Meja Eureka

1.9K 246 15
                                    

Aku dan abang sama-sama melangkah ke zon kerja ayah yang berada dalam ruang rahsia itu. Ruang rahsia kami ini sangat luas, cuma tingginya cukup untuk ketinggian tiga orang dewasa sahaja.

Ruang kerja ayah dan ruang kerja ibu dipisahkan oleh satu dinding kaca tebal yang lut sinar. Memasuki pintu dari ruang kerja ibu ke ruang kerja ayah seperti berada di hospital lalu masuk ke dalam kilang kereta.

Ruang kerja ibu tersusun rapi dengan peralatan dan mesin perubatan. Manakala ruang kerja ayah penuh dengan tangan mekanikal, mesin, cetakan biru dan serpihan komponen-komponen yang aku sendiri tak pasti apa. Semak sikit.

Timbul juga pertanyaan dalam fikiranku, bagaimana dua insan yang punya kepakaran dan personaliti yang berbeza ini boleh saling jatuh cinta? Aku pun tak pernah tahu. Hahaha...

Seperti biasa, sebelum memulakan projek reka cipta, kami berdua akan duduk dahulu berbincang di meja khas yang kami gelar Meja Eureka. Meja itu terletak di penjuru ruang itu.

Dulu semasa ayah masih ada, abang akan pangku aku yang masih kecil sambil berbincang dengan ayah tentang projek reka cipta. Walaupun aku tak begitu faham apa yang mereka bincangkan, aku sentiasa teruja melihat semua proses mencipta sesuatu inovasi dari lakaran kabur sampailah siap prototaipnya. Gabungan kegeniusan ayah dan kekreatifan abang tidak pernah gagal hasilkan sesuatu yang hebat.

Aku juga membesar dan belajar dalam persekitaran itu. Perlahan-lahan aku mula minat bidang mereka cipta dan ayah aku jadikan idola.

Sampailah ayah dan ibu tiba-tiba pergi tak kembali lagi. Meja Eureka inilah legasi dan monumen memori aku dan abang pada ayah. Aku melarikan tangan aku pada meja bulat yang berwarna putih itu. Banyak kenangan tersendiri pada setiap kesan yang mencomotkannya.

"Sentimental," ejek abang sambil menekan punat hidup yang ada di bawah Meja Eureka itu. Aku mengacu penumbuk pada abang. Sibuk saja! Suka hati oranglah nak melayan perasaan pun!

Aku melabuh punggung apabila cahaya biru hologram mulai memancar dari tengah meja itu. Abang membaling sebatang H-pen kepadaku. Aku sambut dengan baik. H-pen berfungsi untuk membentuk garisan maya untuk membuat model 3 dimensi.

Selama ini beginilah kami membuat lakaran rekacipta. Selepas ketiadaan ayah, biasanya aku yang ditugaskan merancangkan reka bentuk dan abang pula membuat bahagian yang lebih kompleks dan sulit iaitu litar elektroniknya.

"Objektif kita ialah membuat satu alat yang kamu pakai di kepala supaya efektif memusnahkan fasa gelombang minda kamu yang luar biasa itu secara automatik." terang abang.

Aku diam.

"Arash, kita sedang berbincang ni..."

"Err... kalau boleh kita tak perlu buat alat itu terlalu menonjol atau menarik perhatian. Sebab... sebab nanti 'mereka' akan syak sesuatu. Arash takut mereka rampas pula nanti," Aku cepat-cepat membalas apa yang terlintas di fikiran. Peraturan Meja Eureka, mesti menyuarakan pendapat.

Abang menghembus nafas sambil tersenyum pahit. "Kalau begitu, alat itu kita samarkan menyerupai alat telekomunikasi Rionzess. Bagaimana?" kata abang sambil mengisyaratkan bentuk fon kepala dengan kedua belah tangannya.

Fon kepala itu ialah alat perhubungan wajib milik penduduk Rionzess.

Melihat aku diam lagi, abang menyambung, "Untuk persediaan abang rasa kita pun kena sediakan yang lain. Manalah tahu? Kita tak tahu apa yang akan terjadi."

