Kemalangan

2.6K 319 13
                                    

Diam kami berdua kali itu agak lama. Aku duduk meraup wajah. Dadaku yang baru terasa lapang sebentar tadi kini kembali terasa sempit. Sampai aku merasa payah benar untuk bernafas.

Aku lupa. Walaupun abang sudah sahkan aku tidak termutasi, kerajaan pusat akan tetap datang menangkap aku, cepat atau lambat.

Dakwaan mereka itu silap. Tapi, disebabkan huru-hara yang dicetuskan remaja 'termutasi' di Rionzess, kerajaan pusat akan tegar dengan keputusan mereka untuk menangkap semua remaja Rionzess, termasuk aku!
  
Aku tak mahu ditangkap. Mati aku kalau itu sampai terjadi. Berpisah dari abang saja aku tak mahu, apatah lagi berada dalam tahanan. Lebih teruk, apa yang akan mereka lakukan kepadaku kalau mereka tahu aku memiliki kuasa luar biasa yang disebabkan radiasi meteor itu?

Aku mungkin akan dijadikan tikus makmal!

Bukannya aku tak tahu, betapa gilanya manusia-manusia di Rionzess itu. Mereka sangat obses dengan perkara-perkara yang tak terjangkau logik fikiran. Lebih-lebih lagi seperti perkara yang berlaku kepada aku! Obses mereka terhadap kemajuan sains dan teknologi kadang-kadang membunuh kemanusiaan!

Aku menggigil saat teringat tragedi yang menimpa sekumpulan kanak-kanak marhaen seperti aku. Mereka dirampas dari ibu bapa mereka, dibawa ke Rionzess dan menghilang begitu sahaja. Tidak lama kemudian, kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan bukan manusia lagi. Mereka... mati.

Kerajaan pusat enggan bertanggungjawab kerana perkara itu didalangi sekumpulan saintis gila.
 
"Arash?"
  
Aku bagai terenjat elektrik kerana sentuhan abang. Aku mendongak. Abang mempamerkan senyum nipis sambil tangannya menyusur perlahan antara rambutku.

Magik. Ketenangan abang tersalur kepadaku. Ritma pernafasanku kembali teratur.

"Jangan panik. Abang akan sentiasa melindungi kamu apapun yang terjadi."

Aku senyum kelat, "Walaupun Arash bukan manusia biasa lagi?"

Riak wajah abang berubah, jelas dia berasa tidak senang.

Dia berkata, "Arash akan tetap jadi adik abang, walau apapun yang akan terjadi. Sekarang, bekerjasama dengan abang. Kita kena lakukan sesuatu dengan gelombang minda kamu itu."

Gelombang minda? Aku tersenyum kelat. Ah, abang pasti masih optimis dengan teorinya. Aku mengangguk. Lebih baik mempunyai sesuatu untuk bersandarkan harapan daripada langsung tiada. Betul?

Abang melekatkan sesuatu pada dahiku yang bersambung sehingga ke tengkuk. Kemudian, dia sibuk ke hulu hilir membuat persediaan yang entah apa. Aku hanya membiarkan kerana fikiranku sudah semakin jauh melayang. Ketika abang berjalan di hadapan pun aku tidak sedar.

"Arash, tangkap!" abang tiba-tiba menjerit.

Aku mengangkat wajah. Saat itu juga, sebiji bola meluru laju ke arahku. Gila, aku tak sempat nak elak!

"Ber... berhenti!!!'' aku menjerit sambil spontan menutup mata.

Tetapi, tiada apa yang mengenai aku. Aku buka mata dan melihat satu kejutan.

Bola itu berkisar sejengkal dari wajahku, seperti ditahan dinding kuasa. Tiba-tiba, ia terpantul semula dan meluru seperti peluru.

Dush!! Bola itu mengenai sesuatu dengan impak yang tinggi.

"Aarrgh!" Abang tumbang.

"ABANG!!!"

[442 words]

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now