Cocoon

1.5K 249 24
                                    

"Bagus! Saya suka semangat kamu semua!" jerit Heimich dalam hingar-bingar itu.

Laungan "Bunuh Meteoris!" yang kuat dan berulang-ulang sebentar tadi bertukar menjadi sorakan yang padu.

Matilah aku! Semua orang sudah jadi macam pembunuh psiko. Dalam kesuraman itu, aku bagai dapat nampak mata mereka yang bercahaya begitu ghairah.

Ghairah untuk memburu dan ghairah untuk membunuh Meteoris sepertiku.

Akal sedarku berkali-kali mengingatkanku bahawa ini cuma permainan. Pada masa yang sama, hati cuba menenangkan perasaan yang bergelojak bahawa aku harus yakin dengan ciptaan abangku. Percaya, percaya!

Tetap sahaja perasaanku tak mahu tenang.

Memang aku tahu bahawa ini permainan pembunuhan yang olok-olok. Semua orang akan hidup di akhir permainan ini.

Ya. Semua, kecuali Meteoris.

Memikirkan hal itu telah membuatku jadi tak senang duduk. Mahu saja aku berteriak memberitahu tiada siapa yang termutasi di sini dan menjelaskan teori abang. Tetapi, mustahil suaraku akan didengari. Mustahil juga mereka akan percaya!

Dan sekarang, dalam kepala mereka semua sudah tersemat matlamat untuk memburu para Meteoris.

Tolong, aku mahu lari dari Dome ini!

Heimich memberi isyarat kepada seseorang yang berada di tepi pentas. Tiba-tiba, dinding pejal pada pentas itu berputar lalu menampilkan empat buah kapsul besi yang berbentuk bujur telur yang besar. Kapsul-kapsul itu terbuat  daripada besi dan kaca. Berwarna kelabu metalik dan berjalur dinamik yang bercahaya biru malap. Melalui setiap kaca lut sinar yang menutupi sebahagian kapasul itu, aku dapat melihat ada sebuah kerusi tempat duduk di dalamnya.

"Apa itu?" bisikku kepada Raizhan.

"Lu taulah nanti..." balas Raizhan sambil tersengih teruja.

"Baiklah, baiklah! Bertenang remaja Rionzess semua. Saya, dengan bangganya mempersembahkan portal khas untuk menuju ke dunia virtual realiti, COCOON!"

Sekali lagi dome itu digegarkan sorakan yang kuat. Ugh, apa yang mereka teruja sangat dengan permainan dunia VR ini? Mereka lupa agaknya permainan ini hanya propaganda? Atau, semua budak bandar ini memang menggilai permainan ini sampai menang pertandingan peringkat dunia?

"Sebagai memulakan permainan ini, saya mahu memilih empat orang pemain terbaik dalam kalangan kamu sebagai perintis dunia VR yang telah kami persiapkan khas untuk kamu ini. Siapa berani?!" cabar Heimich.

"Dua lelaki dan dua perempuan yang pemberani, maju ke had..." Belum sempat Heimich menghabiskan kata-katanya, seorang remaja lelaki melompat naik ke atas pentas dan merampas alat pembesar suara yang terpasang pada telinga Heimich.

"Kalau kita nak pilih siapa lelaki dan perempuan yang paling berani dalam kalangan kita, kita sudah ada calon!" jeritannya disambut sorak-sorai sekumpulan kecil remaja.

"Siapa lagi yang berani buat kecoh dalam sini selain mereka? Siapa lagi yang suka tunjuk kehebatan selain mereka? Siapa lagi yang lebih berani duduk selamba di tempat tinggi selain mereka? Mereka ini orang yang berani matikah?!"

Duduk tempat tinggi? Tiba-tiba aku dapat firasat yang buruk.

"Siapa lagi kalau bukan mereka berempat!" remaja lelaki itu menunjuk ke dua arah yang berbeza.

"Spak! Spak!"

Dan, tiba-tiba cahaya spotlight menyuluh pada kami berdua. Aku segera melindungi mataku dengan lengan.

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now