Abang pantas melakar di awangan. H-Pen meninggalkan garisan hologram yang berwarna biru di awangan. Abang melakar garis dan bentuk secara kasar.

Tidak lama kemudian, satu objek maya selesai dilukisnya. Ia ialah sesuatu yang nipis dan melengkung. Ia akan mencengkam di dahi. Cukup kecil, boleh bersembunyi di sebalik rambutku.

"Bagaimana?" tanya abang. Aku hanya mengangguk pasrah. Fikiran aku terlalu kosong untuk menjana apa-apa idea. Aku tahu pandangan risau abang melihat perlakuanku. Dia pasti kecewa aku tak begitu bersemangat untuk membuat ciptaan kali ini, tidak seperti biasanya.
 
Ah, biarlah. Aku juga tidak ada tenaga yang cukup walaupun untuk berlakon ceria di hadapan abang.

Kami berdua menghabiskan masa mengerjakan dua projek itu. Aku tak sedar berapa hari sudah aku terperap di dalam ruang kerja ayah kerana terlalu sibuk dan leka.

Ya, hanya aku yang terperap dan abang pula tidak. Sebabnya abang bebas keluar masuk ruang rahsia bawah tanah itu atau naik ke permukaan. Tapi, abang langsung tak membenarkan aku keluar walaupun nak naik ke bangsal. Tiada alasan yang dapat aku beri untuk keluar dari situ. Sebabnya semua keperluanku disediakan abang.

Memasak makanan setiap hari yang sepatut kami berdua bergilir-gilir buat, semua dibuat abang. Mencari besi, komponen dan bahan elektronik terpakai pun abang cari sendiri. Biasanya, kami berdua akan pergi ke beberapa kawasan pembuangan industri untuk dikitar semula.

Bagi aku aktiviti itu sangat menyeronokkan sebab aku akan temui 'harta karun' lain yang dapat aku bawa balik. Tapi kali ini abang tak ajak aku pun! Dia pergi senyap-senyap semasa aku tertidur keletihan. Sedar-sedar saja semua bahan yang diperlukan sudah berlonggok sebelah aku.

Aku juga rasa sedikit jengkel bila abang layan aku macam putera raja. Memanglah aku boleh goyang kaki sambil siapkan projek tu. Sebab apa yang aku nak, semua abang sanggup ambilkan. Tapi aku bosan! Mereput aku dalam ruang kerja itu macam dikurung. Abang terlalu protektif!

Aku cuma boleh memasamkan wajah, memberontak dalam diam. Tapi, abang buat tak nampak. Ada sahaja usikkannya yang buatkan sesi mogokku melebur menjadi ketawa.

Tak guna betul.

Mahu tak mahu aku harus terus berhadapan dengan projek itu. Pada hari yang entah ke berapa, kedua-dua projek yang kami buat sudah 90% siap.

Arghh! Kalaulah aku tetap fokus, kedua-duanya akan siap awal!

Ketika hari semakin gelap, kami menerima tetamu yang tak diundang. Pintu bangsal kami digegar dengan ketukan bertalu-talu. Kami yang berada di ruang bawah tanah itu pun boleh terkejut mendengarnya. Kami berdua saling berpandangan. Siapa yang datang pada waktu begini?

Abang segera memeriksa rakaman kamera keselamatan melalui komputer. Aku nampak riak wajahnya berubah sebelum dia meluru menaiki tangga untuk naik ke pejabat ayah.

Belum sempat aku mengekori abang keluar dari pejabat ayah, dia menahan pintu. Dia berkata dengan wajah serius, "Siapkan baki kerja abang. JANGAN PERNAH KELUAR."

"Eh, abang! Nan...."

"Screeech, tap!"

Pintu kayu itu terkatup betul-betul di depan mataku. Aku terkebil-kebil di situ buat seketika.

"Kenapa dengan abang? Apa yang dia lihat tadi?" rungutku resah. Kerana perasaan ingin tahu, aku turun semula ke ruang bawah tanah untuk mendapatkan komputer.

Aku tak sepatutnya buat begitu. Sebabnya, benda yang aku lihat hampir buatkan degupan jantungku terhenti.

"Mati aku! Tentera kerajaan pusat ada disini!"

[1025 words]

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now