DEBU - Faizal Sulaiman

6.6K 186 37
                                    

         

Pagi.

    "Berita apa harini?" celah seorang lelaki di balik dapur sambil membawa dua cawan mug berisi kopi panas kegemaraannya. Lelaki yang seorang lagi kelihatan sedang khusyuk membelek tabletnya. Mug yang dibawa disambutnya mesra lalu menghentikan seketika bacaan. Dia tersenyum. Gigi putihnya tersusun lawa. Kacak.

    "Bauksit. Pemaju tak bertanggungjawab. Dah macam planet Marikh aku tengok!" ujar Badrul tegar. Haikal yang berdiri di belakang sedang meniup perlahan mug bercap I LOVE YOU. Kopi di dalam mug itu nampaknya masih panas berasap. Wajah Badrul dipandangnya serius.

    "Katne?"

    "Kampung aku, Kuantan. Kawasan Datuk Jusoh Hasnan."

    "Datuk yang kau cakap tengah sibuk kempen nak lobi balik kawasan dia tu ke?"

    Badrul angguk acuh tak acuh. Wajah Haikal berkerut lagi.

    "Bukan sebelum ni memang ada penduduk kat situ yang buat bantahan ke? I mean, authorities situ takkan tak buat apa-apa? Cuba kau tengok lori-lori hantu yang masuk kawasan tu. Ni confirm bawak benda alah tu bertan-tan."

    Haikal mengomel-ngomel sendirian tatkala matanya memanah tablet segi empat Samsung yang kini memaparkan gambar lori pembawa bauksit menelusuri jalanraya yang seakan bertukar kepada tar merah, bukan lagi tar hitam seperti sebelum ini. Debu merah dan derita penunggang motosikal bertopeng yang sama-sama terperangkap akibat perlombongan bauksit menjadi jamuan mata. Hatinya mula membusut marah.

    Kuasa duit mengabui mata? Mungkin!

    Haikal tersenyum sahaja ketika memandang Badrul yang mendiamkan diri. Ah Bad! Sudah tiga tahun aku 'hidup' dengan dia. Bad adalah yang terbaik.

    Gila? Ya aku gila! Gila kerana cinta telah membutakan segalanya!

    Senyuman Haikal sebenarnya tidak mampu menangkis ingatan Badrul pada perbualan telefon dengan kakaknya Azeera, beberapa minggu lepas. Perbualan yang dimulakan dengan jerit pekik kakaknya yang membingitkan.

    "Kau masih ada hubungan dengan budak songsang tu, kan?"

    Marah si kakak entah kali yang keberapa. Nadanya saja sudah cukup menyakitkan hati. Badrul menghembus nafas seperti malas hendak melayan. Tapi dek kerana kakak sendiri, dia turutkan.

    "Jangan panggil dia camtu, kak. Dia kawan rapat saya. Akak tahu kan ayah benci saya. Dengan dia tempat saya mengadu!"

    Azeera mendengus sinis. Menjeluak seperti hendak termuntah.

    "Hah! Elok la tu. Mula-mula mengadu, lepas tu apa? Kau taubat lah dik! Pintu taubat masih terbuka!" nasihat gadis itu dengan nada marah.

Kakak mana yang tak risau kalau setiap kali balik ke kampung, Badrul lebih senang berkepit dengan kawan lelakinya macam belangkas. Selidik punya selidik, memang adiknya ada 'hubungan istimewa' dengan kawan lelakinya itu. Habis caci makinya pada si adik, dinasihatkan pula supaya mengingatkan Tuhan. Ingat bahawa hidup manusia tidak kekal lama. Mati juga yang memisahkan.

    Tapi, entahlah.

    Makin lama dinasihat, makin menggila sikap 'jaga lebih-lebih' Badrul pada budak lelaki bernama Haikal itu. Azeera memang marah. Membuak-buak macam mahu digoncangkan saja tubuh si adik lalu mengejutakannya dari lena yang melalaikan. Tapi, itu adalah kemarahan pada tiga tahun yang lepas. Dia tahu sikap Badrul susah nak berubah. Hatinya keras. Azeera tak putus harap. Dia mula berbaik dengan Haikal dan berusaha mengenali hati budinya walaupun separuh tidak rela.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now