Racun

1.6K 204 19
                                    

"Raizhan!" Kami bertiga menjerit serentak.

Untunglah Raizhan tidak lengah. Intuisi dan ketangkasannya telah menyelamatkan dia. Dia spontan berbalik sekali lagi lalu berputar rendah menyapu kaki penyerangnya itu.

Namun, Raizhan hanya melibas angin kerana penyerangnya itu melompat tinggi mengelak serangannya. Penyerang itu yang berhud hitam itu ternyata lebih lincah!

Raizhan segera berdiri. Refleks tangannya digenggam separuh, bersedia untuk bertukar buku lima.

Penyerang itu mendarat dengan cantik sambil mencabut satu lagi pedang yang bersilang di belakang tubuhnya. Dia menghadap kami lalu membuka kuda-kuda. Tangan kanannya mengacu pedang pada Raizhan sementara pedang di tangan kirinya melintang di atas kepala.

Kerana naluri yang mengesan bahaya, kami berempat segera menghunus senjata kami sambil serentak mengelilinginya.

Ekor mata kami mengerling Raizhan. Namun, dia masih tidak mengisyaratkan apa-apa. Wajahnya tanpa emosi, sukar untuk dibaca namun terbayang waspada.

Raizhan mengeluarkan pedang. Sengaja dibuat bunyi bingit yang panjang semasa pedang itu dikeluarkan dari sarungnya.

Manakala, orang yang kami kepung pula kekal tenang. Tidak gentar langsung walaupun sedar dia sudah terkepung.

Aku tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas kerana tertutup hud hitamnya. Dia memakai jaket kulit hitam. Terdapat dua jalur "V" berwarna merah pada dada dan pangkal lengannya. Dua sarung pedang jenis bilah runcing pula bersilang di belakangnya. Dari bentuk tubuh yang sederhana dan ketinggiannya yang menyamai Nikho, aku rasa dia seorang perempuan.

Aku telan liur. Aku tak tahu sejauh mana kemampuan pemain pedang ganda ini. Tapi, aku tak ragukan kemampuan Raizhan dan Nikho untuk mengalahkannya.

Pertarungan tidak akan dapat dielakkan.

Empat lawan satu? Bagai nampak sudah kesudahannya. Siapa yang akan kalah dan siapa yang akan menang.

Aku cuma berharap satu.

"Janganlah jadi Meteoris!"

Walaupun kami berempat sudah bertemu ramai pemain, aku belum bertemu dengan seorang Meteoris pun. Aku akan berdebar-debar setiap kali bertemu pemain lain. Walaupun aku terbeban harus menewaskan mereka, lebih daripada itu aku sentiasa rasa bersyukur jika mereka hanya pemain biasa. Nampaknya, remaja yang menjadi Meteoris seperti 1 dalam 10 orang. Itu perkiraanku sahaja.

Raizhan menapak ke kanan sambil sengaja mengheret hujung pedangnya di atas lantai. Kami juga mulai bergerak perlahan mengikut rentak Raizhan, mengitarinya.

Ketika aku berhadapan dengannya, aku menerima renungan tajam sepasang mata biru di bawah bayang hud itu.

Rasa cuak dalam diriku mencanak naik, buatkan aku meningkatkan kewaspadaanku.

'Tap, tap, tap'

Raizhan masih mengitarinya. Kami juga mengikuti. Dari siri-siri pertempuran kecil kami yang lalu, kami telah membentuk corak serangan yang terhasil dari kerjasama. Raizhan akan mengetuai gerak serangan jarak dekat mana Nikho komander serangan jarak jauh.

Berhadapan musuh sedekat ini, kami semua menanti arahan bisu dari Raizhan.

Luput aku dari berhadapan dengan pemain pedang ganda itu, giliran Nikho pula yang bertemu muka dengannya.

"Eh, Nikho?!" Serta-merta kekuda yang dipasangnya tadi bubar.

"Eh?!" Nikho juga keliru. Sesaat kemudian, dia juga menyeru teruja, "Light Shadow!"

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now