merawatnya. Segala bomoh dan dukun juga dipanggil tetapi masih juga gagal. Setelah ikhtiar mereka suami isteri makin susut, dia akhirnya mencadangkan supaya dihantar ke Bangkok. Katanya ada sebuah hospital yang boleh memberikan rawatan terbaik di negara itu. Mula-mula suaminya enggan tetapi setelah berhari-hari dia membentak, akhirnya orang tua itu menurut.

Aku mendapat pelawaan untuk bekerja di banglo itu setelah kursus kejururawatan yang aku ambil selesai. Kerja itu menawarkan gaji yang lumayan dan memandangkan waktu itu hatiku sudah tercalar dengan sikap Vin, aku setuju tanpa berfikir panjang. Seminggu selepas ditemuduga, aku tinggalkan semuanya di Kuala Lumpur dan terbang membawa hati yang lara ke sana.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now