Pendulum

1.1K 151 8
                                    

"Aku dapat rasa... tali ini mahu putus!"

Terjerut nafasku mendengar jerit panik Nikho. Buat pertama kali, aku melihat wajahnya pucat-lesi. Elyssa juga terkaku seketika. Dia kemudian menghulurkan tangannya dari celah jerigi kurungannya, sedaya upaya mencapai Nikho yang jauhnya sedepa.

"Nikho! Nikho jangan banyak bergerak!" jeritku.

Semakin banyak dia bergerak, semakin cepat tali itu akan putus. Kalau dia jatuh, aku mungkin takkan mampu menyelamatkannya di tengah-tengah ranjau perangkap ini. Terlalu berbahaya!

Aku gelabah seketika, tak pasti apa yang perlu aku lakukan. Aku akhirnya memutuskan untuk meneruskan rancanganku. Harapannya tipis, risikonya pula tinggi. Tapi inilah satu-satunya jalan yang aku nampak untuk menyelamatkan Nikho dalam keadaan genting ini.

Aku bergegas mengutip sebatang lembing yang bertaburan di atas lantai. Dengan sekuat tenaga, aku melempar lembing itu ke arah dinding sebelah kiri.

Tcak!

Lembing itu terpacak sedikit condong ke bawah. Argh... Aku tak mahu ia terpacak begitu!

Aku capai lembing kedua. Lembing itu aku genggam dan lepas, mencari keseimbangan antara dua hujungnya.

Sudut lemparan, jarak dari dinding dan kekuatan tolakan akan menentukan lembing ini mengenai sasarannya atau tidak. Aku mahu ia terpacak dalam jarak dua langkah dari lembing yang pertama, teguh dan terbenam jauh ke dalam dinding itu.

"Hiah!" jeritku sekuat hati. Lembing itu terpacak tepat di sasaran, dalam dan kukuh.

"Arash, apa yang kamu buat?" tanya Elyssa.

"Aku nak buat tangga. Nikho, tenangkan diri kau. Kalau kau boleh cari cara untuk berpaut pada sangkar yang mengurung Elyssa, buat! Kau... kau tak boleh harapkan aku untuk selamatkan kau!"

Aku menggetap bibir ketika mengucapkan ayat terakhir itu. Nikho dan Elyssa diam. Aku tak tahu apa reaksi mereka, sebab aku langsung tak menoleh. Aku terus fokus untuk menyiapkan tangga yang diperbuat daripada lembing ini.

'Tcak! Tcak! Tcak!'

Habis lembing, aku melempar pula kunaiku yang bertali pada titik paling tinggi yang boleh aku capai.

"Nikho, kau masih boleh bertahan?" tanyaku separuh menjerit sambil berlari ke arah tangga lembing itu.

"Aku tengah berusahalah ni, tak guna!" balas Nikho kasar.

Dia sedang berusaha menenangkan diri. Yang panik sekarang ialah Elyssa. Dia menggigit jari sambil berganti-ganti memandang antara aku dan Nikho.

"Kamu nak buat apa, Arash? Tolonglah Nikho cepat!" desak Elyssa.

"Sabar, saya tengah usahakan sesuatu." Aku senyum getir pada Elyssa. Perhatianku kembali tertumpu pada pijakanku di atas tangga lembing yang aku buat.

Aku mengulung hujung tali kunai pada pergelangan tangan dan telapak tangan kiriku. Dengan bergantung pada tali itu, aku mulai meniti setiap lebing itu satu persatu, mendaki untuk sampai ke ketinggian di mana pancang besi yang mengurung Elyssa berada.

Selepas penitian yang mendebarkan, aku akhirnya berjaya berdiri di atas bumbung sangkar Elyssa. Kunai yang masih terlekat di dinding aku rentap talinya sampai tertanggal.

"Woah! Elyssa, tolong jangan bergerak!" jeritku apabila aku terumbang-ambing sedikit. Spontan berpaut pada apa yang dapat dicapai.

"Maaf!"

Aku melepaskan nafas yang tertahan. Mahu luruh jantung aku dibuatnya! Kemudian, dari atap sangkar itu, aku memanjat turun. Berpegang pada salah satu geriginya, aku mengikat tali pada pinggangku sebagai sokongan keselamatan.

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Nơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