Kapten Zilgaf

1.6K 244 11
                                    

Tanpa berfikir panjang, aku capai pemancar sinar laser yang abang selalu guna untuk mematri litar elektrik. Apa yang jadi pada aku selepas ini jadilah! Aku tak peduli. Tapi, jangan acu pistol pada abang aku, tentera tak guna!

Aku terburu-buru naik ke pejabat ayah dan menerpa pintu. Sinar laser alat pematri itu aku selaraskan ke tahap maksimum. Kemudian, aku lalukan pada tombol pintu. Sebaik sahaja tombol pintu itu mencair, aku menendang pintu sekuat hati dan berlari keluar.

"Jangan apa-apakan abang saya!" Aku menjerit sekuat-kuat hati. Serta-merta semua perhatian bertumpu kepadaku. Aku mengumpul nafas lalu berdiri mendada.

Abang terkejut. "Arash, kenapa keluar?!"

Melihat mata abang menjengil memandang aku, aku tahu abang marah. Aku tak peduli. Aku tak rela abang dicederakan kerana aku. Aku tak rela!

Aku mengangkat dua tanganku separas kepala, "Saya menyerah diri, tapi jangan ganggu abang saya."

Ketua tentera itu tersenyum sinis memandang abang. Abang menunduk ke tanah, menggeleng perlahan penuh kekecewaan. Hatiku rasa luruh melihat reaksinya.

Dak! Tiba-tiba ketua pasukan itu memukul tengkuk abang dengan hulu pistol. Abang rebah dengan erangan kesakitan. Hatiku serta-merta terbakar panas.

"Hei!" Sergahanku menghentikan gerak tangannya ingin memukul lagi. Ketua pasukan tentera itu menoleh kepadaku.

Aku merenungnya tajam. Dia ialah seorang lelaki yang kelihatan sebaya dengan abang. Wajahnya bengis dengan parut melintang di dahi. Aku kenal lelaki ini.

"Kapten Zilgaf. Untuk pengetahuan tuan, ada 10 kamera sedang merakam perbuatan tuan di sini. Tuan datang ke mari untuk menahan saya, sebab saya juga termasuk remaja Rionzess, bukan? Kami penduduk Rionzess yang baik. Sebagai anggota penjaga keamanan Rionzess, tuan tidak boleh menganiayai kami, betul? Kalau video rakaman perbuatan tuan ini sampai ke atasan tuan, apa yang akan berlaku? Setahu saya, tuan akan dilucutkan jawatan?"

Nanti, apa yang aku cakapkan ini? Aku sedang mengugut? Ah, hentam!

Kapten Zilgaf ialah pesaing lama abang semasa abang masih belajar di Kolej Rionzess lama dahulu. Abang tidak bermusuh dengannya, tetapi dia sendiri yang menyimpan dendam kesumat pada abang. Mungkin kerana dulu dia tak pernah berpeluang menjadi nombor satu di kolej kerana dimonopoli oleh abang?

Entahlah.

Aku rasa gementar. Tapi, aku tak rasa yang lelaki ini boleh berbuat macam-macam pada kami? Walaupun pangkatnya lebih tinggi berbanding abang, dia tak boleh berbuat sewenang-wenangnya. Kami dilindungi undang-undang!

Kapten Zilgaf nampak tergugat. Kemudian dia tersenyum sinis. Giliran aku pula rasa tergugat.

"Abang dengan adik, sama saja. Pandai betul bercakap. Aku patut puji kamu berdua untuk itu," katanya sambil menggeleng. "Tangkap budak tu!"

Aku diserbu dua orang tentera. Tak sempat badanku bereaksi untuk lari atau mengelak, secepat kilat tanganku sudah digari. Gari itu ialah jenis yang boleh dikawal dari jauh. Selagi tidak dibuka dengan kuncinya, tahanan akan seperti patung marionet.

"Lepaskan adik aku, Zilgaf!" jerit abang. Dia tidak dapat bangun apabila dua orang tentera memakunya di tanah.

Kapten Zilgaf hanya memandang abang. Senyum sinisnya semakin lebar dan menyakitkan. Dia mendekati abang lalu duduk mencangkung di hadapannya.

"Patutnya kau patuh macam adik kau, Eizham. Senang kerja aku. Demi masa lalu, aku akan layan adik kau 'istimewa' sikit." kata Kapten Zilgaf sambil menjentik dahi abang. Kemudian, dia ketawa berdekah-dekah.

Abang hanya mampu menderam marah.

"Ah, sudahlah. Aku harus menjelaskan protokol penangkapan remaja Rionzess ini kepada kau," kata Kapten Zilgaf bosan.

"Saya, Kapten Zilgaf hanya menjalankan tanggungjawab," Intonasinya tiba-tiba berubah formal. Dia mengeluarkan sekeping cakera metalik sebesar telapak tangannya. Hologram biru memancar. Ayat demi ayat muncul.

"Kepada penjaga kepada remaja yang berusia antara 11-19 tahun.

Sekumpulan remaja telah bertingkah-laku ganas dan menyebabkan kekacauan di pusat bandar Rionzess. Mereka dipercayai termutasi kerana terkena radiasi meteor yang jatuh berhampiran Rionzess baru-baru ini.

Oleh itu, Kerajaan memutuskan untuk mengumpulkan remaja dalam kumpulan umur tersebut. Ini ialah proses pemeriksaan untuk mengenalpasti siapa yang termutasi.

Sila berikan kerjasama anda untuk membenarkan remaja jagaan anda dibawa oleh Tentera Kerajaan Pusat Rionzess.

Demi keamanan Rionzess, kami menjalankan tugas."

Ayat-ayat itu diakhiri dengan simbol rasmi kerajaan pusat Rionzess.

Abang tertunduk.

"Nah, kau simpanlah cakera ini," Kapten Zilgaf mencampak cakera itu di hadapan abang. Hologram lambang rasmi Rionzess itu menyinari wajah hampa abang.

Kapten Zilgaf bangun menyapu debu yang melekat pada seluarnya. "Pasukan, mari beredar!"

"Arash!" jerit abang ketika aku dibawa pergi.

"Abang jangan risau. Arash akan baik-baik saja." kataku sambil melemparkan senyuman.

Aku tipu abang.

Aku sebenarnya takut. Tolong aku!

[709 words]

𝐌𝐄𝐓𝐄𝐎𝐑𝐈𝐒Where stories live. Discover now